Selasa, 1 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Belum ada had warga asing

Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Mohamed Khaled

NUSAJAYA 30 Sept. - Kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan melaksana had pembelian harga rumah dari RM500,000 kepada RM1 juta yang dijual kepada warga asing bagi mengelak sebarang implikasi negatif.

Sebaliknya, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri akan mengkaji pendekatan lebih menyeluruh seperti mengawal pembelian mendadak daripada warga asing dan sebagainya.

Menurutnya, jika had harga rumah sedia ada itu dinaikkan hanya akan mendorong pemaju meningkatkan harga rumah.

"Kita sudah membuat perbincangan dan mengkaji dari segi implikasi kenaikan had tersebut dan kalau kita kata RM1 juta ke atas, semua orang akan buat rumah dengan harga itu, akhirnya tiada rumah bernilai di bawah RM1 juta.

"Ini akan menimbulkan satu lagi masalah," katanya ketika diminta mengulas sama ada kerajaan negeri akan mengenakan had pembelian harga rumah kuota warga asing dari RM500,000 kepada RM1 juta di negeri ini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek D'Pristine @ Medini yang dibangunkan D'Pristine @ Medini Sdn. Bhd. di atas tanah seluas 3.28 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri sering mementingkan pembangunan seimbang dan mempunyai fokus jelas supaya tiada mana-mana golongan lapisan masyarakat tercicir dalam mana-mana projek pembangunan di negeri ini.

Tambahnya, Johor Bahru yang sedang menuju ke arah menjadi bandar raya antarabangsa memerlukan hasil mantap dan mencukupi dan pembangunan dirancang tidak boleh mengandungi satu jenis sahaja sebaliknya per pelbagai.

"Kerajaan negeri akan cuba memenuhi keperluan semua golongan masyarakat supaya sentiasa melengkapi.

"Sebab itu, di samping kerajaan negeri cuba memenuhi keperluan masyarakat berpendapatan rendah dan pertengahan, kita juga tidak menghalang apa-apa pembangunan seperti yang kita dapati hari ini," katanya.

PLKN bukan tempat cari musuh - Ismail

Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT

ISMAIL Mohamad meniup wisel bagi memulakan pertandingan tarik tali dalam Program Khidmat Komuniti PLKN di Felcra Bukit Kepong, Pagoh, kelmarin.

PAGOH 30 Sept. - Sebanyak 200 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Pagoh dinasihatkan supaya tidak menjadikan pusat latihan itu sebagai tempat mencari musuh, sebaliknya peluang untuk menimba ilmu pengetahuan dan meluaskan hubungan persahabatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamad berkata, mereka perlu mengambil iktibar daripada insiden seorang pelatih lelaki mati di sebuah kem PLKN di Pahang, Isnin lalu dan kejadian seperti itu dapat dielakkan jika masing-masing bertolak ansur.

"Kita harap kejadian tersebut tidak akan berulang lagi dan semua pelatih harus mempraktikkan sepenuhnya disiplin yang diterapkan di kem berkenaan sepanjang mengikuti latihan itu.

"Ada bekas pelatih menubuhkan persatuan alumni untuk memastikan hubungan antara mereka tidak terputus meskipun telah berpisah selepas menamatkan latihan," katanya semasa merasmikan Program Khidmat Komuniti PLKN di Felcra Bukit Kepong, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Komandan Kem PLKN Nasuha Pagoh, Leftenen Kolonel Razali Basri; Pengurus Felcra Bukit Kepong, Mohd. Noor Taib dan wakil Pegawai Penerangan Muar, Juraimi Ali.

Dalam kejadian di Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, Pahang, Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, ditemui meninggal dunia di bilik air asramanya dipercayai bergaduh dengan beberapa pelatih lain.

Ismail amat berharap tempoh tiga bulan sepanjang mengikuti latihan itu dapat mematangkan peserta dengan pelbagai ilmu dan kemahiran, sekali gus menjadikan mereka golongan belia yang berketerampilan serta mempunyai jati diri tinggi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri berkata, mereka boleh memainkan peranan untuk membimbing rakan lain yang belum berpeluang mengikuti latihan itu.

"Menyumbangkan bakti kepada masyarakat juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab bekas pelatih sebagai menghargai jasa kerajaan memilih mereka menyertai latihan ini," katanya.

Sementara itu, Razali berkata, kesemua pelatih tersebut yang merupakan kumpulan tiga pada tahun ini menyertai program tersebut sebagai salah satu modul wajib diikuti.

"Dalam program ini, selain didedahkan dengan kehidupan masyarakat Felcra, pelatih turut terlibat dalam beberapa sukan rakyat, antaranya bola api, boling padang dan tarik tali bersama penduduk setempat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved