Selasa, 17 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dua pemilik bengkel didakwa

Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 17 Sept. - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 30 pertuduhan menyebabkan pencemaran air dan tanah yang dikaitkan dengan tumpahan minyak diesel sehingga mengakibatkan kira-kira sejuta pengguna di Lembah Klang mengalami masalah bekalan air, 30 Ogos lalu.

Ng Kim Bok, 55, dan isterinya, H'ng Soo Chiew, 56, yang merupakan pemilik tiga buah syarikat bengkel kenderaan, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa kepada mereka.

Kim Bok dan Soo Chiew didakwa bersama-sama atas 20 pertuduhan sebagai pemilik dan pengarah syarikat Muhibbah Mok Sdn. Bhd. dan Ng Kim Bok Realty Sdn. Bhd.

Lelaki itu turut didakwa atas 10 lagi pertuduhan sebagai pemilik dan pengarah kepada syarikat Muhibbah Mok Workshop.

Kedua-duanya didakwa melakukan pencemaran melalui pembuangan minyak secara ditanam, tumpahan di tanah dan tumpahan ke sungai antara pukul 9.50 pagi dan 11.40 pagi, 30 Ogos lalu di premis di Sungai Gong, Lot 35222, Sungai Bakau, Bandar Kundang, Gombak, dekat sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 24(1) dan Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul turut mengemukakan pertuduhan terhadap mereka mengikut Enakmen Lembaga Urus Negeri Selangor (LUAS) yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Walau bagaimanapun kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tidak lagi mempunyai pendapatan setelah kilang mereka ditutup.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar kemudian membenarkan Kim Bok dijamin RM150,000 manakala isterinya RM100,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 10 Oktober ini.

Berdasarkan laporan akhbar pada 30 Ogos lalu, empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) di negeri ini terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang.

Menurut kenyataan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) ketika itu, penutupan sementara operasi di LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3, serta Rantau Panjang menjejaskan bekalan air kepada 240,000 akaun atau hampir sejuta orang pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Operasi empat loji terlibat terpaksa dihentikan bermula pukul 8 pagi kerana tumpahan minyak diesel yang dipercayai berpunca dari sebuah bengkel menyebabkan pencemaran sumber air kepada empat loji berkenaan.

Katanya, keempat-empat LRA itu mengeluarkan bekalan air terawat sebanyak 2,670 juta liter sehari (JLH) iaitu 57 peratus daripada jumlah permintaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kes Anwar: Seorang panel hakim Mahkamah Rayuan tarik diri

Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT

PUTRAJAYA 17 Sept. - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan seorang daripada ahli panel bersidang, Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ramly Ali yang turut bersidang bersama Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal pasukan pembelaan yang mewakili Anwar.

Mahkamah kemudian menetapkan esok bagi mendengar permohonan pihak pembelaan agar peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik mengetuai pasukan pendakwa raya, digugurkan daripada mewakili pihak pendakwaan dalam rayuan itu.

Pelantikan secara kontrak itu dibuat oleh Peguam Negara mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan disahkan melalui surat yang ditandatanganinya pada 2 Julai lalu.

Terdahulu, peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan mengemukakan bantahan awal terhadap kehadiran Hakim Tengku Maimun dalam panel itu serta memohon beliau menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut.

Karpal berhujah, hakim berkenaan pernah terlibat dalam kes saman malu oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang keputusannya pada 9 Julai 2007 tidak memihak kepada Anwar.

Menurut peguam bela itu, Hakim Tengku Maimun ketika menolak saman malu tersebut telah mengguna pakai satu ulasan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh kegiatan homoseksual Anwar dalam satu lagi kes liwat.

Mahkamah Persekutuan ketika itu membuat ulasan menyatakan wujud bukti yang mengesahkan perayu-perayu (Anwar dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja) terlibat dalam kegiatan homoseksual walaupun mahkamah tersebut membuat keputusan majoriti untuk membebaskan Anwar dalam kes tersebut.

Menurut Karpal lagi, isu berhubung perkara tersebut hanya dibawa ke pengetahuan beliau pada Jumaat lalu selepas dimaklumkan oleh seorang lagi peguam bela, Ramkarpal Singh.

Sehubungan itu, Karpal menghujahkan, Hakim Tengku Maimun seharusnya menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut berdasarkan ulasan yang diguna pakai itu boleh mendorong kepada berat sebelah dan menimbulkan persepsi yang kurang menyenangkan.

Hujah Karpal lagi, persoalan utama dalam rayuan yang akan didengar di hadapan kuorum berkenan melibatkan isu liwat dan dalam kes saman malu itu, hakim berkenaan telah menyertakan ulasan berhubung isu yang sama.

Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah, mahkamah perlu menimbang bahawa saman malu tersebut dikemukakan berdasarkan kepada kenyataan bekas Perdana Menteri berhubung kes liwat yang dihadapi oleh Anwar.

Peguam bela menghujahkan, kenyataan yang dikeluarkan itu bukan penemuan fakta kerana saman tersebut tidak didengar langsung selepas Hakim Tengku Maimun membuat keputusan membatalkan saman berkenaan.

Karpal menimbulkan persoalan itu sebelum Mahkamah Rayuan mendengar permohonan pembelaan untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kelak.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved