Rabu, 6 November 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


470,395 calon duduki SPM

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Seramai 470,395 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di 3,616 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini hingga 5 Disember depan.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM), daripada jumlah itu seramai 415,509 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Sebanyak 8,054 calon pula dari sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); 8,325 calon Sekolah Menengah Agama Negeri; 11,261 calon sekolah swasta berdaftar dengan KPM; 22,857 calon sekolah persendirian; dan 1,389 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat.

Hari ini, calon menduduki dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni Visual bagi calon yang mengambilnya.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 22,483 calon menduduki peperiksaan itu di 180 buah pusat peperiksaan melibatkan 1,513 petugas di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Zakaria Hussien berkata, seramai 58 calon merupakan Calon Berkeperluan Khas (CBK).

"Kita sediakan kertas peperiksaan khas mengikut keperluan calon ini dan memperuntukkan lebihan masa setengah jam untuk mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri di sini hari ini.

Di JOHOR BAHRU, seramai 57,090 calon menduduki SPM di 382 pusat peperiksaan.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd. Nor A. Ghani berkata, daripada jumlah itu, seramai 51,170 calon adalah dari sekolah kerajaan, 2,836 calon dari sekolah swasta dan 751 calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 121 calon Sekolah Menengah Agama Negeri dan 2,212 calon persendirian.

Di ALOR SETAR, seramai 37,915 calon menduduki peperiksaan di 280 pusat peperiksaan di Kedah.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat berkata, mereka termasuklah 32,883 calon sekolah menengah harian, Maktab Rendah Sains Mara (960 calon), Maktab Mahmud (sekolah agama) (775 calon) dan Sekolah Agama Rakyat (981).

Di KOTA KINABALU, seramai 40,653 calon menduduki peperiksaan di 336 pusat peperiksaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Jame Alip berkata, pihaknya juga sudah bersedia dengan pelan kontingensi untuk menghadapi banjir di negeri ini.

Antara kawasan yang berisiko dilanda banjir ialah Kinabatangan, Sandakan, Beaufort, Penampang, Inanam dan beberapa kawasan pantai barat seperti Keningau.

Di LABUAN, seramai 1,070 calon menduduki peperiksaan itu di 11 pusat peperiksaaan.

Di KOTA BHARU, sebanyak 291 pusat peperiksaan dibuka.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussein Awang berkata, daripada 34,217 calon yang menduduki peperiksaan itu, seramai 27,048 calon daripada sekolah kerajaan, Yayasan Islam Kelantan (4,972 calon), sekolah swasta (123 calon) dan calon persendirian (2,049 calon).

Di MELAKA, seramai 15,675 calon menduduki SPM termasuk 10 pelajar menduduki peperiksaan di lima hospital di sekitar negeri ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka, Kasim Mohamad berkata, daripada jumlah itu seramai 13,740 calon merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 19,948 calon menduduki SPM di negeri ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Kalsom Khalid berkata, daripada jumlah itu, seramai 17,881 calon merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan, MRSM (515), Sekolah Menengah Agama Negeri (137), sekolah swasta (480) dan calon persendirian (935).

Di KUCHING, seramai 38,725 calon di negeri ini menduduki SPM di 268 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak.

Sebanyak 179 penyelia dan 2,117 pengawas dilantik mengendalikan peperiksaan itu. - BERNAMA

Jawab soalan guna kaki

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

NOR Ismawati Abdul Aziz menggunakan kaki untuk menjawab soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. - BERNAMA

KUALA TERENGGANU 6 Nov. - Kedua-dua tangannya tidak dapat berfungsi namun keadaan itu tidak menghalang calon orang kurang upaya (OKU) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nor Ismawati Abdul Aziz, 17, untuk menduduki peperiksaan itu hari ini.

Kecacatan sejak lahir itu juga bukan satu kekurangan baginya, malah dia juga memasang impian untuk berjaya sebagaimana calon lain kerana kakinya masih boleh menjadi pengganti bagi menjawab soalan dengan tenang dan lancar.

"Orang lain mungkin melihat saya macam kurang selesa tetapi saya sudah biasa menulis dengan kaki.

"Saya juga mahu berjaya dan akhirnya dapat masuk ke universiti nanti," katanya ketika ditemui sebelum sesi peperiksaan bermula dekat sini hari ini.

Ujar pelajar itu, dia amat meminati mata pelajaran seni lukis dan berharap memperoleh keputusan terbaik dalam subjek berkenaan.

"Saya telah memenangi beberapa pertandingan melukis di negeri ini, jadi saya berharap dapat buat yang terbaik pada peperiksaan mata pelajaran itu nanti," jelasnya yang merupakan antara lapan calon OKU di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar dekat sini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussein memaklumkan, seramai 10 calon terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah kerana terlibat dengan kemalangan dan masalah kesihatan.

"Tahun ini, terdapat seramai 58 calon orang kelainan upaya di seluruh negeri melibatkan kategori rabun, pekak, cacat anggota serta masalah pembelajaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau calon SPM di SMK Ibrahim Fikri di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seramai 3,359 calon Penggal 3 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menduduki peperiksaan tersebut bermula hari ini sehingga 5 Disember.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved