Isnin, 28 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Lawatan PM ke Manchester dibatal akibat cuaca buruk

Posted: 28 Oct 2013 03:00 AM PDT

Daripada AZNAN BAKAR

LONDON 28 Okt. - Ribut kencang yang membadai Britain sejak semalam menyebabkan beberapa program Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dalam rawatan kerja ke negara ini terpaksa dibatalkan.

Angin kencang selaju kira-kira 130 kilometer sejam menjejaskan sistem pengangkutan awam di negara ini termasuk menyebabkan pembatalan penerbangan Perdana Menteri ke Manchester bagi menghadiri program kesukarelaan 1M4U.

Perdana Menteri yang tiba di London dua hari lalu sedang dalam dalam rangka lawatan kerja untuk menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-9, sepatutnya berlepas ke Manchester dari Lapangan Terbang Luton dekat sini, pagi ini.

Mengikut jadual asal, Perdana Menteri akan bersama-sama dengan sukarelawan 1M4U menjalankan aktiviti kesukarelaan di Masjid dan Pusat Islam Manchester.

Agensi Alam Sekitar Britain telah mengeluarkan lapan amaran banjir di barat daya England, sementara hampir semua syarikat pengendali perkhidmatan keretapi dan syarikat penerbangan membatalkan perkhidmatan mereka.

Taufan St. Jude yang bergerak dari Lautan Atlantik melanda Britain seawal pagi semalam dengan jabatan meteorologi meramalkannya sebagai yang terburuk dalam tempoh sedekad lalu. - UTUSAN ONLINE

Ujian saringan HIV berjaya kurangkan kes baharu AIDS

Posted: 28 Oct 2013 02:20 AM PDT

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Inisiatif kerajaan melaksana ujian saringan HIV terhadap bakal pengantin Islam berjaya mengurangkan bilangan kes baharu pesakit AIDS di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, berikutan keberkesanan ujian saringan yang diperkenal sejak 2005 itu, bakal pengantin bukan Islam turut dicadangkan menjalani ujian terbabit bagi mengelak penularan penyakit berjangkit tersebut.

Menurut beliau, bilangan kes HIV menurun tahun demi tahun sejak 2003 dan antara Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,702 kes dicatatkan berbanding 6,978 kes pada 2002.

Tambahnya, pesakit HIV yang masih hidup setakat Jun lalu pula ialah sebanyak 83,995 orang iaitu menurun berbanding 2012 yang mencatat jumlah kumulatif kes HIV sebanyak 98,279 kes.

"Kerajaan komited menurunkan bilangan kes HIV baharu dengan menetapkan sasaran menurunkan jumlah kes kepada hanya 11 kes bagi 100,000 penduduk pada 2015," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Hilmi berkata, sejak 2000, majoriti pesakit AIDS telah beralih kepada golongan produktif yang lebih muda iaitu berumur antara 20 hingga 39 tahun meliputi sebanyak 75.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes HIV.

Katanya, pola itu berbeza dengan tahun sebelumnya yang mana kebanyakan pesakit HIV berusia antara 30 hingga 39 tahun.

"Sejak 2010, secara relatifnya peratusan jangkitan adalah melalui hubungan seksual meliputi 60 peratus berbanding jangkitan melalui perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah sebanyak 40 peratus," katanya. - UTUSAN ONLINE

Sumber, kecekapan: Malaysia kedua berdaya maju - TPM

Posted: 28 Oct 2013 02:19 AM PDT

Oleh HUSSAINI AMRAN

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berbangga dengan pengiktirafan Connectivity Scorecard 2013 yang meletakkan Malaysia di tempat kedua dalam kalangan 26 negara berdaya maju dari aspek sumber dan kecekapan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kedudukan itu mengatasi beberapa negara ASEAN termasuk Thailand yang menduduki tempat ke-13, Vietnam (14), Filipina (18) dan Indonesia (20) manakala Singapura disenaraikan di bawah kumpulan negara-negara berinovatif.

"Amat menggembirakan apabila melihat prestasi konsisten Malaysia dalam scorecard tersebut dengan mengekalkan kedudukan tiga tempat teratas sepanjang beberapa tahun lalu," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Perkhidmatan Internet Protokol (IP) V Telecoms Global di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Mohamed Shahril Mohamed Tarmizi dan Pengerusi V Telecoms Global Limited, Tan Sri Syed Mohd. Yusof Tun Syed Nasir. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved