Selasa, 1 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


'Seks enam kali fitnah'

Posted: 01 Oct 2013 11:19 AM PDT

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Bekas teman wanita kepada lelaki Bosnia yang mendakwa spermanya dipergunakan untuk mendapatkan anak genetik Eropah berkualiti tinggi, menuduh lelaki itu seorang yang ganas, sering menderanya dan mengugut untuk menyiarkan gambar-gambar intimnya.

Wanita berusia 29 tahun itu juga mendakwa, Ervin Ahbabovic, 41, sering mengugut untuk membunuhnya dan ahli keluarganya jika tidak mematuhi kehendak lelaki tersebut yang merupakan kaki botol dan suka berfoya-foya di kelab malam.

Wanita itu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman oleh Ahbabovic terhadapnya menyatakan demikian dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balasnya yang difailkan menerusi firma guaman Tetuan K.F.Ee & Co. di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Ahbabovic juga, dakwa defendan, pernah didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada 2008 bagi kesalahan trafik kerana memandu dalam keadaan mabuk dan dia yang membantu teman lelakinya itu menjelaskan denda tersebut.

Wanita itu mengaku berkenalan dengan Ahbabovic selaku pihak plaintif pada 2008 dan hasil hubungan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang lahir pada 7 Februari 2010.

Berhubung dakwaan bahawa dia berkehendakkan hubungan seksual enam kali sehari dengan setiap sesi berdurasi satu jam, menurut wanita terbabit, itu adalah fitnah dan mustahil untuk berlaku memandangkan dia hanya wanita biasa, mempunyai perniagaan dan seorang anak untuk dijaga.

Dia turut menafikan dakwaan Ahbabovic yang menyatakan dia memukul dan menikam tangan lelaki itu dalam satu pergaduhan, sebaliknya mendakwa, sebenarnya plaintif yang memukul, menjerit, mencaci dan memarahinya selain mengugut untuk mencederakan anak lelaki mereka.

Dakwa defendan, dia hanya bertindak mempertahankan diri ketika itu.

Menurutnya, plaintif yang menikam tangannya sendiri sebelum mengugut untuk membunuh diri pada 31 Mac lalu sekiranya defendan meninggalkannya.

Wanita itu turut menyatakan, plaintif beberapa kali mengekorinya dan ahli keluarganya selain mengugut untuk menghancurkan kereta dan perniagaan defendan.

Menurut wanita itu, dakwaan lelaki itu berhubung penggunaan spermanya untuk mendapatkan genetik berkualiti dari Eropah, adalah tidak bermoral, tiada peruntukan undang-undang dan di luar bidang kuasa mahkamah dan dia memohon tuntutan plaintif ditolak dengan kos.

Dalam tuntutan balasnya, wanita itu menuntut ganti rugi kewangan RM200,000 akibat kehilangan keuntungan perniagaan, ganti rugi kerugian pelaburan dan perbelanjaan defendan RM120,000, ganti rugi am untuk fitnah dan ganti rugi teladan.

Dia juga menuntut RM40,000 wang sewa perniagaan dan bil utiliti, RM33,000 yang dipinjamkan kepada defendan, kos pembaikan kereta jenis Savvy milik defendan yang dirosakkan oleh plaintif berjumlah RM2,000 selain RM16,000 bagi kos guaman, ikat jamin dan denda di Mahkamah Majistret serta ganti rugi lain yang ditaksirkan mahkamah.

Yang turut dituntut ialah perintah injunksi serta-merta bagi menghalang plaintif atau pihak berkaitan daripada membawa, memaparkan maklumat mengenai defendan secara langsung atau tidak kepada semua media dan plaintif dikehendaki membatalkan maklumat defendan di semua media dalam tempoh 48 jam dari tarikh perintah.

Hakim Rohani Ismail yang mendengar kes tersebut di kamar hakim hari ini memerintahkan kedua-dua pihak berunding melalui mediasi bagi menyelesaikan kes itu dan menetapkan pengurusan kes pada 30 Oktober ini bagi mengetahui keputusan perbincangan tersebut.

Plaintif diwakili peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad manakala defendan diwakili peguam James Eee Koh Fuk.

Koh Fuk ketika ditemui pihak media menyatakan, pihaknya akan memfailkan permohonan mengetepikan tuntutan plaintif di Mahkamah Tinggi minggu ini.

Bicara kes ubah perintah hak lawatan anak tahun depan

Posted: 01 Oct 2013 11:19 AM PDT

JIMMY Shanley bersama anak perempuannya, Zahra Rania dalam bulan Julai lalu.

SHAH ALAM 1 Okt. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 18 Februari tahun depan perbicaraan kes ubah perintah hak lawatan anak pengacara Jimmy Shanley yang difailkan bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, April lalu.

Hakim Syarie, Mawardi Che Man berkata, Nursuhaila selaku plaintif akan memberi keterangan terlebih dahulu dalam perbicaraan tersebut dan perlu menyatakan sebab-sebab perintah itu perlu diubah.

''Mahkamah sebelum ini telah pun mengeluarkan perintah hak penjagaan anak tetapi plaintif membuat permohonan untuk mengubahnya justeru dia juga perlu menyatakan mana-mana perintah yang perlu dikekalkan dalam keterangan itu,'' ujar beliau.

Beliau turut memerintahkan agar keterangan secara bertulis dan dokumen berkaitan diserahkan kepada pihak peguam dan mahkamah dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh perbicaraan tersebut.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 33, selaku defendan dan Nursuhaila, 27, tidak hadir pada prosiding hari ini.

Sementara itu peguam syarie yang mewakili Jimmy, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus memaklumkan kepada mahkamah dokumen kedua-dua pihak bagi kes berkenaan telah lengkap justeru prosiding perbicaraan telah boleh dimulakan.

Ketika di luar mahkamah, Mohd. Noor Aizan memberitahu pemberita, Suhaila membuat permohonan agar keputusan hak lawatan dan bermalam yang diberikan kepada Jimmy selama tiga hari setiap minggu iaitu Selasa, Rabu dan Khamis diubah kepada hujung minggu.

Katanya, permohonan itu dibuat pada 19 April lalu mengikut Seksyen 76 Enakmen Keluarga Islam negeri Selangor 2003.

Pada 8 April lalu, mahkamah yang sama telah memutuskan hak jagaan penuh anak pasangan itu, Zahra Rania yang berusia dua tahun diserahkan kepada Nursuhaila, manakala Jimmy diberikan hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu iaitu Selasa, Rabu dan Khamis.

Jimmy juga dibenarkan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama Zahra Rania bermula tahun ini secara bergilir-gilir dengan Nursuhaila.

Dia kemudian memfailkan notis tunjuk sebab terhadap bekas isterinya itu pada 7 Mei lalu selepas tiga kali gagal mendapat hak bermalam dengan anaknya atas alasan tidak mendapat kerjasama daripada Nursuhaila.

Pada hari yang sama, dia turut memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah komital bagi memenjarakan Nursuhaila akibat kegagalan mematuhi perintah mahkamah.

Sementara itu, Nursuhaila pula memfailkan permohonan penggantungan pelaksanaan perintah tersebut dan ketika permohonan itu didengar pada 9 Mei lalu, Mawardi telah menasihati pasangan itu agar berdamai demi kebajikan anak tunggal mereka.

Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh dengan hantaran RM31,186.

Mereka sah bercerai talak satu secara khuluk (tebus talak) berjumlah RM1 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 10 Oktober tahun lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved