Ahad, 27 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melaka mahu peruntukan tambahan

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
pengarang@utusan.com.my

JASIN 26 Okt. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta menambah jumlah peruntukan pertanian bagi 2014 kepada jumlah yang lebih besar bagi membangunkan lagi sektor berkenaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Pertanian, Datuk Hasan Rahman berkata, penambahan itu perlu memandangkan Melaka hanya menerima sebanyak RM820,000 peruntukan tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya RM30 juta tahun depan untuk melaksanakan pelbagai projek dan aktiviti pembangunan pertanian di negeri ini.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu diperlukan bagi membangunkan kemudahan dan infrastruktur pertanian yang masih belum dibangunkan sepenuhnya.

"Di Melaka kita perlukan pembinaan jalan ladang yang lebih sempurna, kemudahan pengairan di sawah padi, jeti nelayan selain kemudahan pemasaran bagi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan banyak lagi.

"Saya merayu agar kementerian dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dapat mengkaji semula peruntukan yang disalurkan kepada negeri ini supaya ditambahkan kepada angka yang lebih munasabah," katanya selepas melancarkan Klinik Pertanian peringkat negeri di Pejabat Pertanian Merlimau di sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Roslan Ahmad dan Timbalan Pengarah Pertanian negeri, Juliawaty Sulaiman.

Dalam pada itu Hasan berkata, penubuhan klinik pertanian itu juga akan diperluaskan di setiap daerah bagi membolehkan para petani dan peladang mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat yang berkaitan pertanian selain memudahkan urusan mereka.

"Usaha ini dilaksanakan untuk membantu golongan petani menjadikan klinik ini sebagai tempat rujuk kepada pakar dalam bidang tanaman masing-masing sama ada masalah daripada segi penanaman dan pemasaran di samping memberi ruang kepada mereka menambah ilmu," katanya.

Tambahnya, inisiatif mewujudkan klinik itu turut dilihat dapat mengerakkan lagi aktiviti pertanian di negeri ini sekali gus mampu memberi manfaat kepada petani dan peladang secara terus untuk membantu meningkatkan produktiviti tanaman mereka.

Penjelasan bahaya ancaman Syiah perlu diperhebat

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

SEBANYAK 52 masjid seluruh Negeri Sembilan telah membacakan khutbah khas pada Jumaat lalu yang bertajuk 'Percanggahan Fahaman Syiah Imamiah dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah' sebagai peringatan dan pencerahan berhubung bahaya ancaman Syiah, khususnya di negeri ini.

Khutbah berkenaan disusun bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan tenaga pakar dari Kolej Islam As Sofa serta mendapat kerjasama daripada Pejabat Mufti Kerajaan negeri yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Akidah MAINS, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al Maliki As Sanusi.

Mereka yang menyampaikan khutbah itu terdiri daripada imam MAINS, ustaz dan pensyarah Kumpulan Pendidikan Sofa (SEG), Rabitah Ulama Sofa dan wakil Pejabat Mufti Kerajaan negeri.

Dalam khutbah yang disampaikan itu, antara peringatan ialah bahayanya penularan fahaman Syiah dan jika tidak dibendung, akan menghancurkan kesatuan umat Islam, malah lebih teruk bakal menggugat kesucian akidah umat Islam melalui pelbagai virus pemesongan dan penyelewengan yang sarat terkandung dalam fahaman ini.

Teks khutbah berkenaan antaranya menyebut ajaran Syiah Imamiah ini bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka kerajaan Negeri Sembilan telah mewartakan fatwa yang bertarikh 27 Februari 1998, yang menyatakan bahawa umat Islam di negeri ini hendaklah mengikut undang-undang Islam dan ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Ajaran Islam selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan dengan demikian, penyebaran apa-apa ajaran lain, selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang, menurut teks khutbah berkenaan.

Antara yang didedahkan dalam teks khutbah khas itu ialah sebahagian doktrin Syiah Imamiah yang menyalahi prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Di antaranya mereka mendakwa:

* Ilmu Allah SWT berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia.

* Al-Quran yang berada di tangan Ahli Sunnah Wal Jamaah pada hari ini tidak sempurna kecuali yang ada di sisi Sayyidina Ali.

* Para Imam Dua Belas adalah maksum.

* Para Imam Dua Belas lebih tinggi darjatnya daripada para Nabi dan Rasul.

* Menuduh Abu Bakar dan Umar sebagai dua berhala Quraisy serta pengikut-pengikut mereka adalah kafir.

* Mendakwa semua sahabat telah menjadi murtad selepas kewafatan Nabi kecuali empat orang, iaitu al Miqdad ibn al Aswad, Abu Zar al Ghifari, Salman al Farisi dan Ammar ibn Yaseer.

* Menganggap Ahli Sunnah adalah kafir dan najis.

* Menghalalkan darah dan harta Ahli Sunnah.

* Mendakwa tidak sempurna iman orang yang tidak mengamalkan nikah mutaah.

* Menjadikan taqiyyah (penipuan dan kepura-puraan) adalah sebahagian daripada agama.

Maka dalam seruan yang dibuat oleh mimbar di 52 masjid ini perlu mendapat perhatian seluruh umat Islam di negeri ini agar mengambil langkah perlu bagi mengekang penularan fahaman yang amat berbahaya ini, sekali gus mengelak diri daripada terjebak ke dalamnya.

Antara yang digariskan itu ialah:

* Semua peringkat umat Islam perlu ditanam dengan ilmu akidah yang sahih dan komprehensif berlandaskan prinsip-prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah semenjak dari awal lagi dan perlu dikukuhkan dari semasa ke semasa.

* Mengukuhkan kefahaman terhadap al Quran dan hadis melalui guru-guru yang bertauliah dan diakui kesahihan ilmunya dan bukan dengan pembacaan dan kajian semata-mata.

* Mengenal pasti ajaran yang terpesong dalam aliran Syiah Imamiah bagi mengelak daripada terjebak ke dalamnya.

* Meningkatkan kewaspadaan terhadap propaganda atau eksploitasi yang dilakukan oleh golongan Syiah Imamiah yang berselindung di sebalik sentimen kasih dan cintakan Ahli Bait (ahli keluarga Rasulullah SAW), memperjuangkan hak Ahli Bait dan menentang kezaliman yang dilakukan terhadap Ahli Bait.

Justeru, adalah wajar langkah penerangan dan pencerahan ini dapat diteruskan dalam kalangan umat Islam di negeri ini dan diperhebatkan kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah mengambil keputusan untuk melarang fahaman Syiah Imamiah ini daripada menular di negeri ini.

Hal itu telah pun dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi MAINS dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan lalu.

"Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira apa juga ajaran atau fahaman Islam yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, adalah dilarang, apatah lagi fahaman Syiah ini.

"Kita telah pun mewartakan larangan ini, iaitu pengikutnya yang menyebarkan fahaman itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1992 di mahkamah, jika terus melanggar perintah larangan ini," katanya.

Maka hendaklah umat Islam faham bahawa fahaman Syiah Imamiah merupakan suatu ajaran yang jauh tersasar daripada landasan Islam yang sahih, malah ajaran ini mampu merosakkan akidah umat Islam dan menjerumuskan mereka ke lembah kekufuran dan syirik.

Sambungan haram: SESB tahan 3 lelaki

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

TAWAU 26 Okt. - Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) menahan tiga lelaki yang cuba membuat sambungan elektrik haram di kawasan pemasangan elektrik SESB di Kilometer 6.4 (Batu 4), Jalan Apas di sini kelmarin.

Pengurus Besar Kanan (Pembangunan Aset) SESB, Ir. Abd. Nasser Abd. Wahid berkata, mereka yang berusia antara 29 hingga 52 tahun itu ditahan oleh Polis Bantuan SESB di kawasan itu kira-kira pukul 8.10 malam sebelum diserahkan kepada polis.

"Beberapa alat pemotong besi turut dirampas daripada suspek dan ini merupakan kes keenam tahun ini.

"Orang ramai diminta segera menghubungi talian khas Polis Bantuan SESB di 088-282455 sekiranya ternampak individu yang mencurigakan di kawasan pemasangan elektrik milik SESB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved