Ahad, 27 Oktober 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tidak boleh dibangunkan

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (kanan) melepaskan peserta Larian Hijau sempena majlis pelancaran sambutan Minggu Alam Sekitar peringkat Kuala Lumpur di Taman Metropolitan Kepong kelmarin. - UTUSAN/Ghazali Basri

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan beberapa kawasan bukit atau tanah tinggi yang berada di sekitar ibu negara, di sini tidak boleh dibangunkan untuk sebarang projek.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, bukit-bukit tersebut digazetkan sebagai kawasan hutan simpan kekal mengikut Garis Panduan Perancangan Pembangunan Kawasan Bukit dan Cerun Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (GPWPKL) 2010.

Menurutnya, antara bukit-bukit tersebut adalah Bukit Tabor di Taman Melawati, Bukit Dinding di Wangsa Maju dan Bukit Sungai Besi di Sungai Besi.

"Bukit-bukit ini berada dalam kategori Kelas Empat iaitu tahap kecerunannya melebihi 35 darjah dan tidak sekali-kali boleh dibangunkan demi keselamatan dan untuk generasi akan datang menikmatinya (keasliannya).

"Selain itu, kita mahu kawasan tersebut menjadi salah satu kawasan tarikan kepada pelancong-pelancong yang menyukai suasana alam semula jadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) 2013 peringkat Kuala Lumpur di Taman Metropolitan Kepong semalam.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata, DBKL amat komited untuk melestarikan ibu negara dengan unsur kehijauan termasuk menanam pokok-pokok di sepanjang jalan utama.

"Malah, polisi kami juga menetapkan setiap pembangunan baharu perlu menyediakan sepuluh peratus sebagai kawasan hijau yang boleh digunakan orang ramai.

"Kalau tidak menepati syarat itu, kami mungkin tidak akan meluluskan pembangunan yang mahu dijalankan," tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal turut melepaskan peserta Larian Hijau yang mengelilingi Taman Metropolitan Kepong sebelum melepaskan pula konvoi Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar (JMRAS) Zon Utara.

RM16 juta bangunkan Taman Pudu Ulu

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

J. Loga Bala Mohan (tengah) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja Sahabat Taman Rekreasi Pudu Ulu kepada Lee Lam Thye (kiri) sambil diperhatikan oleh Ahmad Phesal Talib (kanan) di Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Sebanyak RM16 juta diperuntukkan untuk membangunkan Taman Rekreasi Pudu Ulu, Cheras di sini, sebagai sebuah lokasi riadah kepada warga kota dan penduduk sekitar Cheras khususnya.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan berkata, projek fasa pertama yang meliputi kos sebanyak RM9 juta itu telah selesai dilaksanakan.

"Pembangunan fasa dua yang bernilai kira-kira RM7 juta pula masih dalam peringkat mengeluarkan tender kepada kontraktor," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Sahabat Taman Pudu Ulu, di sini semalam.

Yang turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Pelancaran Sahabat Taman Pudu Ulu adalah kesinambungan kepada Program Sahabat Taman Rimba Bukit Kerinchi yang ditubuhkan sebagai platform kepada ahli untuk menjaga dan menyelia taman berkenaan.

Menurut Loga Bala Mohan, pembangunan fasa dua taman itu dijangka siap pada 2015 meliputi taman permainan yang memiliki elemen air kepada kanak-kanak sebagai tarikan terbaharu taman awam di ibu kota.

"Dengan adanya taman permainan bercirikan air, akan memberi peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk bersama-sama menikmati keseronokan secara percuma kerana kemudahan ini tidak melibatkan bayaran," katanya.

Sementara itu, ujar Ahmad Phesal, pihaknya mengalu-alukan syarikat-syarikat pembinaan untuk membuang tanah dari tapak projek ke taman berkenaan.

"DBKL bersedia menerima tanah-tanah tersebut bagi membolehkan kita membina bukit tiruan dalam kawasan lapang yang telah dikenal pasti untuk menambahkan lagi kelebihan dan aktiviti di taman ini," katanya.

Dalam majlis sama, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja Sahabat Taman Rekreasi Pudu Ulu bersama sepuluh ahli jawatankuasa (AJK).

Pelantikan AJK sukarela itu akan menyaksikan kerjasama antara AJK dan DBKL bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti yang dapat menghidupkan suasana riadah dan rekreasi di taman tersebut.

Prasarana harap lebih banyak park & ride dibina

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) berharap lebih banyak tanah diperuntukkan dan dibangunkan untuk pembinaan kemudahan tempat letak kereta bertingkat atau dikenali sebagai park and ride bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Menyambut baik pembentangan Bajet 2014 mengenai kemudahan tersebut yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata pembinaan kemudahan park and ride di stesen-stesen transit aliran ringan (LRT) dan KTM Komuter akan memberi kesan yang besar dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam seperti yang diharapkan oleh kerajaan.

"Malah, kita perlu memperbanyakkan kemudahan tersebut bagi menggalakkan orang ramai menukar daripada memandu kenderaan persendirian kepada menggunakan pengangkutan awam. Trend ini memang berubah, tetapi kami merasakan perubahan itu perlu lebih besar lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2014 berhubung kerajaan akan menyediakan kemudahan park and ride di stesen LRT, stesen KTM komuter serta stesen Express Rail Link (ERL) dengan peruntukan sebanyak RM62 juta.

"Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mengukuhkan rangkaian pengangkutan awam dan sistem pengangkutan awam yang cekap bagi memudahkan perjalanan, menjimatkan masa dan kos perjalanan," katanya.

Menurut Shahril, pihak Prasarana telah menyediakan kemudahan park and ride iaitu sebanyak 1,260 tempat letak kereta di Stesen LRT Gombak pada Februari lalu dan akan menyediakan kemudahan sama di Stesen LRT Ampang tahun depan dengan sejumlah 1,140 tempat letak kereta.

Berhubung peruntukan RM28 juta untuk membina terminal bandar dan menaik taraf perhentian bas serta kemudahan turun-dan-naik, Shahril berkata, tindakan itu bertepatan dengan usaha menggalakkan lebih ramai orang di bandar-bandar besar dan kecil menaiki pengangkutan awam untuk perjalanan harian mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved