Isnin, 28 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


JPJ sita lapan kenderaan dalam operasi khas

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Sebahagian daripada pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas di Persiaran Senawang 1, Seremban, malam semalam.

SEREMBAN 27 Okt. - Sebanyak lapan pengguna kenderaan terpaksa pulang berjalan kaki selepas motosikal dan kereta mereka disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi khas di Persiaran Senawang 1 di sini malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, semua kenderaan tersebut terdiri daripada lima buah motosikal dan tiga buah kereta disita kerana tiada cukai jalan dan insurans serta lesen memandu.

Menurut beliau, dalam operasi yang bermula pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam itu sebanyak 308 buah kenderaan telah diperiksa.

"Daripada jumlah itu sebanyak 43 buah motosikal dan 86 buah kereta telah dikenakan tindakan saman atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan teknikal.

"JPJ menyita lima buah motosikal dan tiga buah kereta kerana tiada cukai jalan dan insurans serta pemandunya juga tidak mempunyai lesen memandu," katanya selepas mengetuai operasi itu.

Menurut Saiful Azzri, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 53 notis arah periksa kepada pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan seperti ubah suai kenderaan tanpa kebenaran dan cermin gelap.

Tambah beliau, antara kesalahan yang paling banyak dikesan adalah melibatkan teknikal seperti lampu brek dan lampu brek ketiga gagal berfungsi.

"Selain menyasarkan kepada motosikal kita juga memeriksa pemilik kenderaan yang mengabaikan aspek keselamatan pada kenderaan seperti lampu brek tidak berfungsi.

"Kita dapati ramai pemandu mengabaikan keadaan kenderaan mereka seperti lampu brek ini dan tidak sedar bahawa kerosakan ini boleh membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya yang lain," jelasnya.

Menurut beliau, pihaknya akan meneruskan operasi berkenaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang jalan raya di negara ini.

Empangan baharu di Lubok Cina

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Abdul Ghafaar Atan (tiga dari kiri) memotong riben perasmian Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Berkaitan Industri Perkhidmatan sambil diperhatikan Loo Took Gee (dua dari kiri) di MITC, Melaka, semalam.

MELAKA 27 Okt. - Kerajaan negeri bercadang membina sebuah empangan baharu di Lubok Cina, Alor Gajah bagi menampung bekalan air kepada penduduk di bahagian utara negeri ini dalam tempoh jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, pembinaan empangan itu bagaimanapun tidak akan dilakukan secara drastik sebaliknya dilaksana secara berperingkat.

Menurutnya, projek melibatkan 80 lot tanah yang sedang dalam proses permohonan itu diharap diterima baik oleh seluruh penduduk setempat bagi kepentingan bersama.

"Ini adalah penting kerana bekalan air di empangan baharu itu dijangka mampu memberi kesan jangka panjang berikutan bilangan penduduk yang semakin bertambah di kawasan Melaka Utara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Berkaitan Industri Perkhidmatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Teo Yen Hua dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka (SAM) Berhad, Datuk Mohd. Khalid Nasir.

Jelas Abdul Ghafaar, pembinaan empangan dijangka menelan kos sebanyak RM120 juta melibatkan sumber air dari Sungai Jernih, Sungai Rembau dan Sungai Siput yang disalurkan ke empangan itu.

"Projek yang dijangka siap pada 2018 ini kelak dijangka turut mampu menampung bekalan air kepada penduduk di sekitar Kuala Linggi dan Masjid Tanah," ujarnya.

Katanya lagi, pada masa ini, kesemua penduduk di bahagian utara negeri ini menggunakan bekalan air dari empangan di Lendu dan Durian Tunggal.

"Jarak empangan berkenaan ke kawasan Melaka Utara adalah sejauh kira-kira 40 kilometer dan kadang-kala berlaku masalah disebabkan tekanan air rendah kerana jaraknya yang jauh," tambahnya.

Bajet 2014 bantu rakyat pelbagai peringkat usia

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

MELAKA 27 Okt. - Pendekatan yang diambil kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 dilihat sesuatu yang munasabah malah dianggap antara yang terbaik dalam usaha membantu rakyat di pelbagai peringkat usia.

Beberapa penduduk yang ditemui Utusan Malaysia berkata, mereka menyambut baik usaha kerajaan menerusi bajet itu bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Timbalan Pengurus Japerun Sungai Udang, Ismail Othman, 65, berkata, butiran Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu amat bersesuaian dengan situasi ekonomi semasa.

"Saya menganggap pembentangan bajet ini sebagai sesuatu yang 'berjiwa rakyat' dan saya menyambut baik walaupun dalam keadaan ekonomi negara yang sering menjadi pertikaian sesetengah pihak.

"Apa yang saya lihat, pemimpin negara membuat pertimbangan yang terbaik dan jelas dalam memberi pelbagai kemudahan kepada rakyat," katanya.

Penduduk, Rusli Abdul Hamid, 56, berkata, Bajet 2014 dilihat relevan dan banyak memberi kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan rakyat.

"Kita seharusnya bersyukur kerana inti pati bajet yang dibentangkan baru-baru ini menyeluruh dan banyak memberi manfaat kepada rakyat, hal ini tidak dilihat di negara luar.

"Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2015 dilihat sesuatu yang baik kepada rakyat kerana cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada akan dimansuhkan," katanya.

Dalam pada itu, kakitangan kerajaan, Norafiqah Rusli, 26, berkata, Bajet 2014 memberi lebih keyakinan kepada rakyat terutama kakitangan awam terhadap kewibawaan kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan.

"Usaha kerajaan dalam menaikkan harga rokok dan menghapuskan subsidi gula juga dilihat sesuatu yang baik jika dipandang dari sudut positif.

"Masyarakat akan menjadi lebih terdidik untuk berjimat-cermat dalam penggunaan gula pada masa akan datang dan ini secara tidak langsung dapat menghindari penyakit," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved