Isnin, 28 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


DBKL dibenar rayu keputusan mahkamah

Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT

PUTRAJAYA 28 Okt. - Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merayu keputusan terdahulu yang tidak memihak kepadanya berhubung isu pengambilan tanah melibatkan lot-lot kedai Pasar Minggu Kampung Baru di ibu negara.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian setelah membenarkan DBKL mengemukakan satu persoalan undang-undang dalam rayuan kelak.

Persoalan itu membabitkan isu sama ada DBKL perlu membayar pampasan kepada responden-responden mengikut Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan Perlu (Pembersihan Setinggan-Setinggan) 1969.

Yang turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Abdull Hamid Embong serta Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

DBKL diwakili oleh peguam B. Thangaraj manakala pihak responden oleh M. Kamalam.

Isu itu bermula apabila DBKL pada 2008 mengeluarkan notis yang mengarahkan penduduk-penduduk terdiri daripada sejumlah peniaga lot-lot kedai di Pasar Minggu Jalan Raja Muda, Kampung Baru, agar berpindah.

Mereka yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM) dan peniaga-peniaga lain kemudian memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi bagi memohon injunksi menghalang perpindahan tersebut.

Ahli-ahli PPKPM dinamakan sebagai plaintif pertama hingga plaintif 122 yang merupakan penduduk dari Jalan Perkins, Kampung Baru manakala plaintif 123 hingga 171 adalah golongan peniaga, sementara plaintif 172 hingga 181 adalah penduduk setinggan.

Saman difailkan oleh PPKPM melalui Naib Yang Dipertua persatuan tersebut, Aziz Hamzah.

Tuntutan saman itu menyatakan mereka mempunyai hak dan ekuiti terhadap lot-lot tanah tersebut dan memohon pampasan mengikut nilai tanah atau diganti dengan hartanah lain yang setaraf dengan nilai tanah berkenaan.

Mereka juga memohon agar notis-notis berkenaan ditarik balik manakala DBKL memberi aku janji bahawa pihak plaintif diberi lot-lot kedai apabila projek pembangunan di kawasan itu siap.

Plaintif turut memohon diberi lot-lot kedai sementara yang didirikan di kawasan berdekatan Pasar Minggu Kampung Baru.

Mahkamah Tinggi pada 29 November tahun lalu memutuskan plaintif pertama hingga 171 berhak diberi pampasan bagi maksud perpindahan dan pemulihan seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 16(3).

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid membenarkan tuntutan saman itu selepas berpuas hati pihak plaintif tersebut telah berjaya membuktikan mereka adalah penghuni dan peniaga yang sah di situ.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak tuntutan saman plaintif 172 hingga 181 kerana mereka penduduk setinggan.

Mahkamah turut memerintahkan faedah pada kadar lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman manakala kos ditaksir oleh Timbalan Pendaftar.

Rayuan DBKL kemudian ditolak oleh Mahkamah Rayuan tanpa kos pada 20 Mei lalu manakala jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada pihak responden dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran.

Konstabel didakwa rogol, rompak warga China

Posted: 28 Oct 2013 05:16 AM PDT

PETALING JAYA 28 Okt. - Seorang konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol seorang wanita warga China dan merompak mangsa serta empat rakannya yang lain, bulan lepas.

Bagi pertuduhan merogol, Mohamad Hafizan Ibrahim, 22, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 30 tahun di sebuah premis rumah urut di Taman Megah di sini pada 1.10 pagi 20 September lepas.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 November untuk sebutan kes.

Pendakwaan bagi kes ini dikendali Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohamad Hafizan turut berdepan pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pistol jenis revolver .38 bersama seorang lagi konstabel iaitu Khairulnizam Dolah Khairi, 32, dan tiga individu lain, Zainulazli Zahari, 30, Mohd Irham Abdul Rahman, 25, dan Normazlina Kamardin, 34, di Mahkamah Sesyen berasingan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa dan rakannya seorang warga tempatan Cher Cheng Peng serta tiga warga China iaitu Li Min, Su Yanfei dan Zhao Chunyu, yang berusia lingkungan 20 hingga 39 tahun di tempat, pada masa dan tarikh sama.

Mengikut pertuduhan, mereka merampas wang tunai berjumlah RM1,000 dan lima telefon bimbit daripada kesemua mangsa yang bekerja sebagai tukang urut.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Nov untuk sebutan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved