Rabu, 6 November 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Raih lima pingat emas, 15 perak, 10 gangsa

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada penyelidik dan pensyarah yang memenangi pingat dalam Pameran dan Persidangan BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 5 Nov. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan kegemilangan apabila muncul sebagai institusi penyelidikan paling banyak memenangi pingat dalam Pameran dan Persidangan BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 yang diadakan di sini baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Ir. Mohd. Azraai Kassim berkata, pada pameran berkenaan, UTM membawa pulang lima pingat emas, 15 perak dan 10 gangsa daripada 35 produk rekacipta dan inovasi yang dihasilkan para penyelidiknya.

Beliau berkata, antara produk yang mendapat perhatian ramai ialah ejen pembersihan berasaskan minyak kelapa dara yang diiktiraf sebagai salah satu produk terbaik.

"Produk yang dihasilkan oleh penyelidik daripada Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM itu memenangi anugerah utama Biotechnology Innovation of The Year," katanya.

Menurutnya, antara pingat emas lain yang dimenangi menerusi Prof. Dr. Rer. Nat. Hesham Ali Metwally Ali El-Enshasy dengan produknya 3 In 1 Pellet Fertilizers, Dr. Siti Hamidah Mohd. Setapar dengan Sustainable Horse Feed from Local Grass dan Bioappetizer For Feed Intake Activity dan Prof. Dr. Ir. Eko Supriyanto menerusi produk Integrated Prenatal Monitoring System.

"Kejayaan besar ini diharap akan terus mengorak langkah UTM bagi memastikan hasil-hasil penyelidikan mampu bersaing di peringkat global dengan menghasilkan produk penyelidikan yang bermutu tinggi," katanya.

Pameran yang berlangsung selama tiga hari yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan sebanyak 126 reka cipta dan inovasi terbaharu dalam bidang bioteknologi dipertandingkan.

Acara tahunan itu dianjurkan bersama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) dan Protemp Exhibitions Sdn. Bhd serta dikunjungi lebih 10,000 pelawat industri.

Acara itu turut mengumpulkan pakar bioteknologi dunia dan serantau, ahli sains dan pelabur yang bersedia berkongsi pengetahuan mereka untuk meneruskan momentum dalam pertumbuhan bioekonomi.

Pameran ini telah disertai oleh beberapa universiti tempatan termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan institusi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Mahasiswa UTM, penuntut Indonesia sertai ICE 2013 bermula hari ini

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

JOHOR BAHRU 5 Nov. - Kolej Tun Hussein Onn dengan kerjasama Persatuan Anak Felda (Persada) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menganjurkan program International Culture Exchange (ICE 2013) yang akan berlangsung di Felda Lok Heng, Kota Tinggi bermula esok.

Wakil unit publisiti, Nor Shahera Ezaty Mustafa Kamal berkata, program berbentuk khidmat masyarakat dan pertukaran budaya antara masyarakat tempatan dan penuntut dari Indonesia itu diadakan selama lima hari.

Program tersebut akan disertai oleh 90 penuntut UTM dengan 20 daripadanya adalah ahli Persada dan masing-masing 10 penuntut dari Universiti Prawijaya serta Institusi Sepuluh Nopember dari Indonesia.

"Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang betapa besarnya manfaat khidmat masyarakat dan perkongsian budaya antarabangsa selain untuk memupuk rasa tanggungjawab kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nor Shahera berkata, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program tersebut antaranya Program Anak Angkat, Our Dream Our Action yang melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lokman Hakim, Cari Dunia Damba Akhirat, 10, 000 Langkah, Simfoni ICE, 1 Heart, Felda Idol, Senaman 1Malaysia dan Karnival Inovasi ICE.

Dengan adanya Program Anak Angkat, para peserta berpeluang mengenali keluarga angkat masing-masing termasuk budaya dan cara hidup mereka secara lebih dekat.

"Mereka juga berpeluang merasai suasana hidup di kawasan Felda yang semestinya berbeza dengan kehidupan mereka, sekali gus menjanjikan pengalaman yang menarik," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved