Selasa, 1 Oktober 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Menanggung dosa suami

Posted: 01 Oct 2013 12:01 AM PDT

Dr. Ilias Adam Yee menjelaskan mengenai kaedah penularan HIV terutama kepada golongan suri rumah ketika menyampaikan ceramah pada bengkel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

DARIPADA jumlah itu, 268 daripadanya adalah wanita yang terdiri daripada golongan suri rumah.

Pasti ramai tertanya-tanya bagaimana suri rumah yang tidak bekerja dan tidak mungkin mempunyai jangkauan kehidupan sosial yang luas boleh dijangkiti penyakit paling digeruni itu?

Jawapannya mudah. Mereka menerima tempias jangkitan daripada pasangan atau suami tanpa diduga.

Ahli Klinikal dan Penyelidik Kesihatan Seksual dan Reproduktif, Pusat Kemerlangan untuk Penyelidikan AIDS (CERiA), Universiti Malaya, Dr. Ilias Adam Yee berkata, suri rumah yang dijangkiti virus itu adalah mereka yang berumur lingkungan 30 hingga 39 tahun.

Ilias berkata, kebanyakannya berpunca daripada aktiviti suami atau pasangan mereka.

"Biasanya suri rumah yang mempunyai pasangan yang termasuk dalam kelompok pengguna dadah adalah antara yang paling berisiko untuk menghidap HIV.

"Bagaimanapun, harus diingat tidak semua pengguna dadah boleh menyebarkan HIV kerana penyebaran jangkitan itu hanya boleh berlaku jika ada aktiviti perkongsian jarum suntikan daripada individu yang sudah menghidap HIV," katanya ketika ditemui pada bengkel media Sensisation on HIV & Drug Policy di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Ilias, beberapa lagi panel turut diundang seperti Datuk Dr. Raj Karim, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman, Asisten Komisioner Jamaludin Kudin, dan Dr. Anita Suleiman.

Menurut Dr. Ilias lagi, faktor kedua yang boleh menyebarkan virus tersebut adalah melalui aktiviti seksual suami di luar yang tidak selamat.

Beliau berkata, suami yang gemar mencari kepuasan seksual di luar dengan melanggan pelacur atau wanita yang positif HIV secara tidak langsung akan membawa pulang penyakit tersebut kepada isteri di rumah.

"Apabila suami melakukan hubungan intim dengan isteri, tanpa disedari virus itu akan tersebar melalui hubungan tersebut.

"Jika pemakaian kondom tidak diamalkan, maka virus itu akan mudah merebak dan menjangkiti golongan yang berisiko," ujarnya.

Justeru, Dr. Ilias berkata, suri rumah juga harus berwaspada dan boleh mengambil langkah melakukan pemeriksaan kesihatan sama ada secara individu atau bersama pasangan bagi memastikan tiada jangkitan HIV dan penyakit kronik berlaku.

Tambahnya, wanita perlu menggunakan pendekatan berhemah untuk mengajak pasangan melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk ujian darah supaya pasangan tidak terasa hati dengan tindakan tersebut.

"Wanita boleh memberi alasan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit seperti penyakit jantung atau diabetis kerana dalam pemeriksaan itu, akan ada ujian darah dan sebagainya yang boleh mengesan kehadiran penyakit HIV.

"Ini penting dalam usaha untuk mengurangkan risiko jangkitan HIV kepada golongan itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu kebanyakan wanita hanya mengetahui diri mereka menghidap penyakit HIV setelah menjalani ujian sewaktu mengandung.

Dr. Ilias berkata, wanita hamil yang mengetahui dijangkiti virus tersebut juga tidak seharusnya berputus asa sehingga sanggup mengambil jalan untuk menggugurkan kandungan.

"Ibu mengandung yang menghidap HIV perlu bertenang dan dinasihatkan pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan khusus secepat mungkin agar bayi dalam kandungan tidak berisiko dijangkiti HIV.

"Jika janin sudah besar dan kandungan mungkin mencecah enam bulan ke atas, doktor akan mengalami sedikit kesukaran untuk menentukan kaedah rawatan yang sesuai.

"Risiko bayi untuk mendapat jangkitan akan turun satu peratus sekiranya mendapat rawatan awal,"katanya.

Ditanya mengenai proses kelahiran pula, Dr. Ilias berkata, doktor akan menyarankan si ibu hamil yang menghidap HIV untuk bersalin secara pembedahan.

Ini kerana sekiranya si ibu dibiarkan bersalin secara normal, risiko jangkitan kepada bayi adalah lebih tinggi.

Satu lagi fakta penting untuk si ibu yang dijangkiti HIV adalah mereka dinasihatkan untuk tidak menyusukan bayi.

Ujarnya, jika si bayi diberi minum susu ibu yang dijangkiti virus itu sejak lahir, dibimbangi akan berlakunya pemindahan HIV ke dalam sistem tubuh bayi hingga mengakibatkan sistem imun bayi menjadi lemah.

Pada masa sekarang, nisbah pesakit HIV wanita ialah daripada empat wanita, satu daripadanya positif HIV.

Ilias turut menolak stigma yang dilemparkan masyarakat yang mendakwa HIV boleh berjangkit melalui pelukan, ciuman atau perkongsian makanan.

"Bagi wanita yang menghidap HIV tidak perlu risau tentang anak-anak mereka kerana risiko untuk mereka dijangkiti adalah sama sekali tidak akan berlaku.

"Rawatan secara konsisten dan pengambilan ubat-ubatan seperti diarahkan doktor mampu memanjangkan hayat seseorang pesakit.

Malah, pengambilan ubat secara betul pada peringkat awal boleh menjadi perisai kepada pesakit daripada serangan penyakit lain termasuklah tibi," katanya.

Kajian juga mendapati virus HIV dalam badan pesakit juga semakin berkurang dan gagal dikesan hasil rawatan dan pengambilan ubat-ubatan yang berterusan.

Di Malaysia kerajaan melalui Kementerian Kesihatan tidak pernah mengabaikan golongan ini dan sentiasa memberikan bantuan seperti pemberian rawatan susulan secara percuma ke atas pesakit.

Justeru beliau berkata, wanita yang menghidap penyakit itu perlu bersikap optimis dan tidak menjadikan ia sebagai titik pengakhiran hidup. - NORAZLINA ISMAIL

Tiada ilmu kontraseptif

Posted: 01 Oct 2013 12:01 AM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar MOHD NAJIB MOHD NOR

Thomas Steffen (kiri) dan Dr. Suresh Kumarasamy dua dari kiri ketika melancarkan kempen Yes! It Takes Two (Ya! Bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SIKAP malu atau stigma sosial digambarkan sebagai halangan nombor satu rakyat Malaysia tidak mendapat ilmu yang cukup tentang kaedah pencegahan kehamilan.

Input ini diperoleh hasil daripada kaji selidik yang telah dijalankan oleh Bayer Healthcare ke atas 400 responden terdiri daripada lelaki dan wanita di Malaysia dan Singapura.

Kajian tersebut turut mendapati sebanyak 50 peratus responden berasa terlalu malu untuk berbincang dengan pakar penjagaan kesihatan profesional tentang keperluan pencegahan kehamilan( kontraseptif ) mereka.

Manakala satu pertiga lagi menganggap perbincangan tentang kaedah kontraseptif atau pendidikan seks adalah satu pantang larang.

Meskipun Malaysia sudah boleh dianggap sebagai negara membangun dan berjaya, hasil kaji selidik menunjukkan kekurangan pengetahuan dan kesedaran tentang kontraseptif di kalangan golongan muda amat membimbangkan.

Bersempena Hari Pencegahan Hamil Sedunia pada 26 September tahun ini, Bayer melancarkan kempen Yes! It Takes Two (Ya! Bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi).

Salah maklumat

Satu daripada setiap tiga rakyat Malaysia baik lelaki atau perempuan mengakui sukar untuk mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai tentang kaedah untuk mencegah kehamilan.

Tinjau selidik itu juga mengenal pasti beberapa halangan yang dihadapi golongan muda dalam usaha mencari maklumat dan menambah pengetahuan tentang kontraseptif.

Halangan ini sebahagian besarnya berpunca daripada tekanan sosial. Selain itu, 50 peratus responden berasa terlalu malu untuk berbincang dengan pakar penjagaan kesihatan profesional tentang keperluan kontraseptif mereka.

Pengarah Urusan Bayer Co. (Malaysia) Sdn. Bhd., Thomas Steffen, berkata, pihaknya berhasrat menyediakan saluran bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapat maklumat yang tepat dan tidak berat sebelah.

"Kami juga mahu mereka memahami pentingnya perbincangan tentang kontraseptif antara pasangan kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi," jelasnya ketika memberi penerangan tentang kempen tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Suresh Kumarasamy berkata, apabila rakyat tidak mendapat maklumat yang tepat maka akan menyebabkan banyak kehamilan yang tidak dirancang atau membawa kepada kesan lain.

"Kami mahu rakyat Malaysia menjaga kesihatan seksual mereka sendiri dan cuba berdialog secara terbuka dengan pakar penjagaan kesihatan profesional.

Kaedah kontraseptif

"Pelbagai kaedah kontraseptif boleh didapati di Malaysia. Setiap satu berbeza dari segi cara pemberian dan tempoh keberkesanan.

"Untuk membolehkan pasangan merancang kehidupan mereka dengan lebih baik, maka ilmu tentang perancangan keluarga perlu ada dalam diri setiap pasangan suami dan isteri," ujarnya.

Tambah Dr. Suresh, antara kaedah yang ada ialah kaedah hormon seperti kontraseptif oral, kontraseptif suntikan, implan, tampalan kontraseptif dan gegelang vagina.

Kaedah sekatan juga boleh diamalkan seperti kondom dan diafragma dan kaedah lain seperti pemandulan.

"Pasangan hendaklah berjumpa dengan pakar penjagaan kesihatan profesional mereka untuk membincangkan pilihan kontraseptif yang paling baik dan sesuai dengan keperluan mereka," jelasnya.

Kebanyakan wanita hanya mengetahui kontraseptif oral sebagai satu kaedah yang berkesan untuk merancang keluarga dan mencegah kehamilan.

Bagaimanapun ramai yang tidak menyedari tentang manfaat lain penggunaan pil kepada kesihatan.

"Kontraseptif oral memberi perlindungan daripada kanser tertentu seperti kanser endometrium dan kanser ovari di samping boleh membantu merawat jerawat," jelas Dr. Suresh.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved