Isnin, 28 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kelantan pilihan jurulatih

Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Penyerang import Kelantan, Dickson Nwaekame (tengah) akan menjadi senjata utama The Red Warriors menentang Pahang pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

KUALA LUMPUR - Rata-rata jurulatih Liga Malaysia memilih Kelantan menjuarai Piala Malaysia 2013 pada perlawanan akhir Ahad ini sekali gus memanjangkan penantian 21 tahun Pahang untuk menjulangnya atas faktor pengalaman dan kualiti pemain The Red Warriors.

Hanya jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang bersikap berkecuali dengan menyatakan, cuma pasukan yang terbaik akan mampu menjulang trofi berprestij berusia 46 tahun pada edisi 2013 yang menjadi penutup tirai Liga Malaysia musim ini.

Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan berkata, penentuan juara ibarat bergantung kepada kemahuan Kelantan mahu atau tidak untuk bergelar juara lagi.

Beliau meramalkan perlawanan akhir itu akan berakhir dalam 90 minit masa sebenar yang memihak Kelantan 1-0 atau 2-1.

"Tidak mungkin terheret ke masa tambahan biarpun saya puji Pahang yang memiliki Azamuddin Akil, Matias Conti dan R. Gopinathan. Ramai pemain Kelantan yang boleh dikatakan susah nak dikawal tetapi jika Kelantan main lewa atau ambil mudah, keputusannya boleh berubah," katanya.

Jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria berkata, Kelantan ada pengalaman dan ramai pemainnya kerap beraksi pada perlawanan akhir.

Katanya, bahagian tengah dan serangan mereka juga lebih baik dan berkualiti.

''Mungkin keputusannya Kelantan menang 2-0 dalam 90 minit.

"Namun, jangan pandang rendah Pahang kerana jika Kelantan berbuat begitu dan mengambil ringan lawan, boleh berulang seperti ATM mendahului mereka 2-0 pada separuh akhir di Kota Bharu (Jumaat lalu).

"Mungkin ramai meletakkan Dickson Nwakaeme (pemain import Nigeria) yang menjadi perhatian tetapi saya lebih menggemari dua pemain tempatan Kelantan, Nor Farhan Muhammad dan Badhri Radzi sebagai bintang perlawanan akhir itu," katanya.

Menurut Ismail, Pahang hanya mampu mengubah ramalan keputusannya itu dengan bersandarkan keinginan meluap-luap barisan pemain mudanya untuk menjulang Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 1992 dengan menewaskan Kedah 1-0.

"Setelah sekian lama Pahang tidak memasuki perlawanan akhir, sudah pasti semangat dan keazaman pemain mereka lebih tinggi berbanding Kelantan yang sudah dua kali juara Piala Malaysia (2010 dan 2012).

"Pemain muda ini juga mempunyai motivasi lain iaitu untuk menghadiahkan Sultan Pahang sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-83, Khamis lalu," katanya yang membawa Sime Darby menceburi Liga Super musim depan, bergelar naib juara Liga Perdana dan mara ke suku akhir Piala Malaysia 2013.

Bagi bekas jurulatih Perak, Azraai Khor Abdullah, beliau meramalkan Kelantan menang dengan keputusan 3-1 tanpa memerlukan masa tambahan 30 minit.

''Ramai pemain Kelantan sudah berpengalaman perlawanan akhir Piala Malaysia (2009, 2010 dan 2012) dan barisan yang hampir sama akan bermain lagi.

"Kualiti Kelantan sudah terbukti ketika separuh akhir kedua menentang ATM apabila dalam 10 minit terakhir pemain mereka masih boleh menyengat. Badhri bakal menyerlah lagi kerana dia mampu mengawal dan mencipta rentak permainan malah menjaringkan gol.

"Kelantan terlalu bagus untuk ditewaskan sedangkan Pahang mungkin terlalu bergantung kepada Conti, Alex (Azamuddin) dan Fauzi Roslan (penjaring gol penyamaan separuh akhir kedua menentang Sarawak, Sabtu lalu)," katanya.

FAM perketat pintu masuk

Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

PETALING JAYA - Awas! Pembeli dan pemilik tiket palsu perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 2013 antara Kelantan dan Pahang, Ahad ini tidak akan terlepas masuk ke Stadium Shah Alam dengan sewenang-wenangnya sehingga menyulitkan mereka yang mempunyai tiket sah.

Tiga lapisan pencegahan bakal menanti mereka dengan yang pertama, setiap penonton diwajib menjalani pemeriksaan badan oleh pihak keselamatan termasuk wanita di lorong khas.

Keduanya, tiket penonton akan diperiksa menerusi sistem ultra ungu bagi menentukan kesahihannya dan yang terakhir, pemeriksaan ke atas sesiapa yang cuba membawa barang-barang larangan ke stadium.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, sesiapa yang cuba masuk dengan tiket palsu selepas dikesan sistem ultra ungu akan berdepan tindakan.

"Pemilik tiket palsu tidak boleh dibenarkan masuk stadium. Nasihat buat mereka, belilah tiket mengikut saluran yang sah. Pemeriksaan badan dan barang juga bertujuan supaya tiada bahan larangan seperti suar terlepas ke stadium," tegasnya.

Beliau yang juga Naib Presiden FAM berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir PIala Malaysia 2013 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Katanya, Kelantan dan Pahang akan menerima peruntukan 30,000 tiket setiap pasukan yang akan mula dijual esok di tempat-tempat yang bakal ditetapkan persatuan bola sepak negeri mereka, hari ini.

"Bakinya, 15,000 tiket akan dijual di Stadium Shah Alam mulai 9 pagi, hari yang sama. Harga tiket semua tempat duduk RM40 dan hanya RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun (1,000 tiket sahaja).

"Kelantan diletakkan sebagai pasukan tuan rumah dan bermain di sebelah kiri dan Pahang selaku pelawat, di kanan. Mesyuarat pengurus pasukan ditetapkan 1 November di stadium mulai 11 pagi yang melibatkan pengurus, jurulatih dan ketua pasukan.

"Keesokannya, sesi latihan di situ dengan Pahang mula berlatih 5.15 petang hingga 6 petang diikuti Kelantan dari 6.15 petang hingga 7 petang," kata Afandi selepas mesyuarat yang turut dihadiri pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Akbar VV Abu.

Kata Afandi, FAM menjangkakan kesesakan lalu lintas menjelang hari perlawanan akhir memandangkan kedua-dua penyokong negeri pantai timur itu menggunakan laluan lebuh raya yang sama untuk ke Shah Alam seperti di Karak, Bentong dan Gombak.

"Bagi penyokong Kelantan, mereka tiada pilihan untuk ke Shah Alam kerana mesti melalui Pahang. Jadi kami minta kawalan polis trafik bagi melancarkan perjalanan penyokong di Lebuh Raya Karak, Bentong dan Gombak yang dijangka sesak.

"Kami menasihatkan penyokong menjadualkan perjalanan masing-masing agar dapat mengelak kesesakan itu. Penyokong juga dibenarkan memasuki stadium mulai 3 petang hari perlawanan akhir," katanya.

Jelasnya, keseriusan terhadap langkah keselamatan di stadium juga dibuktikan apabila jawatankuasa bersetuju untuk menempatkan sebanyak 2,155 anggota keselamatan sebelum, semasa dan selepas perlawanan yang hampir sama seperti tahun lalu, 2,200 orang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved