Ahad, 27 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Lebih 200,000 rumah gagal disiapkan

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMEDutusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 26 Okt. - Sebanyak 203,645 buah rumah mampu milik yang sepatutnya dibina pemaju perumahan di negeri ini sejak 1999 masih gagal disiapkan hingga kini.

Berita yang mengecewakan itu didedahkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa merasmikan projek pembinaan rumah mampu sebanyak 1,658 buah di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abdul Latiff Bandi dan Pengarah Urusan Kumpulan LBS Bina Berhad, Datuk Lim Hock San yang merupakan pemaju perumahan tersebut.

Menteri Besar berkata, kesemua projek perumahan mampu milik dan kos rendah yang gagal disiapkan itu merangkumi di kawasan Iskandar Malaysia.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 180,000 buah rumah mampu milik sepatutnya dibina di Iskandar Malaysia bagi mengimbangi kemajuan kawasan tersebut supaya tidak dimonopoli oleh golongan berpendapatan tinggi.

"Baki daripada jumlah berkenaan iaitu sebanyak 23,645 buah rumah sepatutnya dibina di seluruh negeri tidak termasuk di kawasan Iskandar Malaysia mengikut peratusan dalam pembinaan perumahan yang diluluskan kerajaan.

"Tetapi malangnya projek yang telah diluluskan demi memastikan rakyat memiliki rumah sendiri tidak dibina oleh pemaju. Bagaimanapun, kerajaan akan memantau kesemua projek berkenaan supaya dapat diteruskan demi hak masyarakat pelbagai kaum," katanya.

Mohamed Khaled memberitahu, di daerah itu sahaja terdapat 11,346 buah rumah mampu milik yang masih belum dibina di 31 kawasan setelah projek diberikan kelulusan.

Beliau berkata, bagi perancangan pembinaan pada tahun depan, sebanyak 11,000 buah rumah mampu milik akan dibina oleh kerajaan negeri, manakala 17,000 lagi diberikan kepada syarikat swasta.

Beliau yakin menerusi pembinaan secara berperingkat, keadaan itu akan dapat mengimbangi pemilikan rumah oleh pelbagai lapisan rakyat yang pastinya mahu memiliki kediaman sendiri.

11 graduan sulung Program Dwi Sarjana UTM-Universiti Meiji

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

AWALUDDIN Mohd. Shaharoun (tiga dari kiri) bersama Mika Takayanagi (empat dari kiri), Masayasu Takahashi (empat dari kanan) beramah mesra dengan graduan dari Malaysia dan Jepun dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia Ke-51 di Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU 26 Okt. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar satu lagi sejarah dalam sektor pendidikan negara apabila berjaya melahirkan 11 graduan Program Dwi Sarjana dengan kerjasama Universiti Meiji, Tokyo.

Penyampaian Sarjana Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan dan Pentadbiran Perniagaan kepada graduan sulung program berkenaan disempurnakan oleh Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada Istiadat Konvokesyen UTM Ke-51, di sini hari ini.

Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah tersebut adalah Dekan Sekolah Siswazah dan Pentadbiran Perniagaan Universiti Meiji, Prof. Masayasu Takahashi, Timbalan Dekan, Prof. Kenichi Suzuki dan Ketua Jabatan Pentadbiran Perniagaan, Prof. Madya Mika Takayanagi.

Dekan UTM Razak School, Prof. Dr. Awaluddin Mohd. Shaharoun berkata, penganugerahan dua ijazah sarjana dalam satu masa itu adalah merupakan inisiatif pengantarabangsaan kampus UTM Kuala Lumpur khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi termaju.

"Lima daripada 11 graduan itu adalah penuntut UTM manakala enam lagi adalah penuntut dari Universiti Meiji. Masing-masing dianugerahkan Sarjana Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan dari UTM dan Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Meiji.

"Program ini bukan hanya membuka peluang kepada graduan memegang jawatan lebih tinggi dalam sesuatu organisasi, malah memberi manfaat kepada kedua-kedua universiti meningkatkan kualiti pengajian serta pengajian," katanya.

Program tersebut mula mengorak langkah mengambil penuntut kohort pertama seramai lima orang pada September 2011 diikuti enam orang pada kohort kedua yang dibuat pada Februari tahun lalu.

Awaluddin berkata, penuntut kedua institusi perlu mengikuti kuliah dan kursus intensif di kedua-dua negara selain diwajibkan mengikuti program pertukaran pelajar selama sebulan sebagai syarat pengajian.

"UTM juga dalam peringkat perbincangan untuk memperluaskan program itu ke negara seperti Indonesia, Sudan dan Turki bagi menjayakan aspirasi universiti terkenal di peringkat global," katanya.

Sementara itu, penerima Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan, Nor Fyadzillah Mohd Taha, 31, berkata, dia bertuah kerana terpilih untuk menjadi graduan sulung bagi program berkenaan dan bertambah gembira apabila diberi peluang melanjutkan pelajaran ke Negara Matahari Terbit itu.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu akan meneruskan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di universiti yang sama dalam tempoh tiga tahun.

"Saya harap semuanya berjalan dengan lancar dan kejayaan demi kejayaan akan saya capai dari semasa ke semasa. Apa yang perlu saya lakukan adalah terus bersemangat demi mencapai cita-cita," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved