Isnin, 28 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Buku sumber maklumat relevan

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

PADANG BESAR 27 Okt. - Buku masih lagi relevan dan menjadi penyumbang utama maklumat meskipun dunia teknologi maklumat kini dibanjiri teknologi canggih bagi kaedah pencarian maklumat dengan lebih pantas.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar berkata, kecanggihan dunia hari ini tidak menjejaskan industri buku secara keseluruhannya.

"Sebaliknya penggunaan gajet-gajet terkini itu perlu diguna pakai bagi mendapatkan maklumat dan dalam masa sama mempelbagaikan kaedah pencarian maklumat termasuk buku," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan Kem Literasi Maklumat dan Media di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs), Muhammad Harun.

Kem Literasi Maklumat dan Media itu bertujuan meningkatkan kemahiran peserta mengenai teknik pencarian, penilaian dan pengurusan maklumat yang disertai kira-kira 80 pelajar dari sekolah menengah di seluruh Perlis.

Raslin berkata, jumlah koleksi bahan di perpustakaan sama ada dalam bentuk bercetak atau tidak bercetak sentiasa sentiasa meningkat saban tahun.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat disaran menggunakan kemudahan yang disediakan itu dengan semaksima mungkin.

"Bahan-bahan ini tersedia secara percuma dan pengguna boleh mendapatkannya di perpustakaan," katanya.

Beliau berkata, paling terbaharu iaitu projek U-Pustaka yang memberi lebih ruang dan peluang kepada pengguna mengakses kandungan dan perkhidmatan maklumat secara lebih cekap, bersepadu dan telus pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Sheikh Muszaphar temui 4,000 pelajar di Kuala Kangsar

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Aksi Sheikh Muszaphar Shukor menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang pelajar ketika beliau menyampaikan ceramah dalam Program Karnival Membaca 1Malaysia di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, Perak, semalam.

KUALA KANGSAR 27 Okt. - Kehadiran angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dalam Karnival Membaca 1Malaysia dan Pemantapan Nilai-Nilai Murni di Dewan Jubli Perak di sini, semalam mencuri tumpuan lebih 4,000 pelajar yang menyertai program berkenaan.

Peserta program anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) itu terdiri daripada pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri ini yang mana mereka turut mengikuti Sesi Motivasi Bersama Angkasawan Negara selama sejam.

Majlis itu dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Abdul Ghafar A.Thambi dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad.

Program selama dua hari yang bermula semalam itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti promosi perkhidmatan yang disediakan PNM, pameran dan jualan, sesi bersama penulis dan program Semarak Jawi.

Turut diadakan pertandingan mewarna prasekolah, ceramah kesedaran kanser, pertandingan nyanyian lagu-lagu patriotik, persembahan pancaragam, forum nilai-nilai murni dan persembahan silap mata.

Sesi motivasi bersama angkasawan negara paling mendapat tumpuan selepas para peserta memenuhi ruang dewan untuk mendengar motivasi yang disampaikan Sheikh Muszaphar.

Sepanjang sesi tersebut, peserta juga diberi peluang berinteraksi dan bertanyakan soalan kepada angkasawan negara itu.

Peserta begitu tertarik selepas Sheikh Muszaphar menceritakan pelbagai pengalamannya sewaktu di angkasa antaranya ketika berwuduk, solat serta tidur.

Selepas sesi motivasi, para peserta mengambil peluang mendapatkan tandatangan dan bergambar dengan angkasawan negara itu.

25 graduan BMLIAHS dianugerah Pingat Tan Sri Johari

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Para graduan bergambar bersama Mustapha Kamal Abu Bakar (tengah) dan Salmah Awang(barisan kedua, tiga dari kanan) serta para pensyarah dalam Majlis Konvokesyen Ke-4, Bukit Merah Laketown Institute of Allied Health Sciences di Bukit Merah Laketown Resort, Bukit Merah, Perak, semalam.

BAGAN SERAI 27 Okt. - Sebanyak 25 graduan Bukit Merah Laketown Institute of Allied Health Sciences (BMLIAHS) hari ini dianugerahi Pingat Tan Sri Johari setelah berjaya meraih pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Pendaftaran Lembaga Jururawat bagi sesi Disember tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Pengelola BMLIAHS, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, graduan kolej itu berjaya mengekalkan kelulusan 100 peratus dalam penilaian profesional tersebut sebanyak dua kali berturut-turut termasuk bagi sesi September baru-baru ini.

"Saya amat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan anak-anak ini kerana mereka mendapat tiga atau empat kredit sahaja semasa peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan kebanyakannya berasal dari luar bandar.

"Namun, pelajar-pelajar ini membuktikan mereka juga boleh berjaya sekiranya diberi ruang dan peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi," katanya dalam sidang akhbar dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Konvokesyen BMLIAHS Kali Keempat yang diadakan di Bukit Merah Laketown Resort di sini, hari ini dan turut dihadiri Ketua Eksekutif BMLIAHS, Salmah Awang.

Sebanyak 251 graduan menerima diploma dalam bidang sains kesihatan seperti Diploma Kejururawatan dalam sesi konvokesyen kali ini.

Dalam majlis tersebut, Alim Hamzan dipilih menerima Pingat Tan Sri Mustapha Kamal yang antara lain mengiktiraf pencapaian pelajar cemerlang dalam semua bidang termasuk akademik, kokurikulum dan kepemimpinan.

Mustapha Kamal turut menganugerahkan Pingat Tun Mahathir dan Pingat Tun Siti Hasmah masing-masing kepada Fairuz Azmi dan Siti Zabedah Che Mazlan atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang akademik dan kepemimpinan.

Dalam pada itu, Mustapha Kamal berkata, BMLIAHS dijangka menawarkan beberapa kursus baharu menjelang tahun depan bagi memperkembang skop pendidikan sains kesihatan sedia ada di institusi berkenaan.

Beliau berkata, beberapa kursus yang sedang dalam proses pendaftaran dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu termasuk Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel dan Diploma Pengurusan Pelancongan selain Sijil Hospitaliti dan Sijil Sains Kesihatan.

"Saya mempunyai tujuh buah resort di seluruh negara, jadi kita harapkan dapat menggunakan sumber yang ada ini untuk memberikan kemahiran dan latihan secukupnya bagi melahirkan graduan berkualiti yang dapat bersaing di pasaran kerja," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved