Ahad, 27 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bomba siap sedia hadapi banjir

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 27 Okt. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi musim tengkujuh yang boleh menyebabkan banjir di antara Oktober hingga Januari setiap tahun.

Timbalan Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata, berdasarkan arahan dari ibu pejabat, pihaknya telah menghantar surat kepada semua balai bomba di Pahang bagi membuat satu pelan perancangan dan analisis risiko bagi mengatasi fenomena itu.

"Pasukan bomba dengan kekuatan 995 orang sentiasa bersedia bagi tugas-tugas menyelamat terutama dalam aspek logistik, keanggotaan dan persekitaran.

"Semua jentera dan bot yang akan digunakan telah diselenggara dengan baik bagi melancarkan operasi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Nazili, orang ramai juga diminta sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa sekiranya berlaku banjir.

"Kesulitan yang sering dialami pasukan penyelamat setiap kali berlakunya bencana alam tersebut ialah penghuni enggan berpindah seperti diarahkan.

"Mereka hanya akan berpindah apabila berada dalam situasi yang kritikal dan ini menyukarkan tugas-tugas menyelamat terutama pada waktu malam," jelasnya.

Tambahnya, penduduk turut disaran menyimpan dokumen penting dan barang berharga di tempat yang selamat bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

"Dalam pada itu, mereka perlu menitikberatkan aspek keselamatan terutama mengawasi anak-anak daripada bermain air atau berkunjung ke kawasan yang tidak selamat.

"Elakkan mengunjungi jeram atau sungai untuk beriadah di musim tengkujuh kerana dikhuatiri pusaran kepala air yang berlaku boleh menyebabkan mangsa lemas," jelasnya.

Sasar kemalangan sifar di tempat kerja

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Ismail Abd. Muttalib memakaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal ketika Karnival Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Pertanian di Maran, Pahang, kelmarin. - UTUSAN/Salehudin Mat Rasad

MARAN 27 Okt. - Kementerian Sumber Manusia melancarkan tema Utamakan Keselamatan Setiap Masa bagi mencapai matlamat kemalangan sifar di tempat kerja serta meningkatkan tindakan pencegahan kemalangan di kawasan itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, langkah itu dibuat dengan mengenal pasti, memahami dan menangani segala potensi yang mendatangkan risiko kemalangan berkaitan pekerjaan.

Tegasnya, usaha mencapai matlamat tersebut memerlukan penglibatan serta komitmen tinggi pelbagai pihak termasuk kerajaan, majikan, pekerja dan orang ramai.

"Setiap pihak terbabit perlu berperanan secara berterusan, komprehensif dan bersepadu dalam meningkatkan kesedaran tentang keperluan mewujudkan tempat kerja selamat serta sihat.

"Langkah itu dibuat kerana jumlah kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) adalah sebanyak 61,552 kes pada 2012. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.69 peratus berbanding 2011 iaitu sebanyak 59,897 kes," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Pertanian di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Ismail berkata, usaha yang dijalankan kerajaan bersama dengan majikan dan pekerja akan diteruskan bagi mewujudkan persekitaran selamat di tempat kerja.

"Usaha perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan kadar kemalangan setanding negara maju dengan memastikan penurunan kadar kemalangan sebanyak 30 peratus menjelang 2015," katanya.

Pengedar dadah warga Myanmar ditahan

Posted: 27 Oct 2013 11:08 AM PDT

Yahaya Othman (kanan) bersama Mohd. Hamdi Baharuddin (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas daripada seorang nelayan warga Myanmar dalam sidang akhbar di Pekan, Pahang, semalam. - BERNAMA

PEKAN 27 Okt. - Seorang pengedar dadah warga Myanmar diberkas polis bersama dadah jenis heroin bernilai RM10,000 ketika berurus niaga bahan itu di ladang sawit Kampung Serun, Nenasi di sini Khamis lalu.

Suspek yang berusia 32 tahun diberkas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan kira-kira pukul 4.50 petang.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Yahaya Othman berkata, ketika diperiksa suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Polis menemui 20 peket plastik lutsinar dalam sebuah beg mengandungi dadah jenis heroin seberat 207 gram.

"Suspek tidak memiliki dokumen sah untuk masuk negara ini. Polis turut merampas sekeping kad pengenalan diri Myanmar," katanya dalam sidang akhbar di IPD Pekan, hari ini.

Menurut beliau, suspek dipercayai bekerja sebagai nelayan di Endau, Johor dan masuk secara haram ke negara ini melalui bahagian utara Semenanjung.

"Siasatan juga mendapati lelaki itu baru lagi mengedar dadah di kawasan ini dan menyasarkan kumpulan nelayan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya sedang memburu beberapa lagi rakan suspek yang dipercayai mempunyai rangkaian pengedaran dadah di daerah ini.

"Ini merupakan tangkapan terbesar di daerah ini yang membabitkan warga asing yang menjadi pengedar dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 31 Oktober ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved