Ahad, 27 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Bukan prestasi Tok Gajah

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

Dollah Salleh (tiga, kanan) gembira bersama pemain apabila layak ke final Piala Malaysia ketika perlawanan separuh akhir kedua Sarawak menentang Pahang di Stadium Negeri Sarawak, di sini, semalam.

KUANTAN - Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui bahawa anak-anak buahnya tidak menunjukkan prestasi sebenar menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching kelmarin.

Katanya, mereka cukup berhati-hati bagi memastikan gawang Tok Gajah tidak dibolosi memandangkan skuad Bujang Senang mempunyai rekod baik di gelanggang sendiri.

Jelas Dollah, walaupun tersentak dengan jaringan pembukaan Bobby Gonzalez, ia sebenarnya mengerah semangat pemain-pemain Tok Gajah untuk bangkit mencari gol penyamaan.

Katanya, kemasukan Mohd. Fauzi Roslan selepas penyerang utama, Mantias Conti mengalami kecederaan mengubah corak permainan apabila menjaringkan penyamaan yang menguatkan semula kiraan agregat pada minit ke-73.

"Pemain-pemain tidak menunjukkan prestasi sebenar kerana mereka tahu bahawa Sarawak tidak pernah kalah di gelanggang sendiri. Namun, saya tidak peduli semua itu kerana kami mahu memasuki perlawanan akhir," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, semalam.

Jelasnya, semua pemain nyata gembira kerana kemarau impian 16 tahun untuk ke perlawanan akhir menjadi kenyataan dan misi sekarang adalah membawa pulang Piala Malaysia ke Pahang pada 3 November ini.

Mengenai masalah kecederaan pemain, beliau memberitahu, kesemua pemainnya berada dalam keadaan baik kecuali Conti yang mengalami kecederaan buku lali.

"Conti telah dibawa ke hospital di sini dan telah menjalani pemeriksaan perubatan serta imbasan. Setakat ini doktor memberitahu beliau tidak mengalami kecederaan serius dan boleh bermain seperti biasa," ujarnya.

Dollah berkata, kesemua pemain kini diberi cuti rehat sebelum meneruskan latihan seperti biasa esok.

Irfan, Fadhli janji yang terbaik untuk Johor DT

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Tunku Ismail (tengah) bersama Muhd. Fadhli (kiri) dan Mohd. Irfan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU - Dua pemain baharu Johor Darul Takzim musim depan, Mohd. Irfan Fazail dan Muhd. Fadhli Shas berjanji memberikan terbaik dalam usaha memastikan kemenangan untuk pasukan.

Mohd Irfan yang merupakan pemain tengah nyata teruja untuk menyertai Johor Darul Takzim, malah tidak sabar untuk menimba pengalaman dan bermain dengan pemain berpengalaman dan dikenali di peringkat antarabangsa, Pablo Aimar.

"Ia merupakan satu cabaran untuk menguji dan menaikkan prestasi untuk diri sendiri," katanya.

Bagi pemain pertahanan, Muhd. Fadhli Shas pula, dia percaya sudah tiba masa untuk dirinya yang sebelum ini anggota skuad bawah Bawah 23 tahun negara pulang menabur bakti kepada negeri sendiri.

"Saya percaya Johor Darul Takzim pasukan yang perlu diberi perhatian dan saya bangga menjadi sebahagian daripadanya," ujarnya.

Kedua-dua mereka masing-masing berusia 22 tahun mengikat kontrak selama dua tahun bersama Johor Darul Takzim dengan tawaran tambahan dua tahun lagi sekiranya mereka mahu terus memberikan perkhidmatan, namun jumlah bayaran diterima tidak didedahkan.

Mereka diperkenalkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Tunku Mahkota Johor berkata, beliau gembira dan berbangga kerana kedua-dua pemain itu kembali menabur bakti kepada negeri ini sekali gus berharap mereka dapat menggunakan segala pengalaman untuk memantapkan lagi pasukan.

Tunku Ismail turut mengesahkan hanya sembilan pemain Johor DT yang beraksi pada musim ini dikekalkan untuk musim depan selain turut mengesahkan penyertaan tonggak Lions XII, Hariss Harun.

Tambahnya, PBNJ masih menjalankan perbincangan dengan beberapa pemain termasuk Safee Sali dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak untuk menentukan hala tuju mereka musim depan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved