Rabu, 6 November 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


66,243 ibu tunggal terima bantuan JKM sehingga Jun

Posted: 05 Nov 2013 11:41 PM PST

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Seramai 66,243 ibu tunggal yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdaftar dengan jabatan itu sehingga Jun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, 831,860 wanita iaitu 2.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia adalah balu atau telah bercerai atau berpisah tetap.

Beliau berkata, selain itu, 160,070 orang warga emas berumur lebih 60 tahun dan 464,967 orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara telah didaftarkan di bawah JKM sehingga Mei lepas.

"Bilangan warga emas yang berumur lebih 60 tahun adalah 2.4 juta orang atau 8.2 peratus daripada 29.34 juta penduduk Malaysia tahun lepas," katanya menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) pada sesi soal jawab di Parlimen di sini hari ini.

Zuraida ingin tahu bilangan ibu tunggal, OKU dan warga emas di seluruh negara, termasuk mereka yang berdaftar dan tidak berdaftar dengan JKM. - BERNAMA

2,753 web disekat Januari-Oktober lalu - SKMM

Posted: 05 Nov 2013 11:39 PM PST

CYBERJAYA 6 Nov. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 2,753 laman web yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan Industri SKMM, Zulkarnain Mohd. Yasin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,611 ialah laman 'Phishing' (laman web bank palsu); kandungan lucah (103); dan kandungan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (10).

Turut disekat 15 laman web yang melanggar Enakmen Jenayah Syariah; Akta Rahsia Rasmi (dua); Kanun Keseksaan (dua); Akta Hasutan (satu); dan lain-lain (sembilan).

"Pada masa ini, SKMM sedang menyiasat 10 laman web," katanya kepada Bernama di sini.

Zulkarnain berkata, kerajaan melalui SKMM sentiasa bekerjasama dengan polis dan agensi penguatkuasa lain di dalam dan luar negara dalam penguatkuasaan undang-undang penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Sepanjang Januari sehingga Oktober tahun ini, beliau berkata, Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan (JPS) SKMM menerima 268 aduan yang disiasat di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Daripada jumlah aduan yang diterima, 108 aduan adalah laporan polis yang dirujuk kepada JPS. Jenis aduan yang dirujuk oleh PDRM ialah kandungan palsu 35 peratus, sumbang (23 peratus), mengancam (14 peratus), jelik (15 peratus), lucah (10 peratus) dan lain-lain yang bukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (11 peratus)," katanya.

Beliau berkata, aduan yang paling banyak diterima SKMM ialah berhubung akaun palsu atau penyamaran, termasuk penyalahgunaan maklumat dan data peribadi, penyebaran fahaman atau ajaran sesat dan 'love scam'.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Akta Perkhidmatan Pos 2012, Akta Tandatangan Digital 1997 dan Akta Perdagangan Strategik 2010 untuk menangani jenayah siber dan penyalahgunaan laman sosial adalah mencukupi.

Namun begitu, beliau berkata SKMM menghadapi cabaran dalam penguatkuasaan dan pendakwaan, khususnya dalam pembuktian kes jenayah siber.

"SKMM juga berdepan dengan pengendali laman sosial yang enggan membekalkan maklumat kerana individu yang melanggar peruntukan undang-undang di Malaysia tidak semestinya menjadi satu kesalahan di negara pengendali laman web itu. - BERNAMA

22 calon SPM di Kelantan duduki peperiksaan di hospital

Posted: 05 Nov 2013 10:45 PM PST

KOTA BHARU 6 Nov. - Penyakit buah pinggang yang dikesan sejak Ogos lalu menyebabkan, Alif Nazri Mat Nawi, 17, sering berulang alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) di sini untuk mendapatkan rawatan.

Namun, ia bukan alasan kepada anak ketiga daripada empat beradik ini mengabaikan pelajaran, malah penyakitnya itu menjadi pendorong kepadanya melakukan yang terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng aliran Sastera ini merupakan salah seorang daripada 22 calon SPM yang menduduki peperiksaan tersebut di beberapa buah hospital di negeri ini.

Seramai 34,193 calon mengambil peperiksaan itu di 291 pusat di seluruh negeri terdiri daripada 27,048 calon sekolah kerajaan; Sekolah Menengah Agama Yayasan Islam Kelantan (4,973); swasta (123) dan persendirian (2,049).

"Penyakit saya mula dikesan sejak Ogos lalu dan sejak daripada itu setiap dua minggu saya akan mendapatkan rawatan mencuci buah pinggang dihospital ini.

"Selepas mula dimasukkan ke hospital Sabtu lalu, saya berada dalam keadaan lemah namun tetap menguatkan diri mengulangkaji pelajaran bagi merealisasikan impian saya menjejak kaki ke menara gading selepas ini.

"Dalam ujian percubaan baru-baru ini saya tidak memperolehi sebarang A, tetapi saya yakin mendapat 5A dalam SPM tahun ini seterusnya merealisasikan impian saya itu," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Hussain Awang yang meninjau calon-calon menduduki peperiksaan di hospital berkenaan berkata, selain lapan orang di HPRZ II, enam calon lagi mengambil peperiksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan seorang di Hospital Pakar Perdana manakala selebihnya di beberapa hospital daerah di negeri ini.

"Buat masa ini terdapat 22 calon SPM menduduki peperiksaan itu di hospital kerana mereka masih dalam rawatan di sebabkan kemalangan dan juga menghidap penyakit tertentu," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved