Selasa, 17 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Perak terima RM1.7b pelaburan

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Mohamad Zahir Abdul Khaled (dua dari kiri) dan Ketua Eksekutif Invest Perak, Datuk Muhammad Hafni Ibrahim (kiri) mendengar penerangan mengenai operasi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Nihon Superior (M) Sdn. Bhd., di Zon Perdagangan Bebas Jelapang Dua, Silibin di Ipoh, kelmarin.

IPOH 16 Sept. - Perak bakal menerima pelaburan asing berjumlah RM1.7 bilion menjelang hujung tahun ini hasil perkembangan operasi yang akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat sedia ada di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, sehingga Jun lalu, sebanyak RM650 juta pelaburan baru telah diluluskan antara lain melibatkan bidang pengangkutan, getah dan elektronik.

"Perkembangan positif ini menandakan tahap keyakinan pelabur ke atas kestabilan politik negeri serta kepemimpinan yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

"Ini sekali gus menujukkan ekonomi Malaysia telah meningkat berasaskan kepada sumber tenaga manusia mahir termasuk dengan kerjasama institusi pengajian tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Kajian dan Pembangunan (R&D) Nihon Superior (Malaysia) Sdn. Bhd., di Zon Perdagangan Bebas Jelapang 2 di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Presiden Nihon Superior Co. Ltd., Tetsuro Nishimura dan Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Toshiro Nishimura.

Dalam pada itu, Mohamad Zahir berkata, segala urusan berkaitan pelaburan akan dipermudah serta diurus dengan pantas oleh kerajaan negeri.

Memetik pelaburan China South Railway Group melalui subsidiarinya, CSR ZhuZhou Electric Locomotive Co. Ltd., untuk membina pusat perindustriannya di Batu Gajah beliau berkata, kesemua permohonan tersebut telah diluluskan dan proses pembinaannya telah bermula.

"Baru-baru ini juga kerajaan negeri mengadakan pertemuan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk cadangan pemasangan saluran paip gas petroleum cecair (LPG) dari Ayer Tawar ke Kawasan Perindustrian Lahat

"Kita yakin sekiranya projek ini dapat direalisasi, lebih banyak pelabur baharu akan datang melabur termasuk pengembangan operasi oleh syarikat sedia ada terutamanya di Lembah Kinta," katanya.

Kitar semula 22 peratus

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 16 Sept. - Kerajaan negeri menyasar meningkatkan kadar kitar semula daripada tiga peratus kepada 22 peratus menjelang tahun 2020.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir (gambar) berkata, sasaran itu selaras dengan tahap kesedaran kitar semula yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat.

"Saya akui sasaran itu tinggi tetapi saya lebih suka meletak sasaran tinggi supaya usaha kita menjurus ke arah itu.

"Maksudnya dasar dan pendekatan yang bakal diamalkan oleh Kedah mesti menjurus ke arah itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kebersihan Kedah (3K) di Taman Wira Mergong di sini kelmarin.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim.

Menurut Mukhriz, antara faktor paling penting bagi menjayakan sasaran berkenaan ialah untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, masyarakat perlu melalui satu transformasi jika benar-benar mahu Kedah indah dan selesa untuk didiami.

Dalam pada itu, beliau juga tertarik dengan usaha meningkatkan kesedaran khususnya dalam kalangan anak-anak kecil mengenai betapa penting kitar semula menjadi budaya dalam kalangan masyarakat.

Katanya, bahan buangan harian seperti kertas, surat khabar dan botol plastik boleh menjana pendapatan apabila dikitar semula menjadi satu bahan berguna.

''Saya berharap amalan itu menjadi budaya warga Kedah supaya akhirnya Kedah terkenal sebagai negeri yang bersih, indah dan selesa didiami," katanya.

Perkim Pulau Pinang distruktur semula

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

PULAU PINANG 16 Sept. - Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) negeri akan distruktur semula selepas pembubaran pertubuhan itu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada April lalu.

Pengerusi Perkim Bahagian Pulau Pinang, Datuk Noor Mohamed Backer Abu Backer berkata, pihaknya baru menerima surat rasmi menerusi peguamnya berhubung kes terbabit.

Katanya, satu mesyuarat bersama wanita bahagian dan cawangan Perkim akan diadakan dalam tempoh masa terdekat bagi memberi nafas baru untuk pihaknya memulakan aktiviti Perkim negeri seperti dahulu.

"Sudah tujuh tahun Perkim negeri tidak melakukan sebarang aktiviti berikutan kes pembubaran berjalan di mahkamah dan kini selepas pembubaran itu ditolak, kita syukur kerana dapat melakukan kebajikan kepada orang Islam dan juga mualaf di negeri ini.

"Kita sedih dengan apa yang berlaku, ini merupakan satu mimpi ngeri buat semua ahli Perkim Pulau Pinang dan kali ini kita bawa misi baru untuk menjaga kebajikan orang Islam di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan sambutan Hari Raya Aidiladha sekali gus memberi keyakinan kepada orang Islam di negeri ini bahawa Perkim Pulau Pinang telah kembali untuk menjaga kebajikan orang Islam dan golongan mualaf.

"Kita mahu keikhlasan daripada semua pihak untuk menjayakan kerja-kerja kebajikan dalam Perkim," ujarnya.

Setakat ini ahli Perkim negeri sudah mencecah 4,000 orang dan mereka mempunyai tujuh cawangan di seluruh Pulau Pinang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved