Rabu, 6 November 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Antara setia dan taksub ahli Pas

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

ANGGOTA polis mengarahkan seorang penyokong Pas untuk menurunkan bendera parti dari keretanya setelah waktu mengundi tamat tepat pada pukul 5 petang di Sekolah Kebangsaan Sedaka, Yan, Kedah, Isnin lalu. - UTUSAN/NOORADZRENE MOHD NOOR

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau mendedahkan satu lagi kelebihan yang ada kepada Pas dan tidak mungkin ada kepada parti-parti politik lain termasuk UMNO.

Kelebihan tersebut ialah kesetiaan dan ketaksuban penyokong-penyokong Pas terhadap parti itu sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja atas nama perjuangan Islam yang diuar-uarkan oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Sepanjang hampir dua minggu berada di Sungai Limau, penulis berkesempatan melihat dengan lebih dekat gelagat penyokong-penyokong Pas. Mereka bukan sahaja terdiri daripada penyokong tempatan tetapi ada antara yang sanggup datang dari seluruh pelosok tanah air semata-mata untuk memberikan sokongan kepada calon parti itu. Mereka sanggup bermalam di dalam kereta, masjid dan surau semata-mata untuk berkempen.

Sememangnya, mahu tidak mahu kita harus tabik kepada kesetiaan dan ketaksuban mereka ini. Sudah pastilah ia adalah hasil didikan politik yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin parti itu sehingga penyokong mereka menganggap apa yang mereka lakukan adalah satu jihad demi menegakkan perjuangan Islam.

Perjuangan Islam - itulah perkataan yang memungkinkan Pas mampu meraih sokongan daripada golongan muda. Apatah lagi ia dibantu pula oleh tok-tok guru dan ustaz-ustaz yang bersedia mengukuhkan hujah Pas itu.

Lanjutan itu, penyokong-penyokong Pas hanya berpegang kepada kata-kata ulama, tok guru dan ustaz yang menyebelahi parti tersebut, selain daripada itu hatta kata-kata mufti sekali pun mereka akan menganggap itu suara UMNO.

Situasi ini jugalah menyebabkan penyokong Pas sentiasa melihat apa juga yang dilakukan oleh Pas adalah betul dan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak betul dan tidak Islamik.

Malah, penyokong-penyokong Pas juga seolah-olah sudah didoktrin bahawa BN penuh dengan amalan rasuah, pemimpin UMNO menolak Islam dan apa yang Pas lakukan adalah satu jihad.

Justeru penulis sama sekali tidak terkejut apabila mendengar penyokong-penyokong Pas yang terdiri daripada peraih undi ketika hari mengundi di Sungai Limau Isnin lalu, begitu mudah melaung-laungkan kata-kata memaki hamun dan memfitnah pemimpin-pemimpin BN. Peraih undi BN yang berada di hadapan mereka juga menjadi sasaran maki hamun.

Soalnya, adakah ini yang diajar dalam Islam? Mereka berserban, berkopiah, bertudung labuh dan berjubah serta begitu bangga mengibarkan bendera Pas yang dianggap memperjuangkan Islam tetapi apa yang merela lakukan tidak mencerminkan sikap muslim sebenar.

Apa yang menyedihkan, insan-insan yang mereka fitnah, maki hamun dan tohmah itu adalah ahli UMNO yang majoriti ahlinya beragama Islam, mengadap kiblat yang sama dan menyembah Allah yang satu.

Tetapi ketaksuban kepada parti memungkinkan penyokong-penyokong tegar Pas seolah-olah melupakan fakta ini, mereka menganggap pemimpin dan ahli UMNO adalah musuh kamu yang paling nyata.

Penulis menghormati kesetiaan dan ketaksuban penyokong-penyokong Pas kepada parti mereka, apatah lagi dengan kesediaan mereka turun ke Sungai Limau tanpa dibayar satu sen pun.

Tetapi biarlah ia disulami dengan akhlak Islam yang sebenar. Janganlah kerana terlalu taksub dengan perjuangan politik kepartian, persaudaraan dalam Islam mahu dikorbankan.

Menyokong mana-mana juga parti bukanlah satu kesalahan kerana itulah amalan politik berteraskan demokrasi di negara kita tetapi berpada-padalah.

Janganlah melihat seolah-olah UMNO langsung tidak ada jasa kepada orang Melayu dan umat Islam sehingga penyokong Pas mahu menentang mereka habis-habisan.

Berusaha untuk mencari sokongan rakyat tidak salah kerana ia menjadi platform dalam usaha mana-mana juga parti untuk mendapat undi dan kuasa tetapi biarlah dilakukan secara berhemah melalui pendekatan politik damai yang dipelopori oleh bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Jika politik damai ini diamalkan sepenuhnya, antara penyokong Pas dan UMNO tidak akan ada permusuhan, mereka hanya bermusuh apabila hendak meraih undi tetapi mereka tidak akan terpengaruh dengan sebarang politik kebencian.

Sebagai sebuah parti yang mendabik dada memperjuangkan Islam, penyokong-penyokong Pas sepatutnya lebih berhemah dalam berpolitik. Sementara kita menghormati kesetiaan dan keterujaan mereka memberi sokongan padu kepada parti itu namun soal imej Islam juga harus dipelihara.

Memaki hamun, mengejek dan membuat fitnah serta tohmahan bukanlah perkara yang dibenarkan oleh Islam. Sebaliknya ia hanya menampakkan bagaimana penyokong Pas sedia berbuat apa sahaja demi meraih kuasa.

Ketika mereka begitu taksub menyatakan mereka memperjuangkan Islam tetapi dalam masa yang sama mereka bersekongkol dengan DAP yang terang-terang sudah menyatakan tidak akan menerima perjuangan Islam Pas.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada pemimpin DAP yang berpendapat Pas perlu diharamkan kerana tidak boleh ada parti politik berasaskan kaum dan agama.

Tetapi Pas tidak akan berkata apa-apa jauh sekali untuk meninggalkan kerjasamanya dengan pakatan pembangkang yang turut diangggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penyokong Pas hanya melihat pemimpin BN dan UMNO tidak bersih tetapi pernahkah mereka mengkaji latar belakang pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya PKR atau mereka sengaja membutakan mata disebabkan PKR adalah sekutu Pas?

Sebenarnya Pas mempunyai kekuatan tersendiri tetapi mereka tidak memiliki keyakinan diri sebab itulah biar apa pun yang dilakukan oleh PKR dan DAP, sebahagian besar pemimpin utama Pas tidak membantah, malah dalam kalangan penyokong mereka pula begitu bangga mengibarkan bendera DAP atau memakai kemeja T yang mempunyai lambang parti itu.

Bagaimanapun, kita harus mengakui bahawa sama ada pemimpin dan penyokong Pas setia atau taksub, itulah yang menjadi asas kekuatan parti itu selama ini.

Sebenarnya, berbanding Pas, BN dan UMNO jauh lebih konsisten dalam perjuangannya, UMNO tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan demi untuk meraih undi.

Pas sebenarnya tidak kuat tetapi gerak kerja yang teratur dibantu pula penyokong yang setia dan taksub memungkinkan mereka mencapai kejayaan dalam setiap kali pilihan raya.

Tetapi mereka tidak akan mampu memperjuangkan nasib orang Melayu meningkatkan martabat Islam dan membela nasib rakyat.

Justeru tanggungjawab ini perlu terus dipikul oleh UMNO dan BN dengan memastikan parti itu mendapat sokongan padu rakyat dalam pilihan raya.

Ini boleh dilakukan memastikan pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian tidak terus bersikap hipokrit sehingga sanggup melakukan tindakan yang boleh menyebabkan parti kalah.

Selain itu, semangat perjuangan juga perlu ditingkatkan dalam kalangan penyokong-penyokong UMNO supaya mereka tidak menyokong atau membuat kerja untuk parti itu hanya kerana mahukan imbuhan.

Sebaliknya, mereka membuat kerja itu demi memastikan BN mencapai kemenangan dan UMNO terus kukuh sebagai parti keramat orang Melayu demi perjuangan bangsa, agama dan negara.

Tidak mustahil BN boleh kembali

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM merupakan penganalisis isu semasa, ahli korporat dan aktivis kerajaan.

KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) mengurangkan majoriti Pas dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Limau, Kedah menunjukkan BN berjaya menarik ramai pengundi untuk 'hijrah' dan mengurangkan bilangan pengundi yang 'kekal'.

Meskipun tewas, BN masih boleh berbangga kerana berjaya memaksa Pas bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen sejak 23 Oktober lepas, sehingga ke tahap melakukan serangan peribadi terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Sebelum hari pengundian yang jatuh pada 4 November, di atas kertas, Pas sudah mempunyai kelebihan kerana selain daripada DUN Sungai Limau merupakan kubu kuat parti itu, Pas mempunyai 9,499 anggota sebagai pengundi. BN pula memiliki 9,230 anggota dan selebihnya 8,493 merupakan pengundi atas pagar.

Realitinya Isnin lalu dalam tempoh enam bulan selepas PRU-13, Pas telah kehilangan 1,225 undi di DUN Sungai Limau.

Mohd. Azam Abd. Samat, calon Pas menang dengan majoriti 1,084 undi berbanding majoriti 2,774 undi yang diperoleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 5 Mei lalu.

Mohd Azam, 37, mendapat 12,069 undi mengatasi Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, 52, (BN) yang memperoleh 10,985 undi. Undi yang diperoleh Mohd. Azam berkurangan 1,225 atau 9.2 peratus daripada jumlah undi yang diraih Azizan pada PRU-13 iaitu sebanyak 13,294 undi.

Sementara di pihak BN, majoriti pada PRK DUN Sungai Limau bertambah 4.4 peratus atau 465 undi. Jumlah pemilih berdaftar yang keluar mengundi juga berkurangan 1,100 atau 4.5 peratus daripada 24,349 pada PRU-13.

Dalam PRK ini, BN menang di 10 daripada 19 daerah mengundi berbanding hanya enam pada PRU-13.

BN menawan empat daerah mengundi iaitu Sungai Limau dengan majoriti 105 undi, Kabu Sepuloh (55), Kampung Titi Batu (951) dan Padang Lumat (50) di samping mengekalkan enam yang dimenangi pada PRU-13 dengan majoriti bertambah.

Daerah mengundi yang dikekalkan pula adalah Sungai Kering dengan majoriti 202 undi berbanding 178 pada PRU-13, Simpang Tiga (48 - 46), Selengkoh (195 - 119), Sungai Daun (293 - 137), Dulang Kechil (939 - 506) dan Dulang Besar (533 - 187).

Jika momentum yang ditunjukkan dalam kempen PRK ini dikekalkan oleh jentera BN, tidak mustahil para pengundi Sungai Limau akan berhijrah kepada BN pada PRU-14 nanti.

BN menang moral. Benarkah begitu?

Sebenarnya, kalau diteliti dengan terperinci, keputusan PRK Sungai Limau telah menyaksikan orang Melayu sudah berpatah balik - untuk bertaut kembali. Ini terutamanya melibatkan golongan 'totok' Pas. Kita kena ingat dengan tarikh PRK ini berlangsung waktu hari bekerja (Isnin), dianggarkan kira-kira 2,200 pengundi luar Kedah yang dikatakan pada PRU-13 Mei lalu lebih cenderung menyokong BN, tidak dapat pulang untuk mengundi. Ini ditambah pula dengan 'hujah' pihak tertentu, buat apa balik, Sungai Limau memang kubu kuat Pas. Pasti kalah BN. Itu antara sebab mengapa kemenangan tidak berpihak kepada BN.

Cuma, sesuatu yang perlu dipelajari dari Sungai Limau adalah cara kempen jentera BN kalau ada PRK selepas ini adalah perlu menjauhi dari takuk lama.

Antaranya, seperti 'ahli Pas masuk UMNO' kerana dikhuatiri boleh 'mengelirukan' orang ramai. Dalam kempen-kempen selepas ini harus dipertegaskan peranan Islamik UMNO hendak mendaulatkan Islam dan Melayu secara terbuka. Orang Melayu termasuk penyokong 'totok' Pas sendiri dipercayai masih dahagakan kempen-kempen atau ceramah yang mengangkat martabat Islam/Melayu. Jika dasar Melayu terus kuat, Pas di Sungai Limau diyakini boleh tumbang.

Hakikatnya juga, kekuatan Pas bergantung kepada nama arwah Azizan yang banyak digunakan semasa kempen pilihan raya kecil itu. Ini termasuk menggambarkan Mohd. Azam sebagai anak didik Azizan dan mempunyai hubungan saudara dengan bekas Menteri Besar Kedah itu.

Malah parti itu juga didakwa menggunakan gambar "superimpose" Mohd. Azam bersama Azizan dalam risalah kempen parti itu yang sebenarnya gambar wartawan kanan akhbar Sinar Harian yang berkunjung ke pejabat Azizan pada 2011.

Kemenangan Pas ini sedikit sebanyak mengubati kedukaan parti itu yang kehilangan penguasaan ke atas Kedah pada PRU-13. Kemenangan ini mengekalkan status quo kedudukan kerusi DUN Kedah kerana Pas masih kekal dengan 15 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 kerusi DUN, dengan BN menguasai 21 kerusi.

Mukhriz sebelum ini mengakui bahawa BN adalah 'underdog' tetapi BN tetap mahu bertanding pada PRK Sungai Limau kerana mahu membuat tawaran kepada penduduk di situ tentang apa yang boleh dilakukan BN terutama soal pembangunan.

Walaupun tewas, penduduk di DUN Sungai Limau tetap mendapat banyak manfaat daripada kerajaan Pusat dan kerajaan negeri - satu bukti kerajaan BN tidak meminggirkan kawasan-kawasan yang dikuasai parti pembangkang.

Ada beranggapan kebanyakan pengundi masih kekal dengan Pas bukan kerana terlalu yakin dengan Mohd. Azam tetapi sebagai "check and balance" untuk kerajaan Kedah yang dikuasai oleh BN.

Jika dilihat trend sokongan pengundi kepada Mukhriz ketika berkempen, penduduk di DUN Sungai Limau sebenarnya dilihat semakin yakin dengan Mukhriz dan kerajaan negeri.

Malah, calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi berlatarbelakangkan akademik, jadi imam surau di kampungnya, tidak sombong, mesra alam dan tidak ada protokol. Semangat penyokong BN juga cukup tinggi. Tidak berkira-kira atau bergantung pada upah. Inilah boleh disaksikan dalam kempen yang berlangsung selama 12 hari. Semua sudah terasa kepentingan UMNO itu disokong betapa kritikal akan kedudukan Melayu.

Jika semasa kempen PRU-13, calon atau peraih undi BN yang datang di Sungai Limau dibuat endah tak endah, tetapi kali ini penduduk membuka pintu rumah seluas-luasnya. Kebergantungan kepada UMNO begitu menyerlah.

Kesediaan Mukhriz tidur di rumah pengundi pada 30 Oktober malam di rumah Bahari Awang di Kampung Permatang Buluh menunjukkan kesungguhan beliau untuk mendekati rakyat, merasai denyut nadi rakyat serta kesusahan dan kepayahan rakyat.

Cuma di sebalik itu, memang kelihatannya orang Cina mengundi BN, namun ada yang meminta 'perlu diperkukuhkan' bacaan itu. Ini kerana dikatakan kempen oleh MCA/Gerakan seperti 'melepaskan batuk di tangga' sahaja. Walaupun pemimpin MCA turun padang pada 1 November lalu namun tiada sambutan hangat diterima seperti mana berlaku di Kabu Sepuloh, Dulang dan Simpang Tiga. Ini berbeza apabila pemimpin-pemimpin DAP turun. Walaupun DUN Sungai Limau dilihat bagaikan jauh dari capaian 'hasutan' DAP namun masyarakat Cina tetap mempunyai cara mereka untuk bersatu dalam membuat keputusan.

Barang diingat, meskipun kerajaan memperuntukkan RM2 juta bagi penambahbaikan sekolah di SJKC di DUN berkenaan, namun hanya kira-kira 180 atau 10 peratus daripada 1,827 pengundi Cina yang mengundi BN pada PRU lalu. Dalam PRK Sungai Limau ini, nampaknya ada sedikit peningkatan sokongan Cina kepada BN.

Dan sesuatu yang perlu diakui di Sungai Limau, jentera Wanita parti yang diterajui Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Puteri perlu diberi kredit yang tinggi. Jentera kedua-dua sayap ini sudah terpacul sejak subuh lagi, sanggup berhujan, berpanas sehingga meredah kepekatan malam menemui pengundi.

Tahniah dan syabas kepada SPR khususnya Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang menjadikan perjalanan PRK ini dengan lancar dan teratur sekali.

Juga, kepada pasukan keselamatan, PDRM yang dipimpin oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz, penghargaan patut diberi kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turun di Sungai Limau bagi membantu dan menyuntik semangat kempen kepada jentera BN.

Tidak mustahil BN boleh kembali menguasai DUN Sungai Limau pada PRU-14 nanti. Dalam hal ini, BN kena pastikan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) memulakan kerja dari sekarang dan memberi khidmat sebaik-baiknya kepada pengundi.

Kalau sesuai, calon sedia ada boleh dikekalkan di Sungai Limau nanti, sesuai dengan keperibadiannya yang tidak sombong, rendah diri dan orang surau. Di Sungai Limau, Pas tidak menang sepenuhnya dan BN tidak kalah semuanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved