Selasa, 17 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Piala Malaysia: Tok Gajah intai tiket suku akhir

Posted: 17 Sep 2013 05:54 PM PDT

KUANTAN 18 Sept. - Peluang Pahang untuk menempah tiket ke suku akhir kini kembali cerah apabila berjaya membenam Negeri Sembilan 3-0 dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Pahang yang menguasai perlawanan cuba menjaringkan pertama pada minit-30 menerusi tendangan cantik Mohd. Amirul Hadi Zainal namun gagal menembusi gawang skuad Rusa selepas bola tersasar ke tepi palang.

Negeri Sembilan pula nampak lemah walaupun beberapa kali percubaan gagal disempurnakan selepas pertahanan Tok Gajah berjaya mematahkan serangan.

Minit ke-45, Pahang sekali lagi mendapat peluang menerusi sepakan percuma oleh Azidan Sarudin tetapi berjaya ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Badrulzaman Abdul Halim.

Masuk babak kedua, perlawanan nampak seimbang apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Namun, kealpaan pertahanan skuad Rusa membawa padah apabila hantaran cantik Azidan berjaya dirembat masuk oleh Matias Conti pada minit ke-50.

Pertahanan Negeri Sembilan sekali lagi dihukum apabila hantaran cantik Mohd. Amirul Hadi berjaya disepak masuk oleh R. Gopinathan pada minit ke-70.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Negeri Sembilan cuba bangkit dengan membuat beberapa serangan, namun digagalkan pertahanan Pahang.

Bagaimanapun, Pahang yang mendapat sepakan percuma pada minit ke-83 tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tendangan cantik Azidan gagal ditepis keluar Badrulzaman menjadikan Tok Gajah kekal mendahului 3-0 sehingga tamat perlawanan. - UTUSAN ONLINE

Hasrat Terengganu ke suku akhir berkubur

Posted: 17 Sep 2013 05:48 PM PDT

PENGADIL perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar (dua kiri) menenangkan pemain-pemain Teregganu yang tidak berpuas hati dengan penjaga garisan pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 18 Sept. - Hasrat Terengganu untuk kembali bangkit memburu tiket ke saingan suku akhir Piala Malaysia musim ini berkubur apabila dimalukan juara bertahan, Kelantan 1-3 dalam aksi yang berlangsung dalam suasana `tegang' di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam tadi.

Biarpun masih memiliki baki satu perlawanan dalam tangan, namun, skuad kendalian E. Elavarasan itu boleh mengucapkan selamat tinggal lebih awal kerana gagal memanfaatkan aksi terakhir di laman sendiri sebelum menutup tirai saingan peringkat Kumpulan C menentang Negeri Sembilan Sabtu ini.

Tuan rumah bermula baik apabila melancarkan beberapa gerakan berbahaya ke kubu pelawat namun dikecewakan oleh sentuhan penyudah yang kurang kemas terutamanya daripada penyerang import mereka, Effa Owona.

Sebaliknya, Kelantan yang sesekali mengasak terlebih dahulu mengejutkan pelawat apabila umpanan lintang penyerang, Mohd. Fakri Saarani terkena kapten skuad Penyu, Hasmizan Zakaria yang kemudian tertampan bola ke gawang sendiri untuk gol pertama pelawat.

Gol tersebut bagaimanapun tidak melemahkan semangat juang tuan rumah yang kembali mempamerkan aksi bertenaga untuk memburu jaringan penyamaan.

Bermula daripada satu sepakan percuma luar kotak penalti yang diambil oleh Owona, bola kemudian melantun sebelum menerjah jaring yang gagal diselamatkan oleh penjaga gawang pelawat, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-33.

Namun demikian, gol tersebut tidak dikira pengadil, Syed Azhar Syed Kamar kerana seorang pemain Terengganu iaitu G. Puaneswaran berada dalam kedudukan ofsaid sekali gus membangkitkan kemarahan puluhan ribu penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium malam tadi.

Akibat daripada itu,perlawanan terhenti hampir lima minit sebelum disambung semula dengan tambahan masa kecederaan selama lima minit sebelum para pemain menuju ke bilik persalinan untuk rehat separuh masa pertama.

Masuk babak kedua, tuan rumah kembali memperkemaskan jentera serangan mereka, namun kelalaian benteng pertahanan membawa padah apabila Indra Putra Mahyuddin menggandakan jaringan buat pasukan pelawat selepas menerima bola umpanan kapten, Mohd. Badri Radzi pada minit ke-56.

Tuan rumah cuba bangkit merapatkan kedudukan menerusi Ashaari Samsudin pada minit ke-74 namun kapten pelawat, Badri atau Piya menamatkan sisa-sisa harapan tuan rumah dengan gol ketiga pelawat pada minit ke-86 perlawanan. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved