Selasa, 1 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Lebih 50 petani sukar tanam padi

Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT

Oleh A. MALEK ASLIE
pengarang@utusan.com.my

HAMSI Sulaiman (kiri) dan Mohd. Saad Sulaiman menunjukkan tanah sawah yang kering kontang dan merekah akibat kekurangan air di Kampung Parit Haji Wahab dan Kampung Parit Tok Ngah di Parit Buntar, semalam. - UTUSAN/Malek Aslie

PARIT BUNTAR 30 Sept. - Lebih 50 petani di Kampung Parit Haji Wahab dan Kampung Parit Tok Ngah di sini, berdepan masalah kesukaran menanam padi bagi musim kedua tahun ini melibatkan kawasan sawah seluas melebihi 40 hektar ekoran kekurangan air.

Kekurangan itu didakwa berpunca daripada kegagalan air memasuki petak sawah ekoran masalah sistem perparitan dan hujan yang tidak turun sehingga mengakibatkan benih padi yang ditabur semakin layu selain cuaca panas terik menyebabkan tanah lembut di kawasan itu menjadi keras dan merekah.

Penduduk di Kampung Parit Haji Wahab, Hamsi Sulaiman, 56, mendakwa, laluan air ke petak sawah yang lebih tinggi kedudukannya daripada parit utama mengakibatkan bendang kontang.

Benih padi yang baru ditabur memerlukan air secukupnya untuk bercambah dalam tempoh sekitar dua bulan. Apabila berusia 60 hari ke atas, air kurang diperlukan sehinggalah pokok padi mula berbunga dan masak.

Sistem perparitan sedia ada perlu dikaji semula. Kebanyakan petani di sini juga terpaksa menanam padi jenis kebal yang mempunyai daya tahan penyakit, tetapi harganya mahal iaitu RM125 satu beg," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, petani di Kampung Parit Tok Ngah, Mohd. Saad Sulaiman, 60, berkata, dia terpaksa membeli pam bagi menyedut air untuk dibekalkan ke petak-petak sawah.

Namun, katanya, langkah itu membebankan kerana penggunaan pam air memerlukan penggunaan minyak yang mahal.

Kami berharap pihak berkenaan dapat melihat masalah kami di sini. Kalau boleh, hantarlah pam-pam yang disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Kerian ke sini. Jika tidak, kami akan kehilangan punca pendapatan untuk menyara keluarga," katanya.

Perlis tertinggi mohon bina RMR

Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

ARAU 30 Sept. - Perlis mencatatkan antara negeri yang tertinggi membuat permohonan bagi pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan jumlahnya seramai 1,478 orang.

Pengerusinya, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, jumlah permohonan itu diterima sejak 2002 hingga tahun ini.

Abd. Latiff berkata, ini melibatkan 475 permohonan daripada penduduk di Arau, Kangar (343) dan Padang Besar (660).

Hanya 856 permohonan sahaja yang telah diluluskan dalam tempoh tersebut iaitu di Arau (267), Kangar (197) dan Padang Besar (392)," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra SPNB Bersama Rakyat yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Azlan Man di Dewan Sivik di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Azlan juga menyerahkan Surat Tawaran dan Kunci RMR kepada pemohon yang terlibat.

Abd. Latiff berkata, sehingga kini, sebanyak 474 rumah sudah dibina SPNB dari tahun 2002 hingga 2013 iaitu di Arau (140), Kangar (181) dan Padang Besar (153).

Jumlah rumah yang siap dibina dari 2012 hingga 2013 pula sebanyak 131 buah iaitu di Arau (32), Kangar (36) dan Padang Besar (63)," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 108 masih dalam pembinaan iaitu di Arau (56), Kangar (22) dan Padang Besar (30).

Abd. Latiff berkata, sambutan rakyat terhadap RMR memang amat menggalakkan kerana masalah gaji yang rendah menyebabkan mereka tidak layak mendapatkan pinjaman bank untuk membina rumah.

Katanya, kebanyakannya berpuas hati kerana dengan usaha SPNB, mereka akhirnya dapat memiliki rumah sendiri.

Kerajaan negeri didesak perjelas status 'kancil car park'

Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT

PULAU PINANG 30 Sept. - Kerajaan DAP negeri diminta segera memperjelaskan tentang status pembinaan semula kawasan letak kereta di Bukit Bendera yang telah dirobohkan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, perkara itu penting memandangkan tarikh projek berkenaan sepatutnya siap 25 November depan.

Bagaimanapun tegasnya, sehingga kini hanya tiga tiang dan taburan besi sahaja yang kelihatan di kawasan berkenaan, menunjukkan projek itu mustahil untuk disiapkan kecuali berlakunya keajaiban.

"Kita mahu tahu bila projek ini akan siap dan mengapa mengambil masa yang lama sedangkan dengan jelas tertera di papan tanda projek bahawa pembinaan semula tempat letak kereta ini telah dimulakan hampir setahun lalu.

"Hanya tinggal 55 hari lagi, tiang cerucuk pun belum ada, jadi bagaimana projek ini dapat disiapkan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek berkenaan di Bukit Bendera di sini hari ini.

Isu tempat letak kereta Bukit Bendera mula berbangkit apabila bangunan yang disiapkan untuk kemudahan pelancong ke kawasan yang menjadi ikon negeri ini dirobohkan kerana struktur bangunan terlalu kecil sehingga tidak sesuai digunakan oleh kereta bersaiz besar.

Muhamad Farid dalam pada itu menambah, projek berkenaan mula diluluskan pada tahun 2007 dan pembinaan dimulakan pada 2009 yang jelas menunjukkan projek itu dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang.

"Kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan peruntukan RM5 juta untuk membiayai projek ini yang kemudiannya diuruskan 100 peratus oleh kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

"Kalau projek tempat letak kereta ini pun tidak mampu diuruskan, bagaimana kita mahu percaya yang PDC dan kerajaan negeri mampu untuk menguruskan projek yang lebih besar seperti terowong dasar laut yang dicanang-canang itu?" tegasnya.

Selain itu, beliau turut mendesak kerajaan negeri untuk menjelaskan tentang kos meruntuhkan bangunan tempat letak kereta yang telah disiapkan sebelum ini.

"Kerajaan Persekutuan biayai projek asal dan PDC membangunkan tempat letak kereta yang digelar 'kancil car park' kemudian merobohkannya, jadi berapa kos merobohkan itu dan siapa yang membiayainya?

"Saya juga difahamkan kos pembinaan semula tempat letak kereta ini dalam RM6.75 juta. Siapa yang membiayainya kalau bukan rakyat Pulau Pinang yang membayar cukai?" ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved