Rabu, 6 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Hijrah kukuhkan perpaduan ummah

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

TUANKU Muhriz Tuanku Munawir berkenan memakaikan jubah kepada Tokoh Maal Hijrah negeri, Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad sambil diperhatikan oleh Mohamad Hasan (kiri) di Masjid Negeri, Seremban, semalam.

SEREMBAN 5 Nov. - Jangan biarkan perbezaan pegangan dan fahaman dalam Islam meruntuhkan kesucian agama ini, sekali gus menjadi punca kepada keruntuhan dan perpecahan dalam kalangan ummah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada zaman serba mencabar ini, kedudukan Islam sebagai agama suci bagi seluruh umat manusia telah sedikit-sebanyak terjejas dengan perbuatan segelintir umat Islam sendiri.

"Umat Islam sendiri berpecah kerana perbezaan pegangan dan pandangan serta fahaman ideologi dalam Islam termasuk politik.

"Malah, umat Islam di negara ini yang berpegang kepada mazhab Sunnah Wal Jamaah juga perlu sentiasa berwaspada dengan penyebaran fahaman agama yang boleh menyesat sehingga memesongkan akidah kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 1435 Hijrah/2013 di Masjid Negeri, di sini malam tadi.

Yang turut berangkat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dengan diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Mohamad berkata, perkembangan itu bakal membawa keburukan serta kelemahan umat Islam, selain membuka peluang kepada musuh Islam untuk menghancurkan kekuatan umatnya.

"Sesungguhnya hijrah yang kita bawa masa kini, menjadi lebih penting, apatah lagi dalam keadaan umat Islam sedang bersengketa sesama sendiri.

"Menyedari hakikat ini, marilah kita bersama-sama mengukuhkan lagi usaha untuk melaksanakan hijrah dalam diri dan masyarakat bagi memajukan agama dan ummah," ujarnya.

Tambahnya, hijrah dalam konteks hari ini yang membawa maksud perubahan dan transformasi boleh digerakkan secara holistik membabitkan individu, keluarga, masyarakat, pentadbiran kerajaan termasuk agensi pelaksana di semua peringkat.

Dalam majlis tersebut, Pengetua Maahad Tahfiz As-Saddiyyah, Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad dipilih sebagai Tokoh Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan 1435H.

Beliau yang juga pendakwah dan pernah menerima Tokoh Hafiz Peringkat Kebangsaan 2012 itu menerima sepasang jubah, pakej menunaikan umrah serta RM10,000 yang disampaikan oleh Tuanku Muhriz.

Bekas Naib Canselor UiTM Tokoh Maal Hijrah

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

MOHD. Khalil Yaakob (empat dari kiri) sambil diiringi Idris Haron (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek RM10,000 kepada Ibrahim Abu Shah dalam Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1435 Peringkat Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.

MELAKA 5 Nov. - Bekas Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2013 peringkat negeri, di sini hari ini.

Ibrahim, 65, anak kelahiran Kampung Pulai, Serkam dekat sini menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, pakaian dan plak.

Beliau yang kini aktif sebagai penceramah bebas menerima anugerah tersebut daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob sempena sambutan Maal Hijrah 1435 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad; Exco kerajaan negeri, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ketua-ketua jabatan.

Ibrahim ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat negeri tahun ini.

"Saya tidak banyak memberi sumbangan di negeri ini tetapi lebih banyak membangunkan pendidikan anak Melayu sewaktu bertugas sebagai Naib Canselor UiTM sebelum ini.

"Apa pun, saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah memilih saya untuk menerima anugerah ini," katanya yang ditemani isterinya, Puan Sri Zahariah Mohamad, 54.

Katanya, beliau akan terus berjuang mendidik anak bangsa bagi membangunkan pendidikan bangsa Melayu melalui ceramahnya.

Ibrahim mula memegang jawatan sebagai Naib Canselor UiTM Shah Alam pada 1 Januari 2001 dan bersara pada 31 Disember 2009 selepas sembilan tahun berkhidmat.

Pada Mei 2011, beliau dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2011 oleh UMNO Bahagian Jasin sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-65.

Pemilihan Ibrahim dibuat berdasarkan pencapaian dan sumbangan beliau dalam memperjuangkan nasib anak Melayu dalam bidang akademik.

Selain berperanan sebagai tokoh akademik selaku bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim telah berjaya membawa perubahan dalam membangunkan pemikiran kaum Melayu.

22 bayi lahir sempena Maal Hijrah di Hospital Melaka

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

LATIPAH Omar mengusap kepala seorang bayi bertuah yang lahir pada Maal Hijrah 1435 di Hospital Melaka, semalam.

MELAKA 5 Nov. - Seramai 22 bayi dilahirkan di Hospital Melaka di sini sempena Tahun Baharu Maal Hijrah 1435 sejak awal malam tadi sehingga pukul 3 petang ini.

Kesemua 10 bayi lelaki dan 12 bayi perempuan itu dilahirkan dalam keadaan sihat dan bayi pertama seberat 3.35 kilogram dilahirkan pada pukul 7.19 petang semalam.

Kelahiran bayi berkenaan dilawati Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar dalam Program Lawatan Bayi Hijrah di hospital berkenaan hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Ketua Penolong Pengarah Unit Inovasi dan Kualiti Hospital Melaka, Dr. Zarina Saharom.

Seorang ibu muda, Raizaitulain Hakim Lee, 22, ketika ditemui berkata, merasa sedikit cemas, namun gembira selepas segalanya berjalan dengan baik dan selamat.

"Saya tidak jangka akan melahirkan bayi pada tarikh penting kalendar Islam itu memandangkan tarikh sepatutnya ialah kira-kira sebulan lagi dari sekarang.

"Bagaimanapun, saya bersyukur dan amat gembira dengan kelahiran bayi lelaki seberat 2.35 kilogram ini yang akan menambahkan lagi keceriaan rumah tangga bersama suami, Azrul Saadom, 34," katanya yang menetap di Pokok Mangga di sini.

Sementara itu, seorang lagi ibu, Nooraini Nasir, 26, mengucapkan syukur tidak terhingga kerana selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.35 kilogram yang sihat.

"Apa yang lebih bermakna, bayi ini dilahirkan pada hari penting bagi umat Islam iaitu Maal Hijrah dan diharap dapat menjadi insan berguna apabila dewasa nanti.

"Kehadiran bayi sulung hasil perkahwinan dengan suami, Mohd. Faiz Abu Hasan, 26, diharap dapat mengeratkan lagi kebahagiaan kami sekeluarga," tambahnya.

Seorang lagi ibu, Wan Norhidayu Hidayat, 28, memberitahu, dia amat gembira dengan kelahiran bayi lelaki seberat 3.6 kilogram, hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Saidi Sidek, 42.

"Walaupun sudah empat kali merasai pengalaman melahirkan bayi, saya tetap gementar, namun bersyukur kerana semuanya telah selamat.

"Lebih menggembirakan saya dan keluarga ialah bayi bongsu kami ini lahir pada tahun baharu Islam dan saya bercadang untuk meletakkan nama Awal di hadapan namanya nanti," katanya yang menetap di Durian Tunggal.

Selain tiga bayi berkenaan, 16 bayi lagi merupakan bayi berketurunan Melayu, seorang bayi Cina serta dua bayi warga Indonesia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved