Ahad, 27 Oktober 2013

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


'Ibu segala trak' yang terbaik

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN
bisnes@utusan.com.my

kerangka Nissan Navara yang kukuh menjadikan kenderaan ini kelihatan begitu tegap dan gagah.

NISSAN NAVARA bukanlah satu nama asing dalam kalangan peminat trak pikap terutamanya bagi mereka yang gemarkan keselesaan dalam pemanduan kenderaan pacuan empat roda (4x4) untuk tugasan atau aktiviti lasak.

Malah sejak diperkenalkan pada 2008, jentera yang mendapat jolokan 'ibu segala trak' itu dianggap terbaik dalam kelasnya kerana mengutamakan ciri keselesaan dari segi ruang, penampilan yang dominan dan prestasi yang dinamik.

Jadi tidak hairanlah Nissan Navara menjadi satu daripada model Nissan yang paling laris di Malaysia selain menerima banyak anugerah di peringkat tempatan serta antarabangsa kerana mesra pemanduan dalam kalangan professional dan pengguna lain.

Kini syarikat pengeluar 'ibu segala trak' itu memperkenalkan dua varian yang dinaik taraf ke atas model 4WD A/T LE (Auto) dan 4WD M/T SE (Manual) sebagai langkah Nissan memastikan jenteranya seiring dengan perkembangan teknologi pada masa kini.

Antara proses menaiktaraf tersebut melibatkan bahagian luar Nissan Navara yang diperkemas dengan reka bentuk bampar depan baharu yang lebih mantap dan kukuh, manakala penambahbaikan turut melibatkan rim aloi yang didatangkan dengan pelbagai rekaan jejari yang baharu bersama kemasan dua tona.

Nissan Navara baharu ini juga dilengkapi lampu utama xenon atau lampu kabus yang mematuhi garis panduan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pandang pemandu menjadi lebih jelas pada waktu malam.

Bagi menyerlahkan lagi ciri kelasakan dan lambang kemewahan, varian baharu berkenaan dipasang gril krom dengan panel horizontal bersama logo Nissan di bahagian depan trak.

Satu lagi ciri yang dinaik taraf adalah aspek keselamatannya dengan kerangka Nissan Navara yang kukuh dibina menggunakan dua lapisan besi regangan tinggi dan binaan Zon Badan Nissan.

Manakala ciri keselamatan asas lain seperti Edaran Kuasa Brek Elektronik (EBD), Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan dua beg udara.

Dari segi elektronik dan teknologi, pemain audio dinaik taraf dengan sistem infotainmen navigasi dan skrin sentuh bersaiz enam inci yang mempunyai pelbagai fungsi seperti pemain DVD, iPod, USB, Bluetooth dan berfungsi sebagai paparan kamera undur.

Nissan Navara masih mengekalkan penggunaan enjin diesel YD25DDTi suntikan terus dengan dilengkapi sistem suntikan bahan api yang membuatkan penggunaan minyak secara efisien.

Model itu juga menghasilkan kuasa terjahan (tork) paling tinggi untuk kapasitinya dan enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan bagi model transmisi automatik dan enam kelajuan bagi transmisi manual.

Beberapa aspek ruangan dalam Nissan Navara masih dikekalkan terutamanya ruang tempat duduk depan belakang yang luas bagi memastikan keselesaan pemandu atau penumpang ketika memandu.

WSA kini pembekal OEM bertaraf antarabangsa

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

volkswagen menaruh kepercayaan yang tinggi kepada WSA untuk menjadi pembekal komponen tulen kepada mereka. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Syarikat pembekal komponen automotif, Kumpulan WSA (WSA) merupakan antara syarikat tempatan yang berjaya menjadi pembekal komponen tulen (OEM) kepada gergasi automotif dunia antaranya Volkswagen (VW), Toyota, Honda dan termasuk Perodua serta Proton.

WSA telah dilantik menjadi pembekal OEM kepada syarikat pengeluar kereta ketiga terbesar di dunia iaitu VW yang merupakan satu pencapaian dan pengiktirafan terbesar, sekali gus menunjukkan syarikat tempatan mampu bersaing secara kompetitif di pasaran antarabangsa.

Komponen automotif utama yang dibekalkan oleh WSA kepada VW adalah alas kepala dan permaidani lantai.

Menurut Pengarah Urusan WSA, Datuk Dr. Wan Mohamed, pelantikan tersebut merupakan titik penting penyertaan WSA dalam menerokai pasaran komponen automotif antarabangsa selepas berjaya menjadi pembekal kepada Proton, Perodua, Toyota dan Honda.

"WSA telah memberi penekanan yang amat khusus kepada penghasilan komponen automotif yang berkualiti tinggi serta bebas daripada kecacatan dan kerosakan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

WSA kini beroperasi di bangunan pejabat dan kilang yang baharu di atas tanah seluas 3.5 ekar di Kawasan Perindustrian Rawang Perdana, Rawang, Selangor.

Syarikat berkenaan merupakan antara syarikat yang menerima pembiayaan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), dalam usaha membantu meningkatkan daya saing vendor-vendor komponen dan peralatan automotif tempatan.

MIDF menawarkan Skim Pinjaman Mudah bagi Automasi dan Modenisasi (SLSAM) bagi pembelian aset tetap seperti bangunan kilang, mesin, peralatan, acuan dan keperluan modal kerja dengan kadar faedah pada empat peratus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan lima peratus untuk bukan PKS.

MIDF telah memainkan peranan penting kepada kemajuan WSA kerana telah memberi sokongan sejak 10 tahun lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved