Selasa, 17 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Henti tambak laut di Klebang

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 16 Sept. - Hampir 200 nelayan di empat kawasan telah lama menderita apabila hasil tangkapan laut berkurangan berikutan kerja menambak laut kawasan pantai di Klebang hingga ke Kampung Hailam masih dilaksanakan.

Empat kawasan yang teruk terjejas berikutan projek tambakan laut ialah Lereh, Kampung Hailam, Balik Bukit dan Klebang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, sepatutnya kerja penambakan laut sudah dihentikan berikutan keputusan kerajaan negeri untuk menghentikan sementara waktu kelulusan tersebut untuk diselaraskan.

Bagaimanapun menurutnya, arahan tersebut tidak diendahkan oleh pengusaha projek berkenaan kerana masih ada antara mereka yang berdegil dan melaksanakan kerja penambakan laut di kawasan terbabit.

''Pengusaha tidak endahkan arahan kerajaan negeri dan mereka teruskan aktiviti penambakan laut di samping mereka meletakkan kapal pengorek di laluan nelayan keluar masuk.

''Keadaan ini menyukarkan nelayan keluar untuk menangkap ikan di samping beberapa lokasi pusat habitat ikan sudah terjejas berikutan kerja yang dilaksanakan," katanya di sini hari ini.

Hasan berkata, kerja penambakan laut juga secara tidak langsung telah menjejaskan pusat habitat ikan yang sering kali menjadi lokasi nelayan menangkap ikan.

Menurutnya, beliau telah menemui kesemua nelayan terbabit dan mendengar rintihan mereka kerana sumber pendapatan hasil tangkapan ikan semakin berkurangan.

Justeru, katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) perlu memantau aktiviti penambakan laut yang sepatutnya dihentikan tetapi sebaliknya tidak diendahkan oleh pengusaha terbabit.

''Saya akan memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab termasuk UPEN agar tindakan segera perlu diambil bagi membantu nelayan di empat kawasan yang terjejas teruk pendapatan mereka," katanya.

Beliau berkata, semua nelayan di empat kawasan berkenaan mengharapkan kerajaan negeri dapat menghentikan kerja penambakan tersebut sekali gus membolehkan nelayan kembali mencari rezeki di situ.

19 projek rumah terbengkalai NS dipulih

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

KUALA PILAH 16 Sept. - Sebanyak 19 daripada 22 projek perumahan swasta yang terbengkalai di negeri ini telah dipulihkan oleh kerajaan sejak 2009 hingga kini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, hanya tiga projek yang sedang melalui pelbagai proses pemulihan.

Beliau berkata, jumlah 22 projek terbengkalai itu melibatkan seramai 2,542 pembeli.

"Pencapaian pemulihan projek terbengkalai ini adalah sangat membanggakan dan ia adalah bukti kesungguhan kerajaan dalam menangani isu tersebut," katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Kariah Sri Akrab di Juasseh dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, projek perumahan Kariah Sri Akrab merupakan projek terbaru yang berjaya dipulihkan oleh kerajaan menggunakan kaedah kontraktor penyelamat.

Jelasnya, melalui usaha itu, projek yang mempunyai 93 unit rumah kos sederhana yang terbengkalai sejak 2001 dipulihkan oleh MYA Construction yang dilantik oleh kerajaan.

"Projek pemulihan ini berjaya disiapkan dalam tempoh 12 bulan dengan jumlah pembiayaan oleh kerajaan sebanyak RM5.1 juta," ujarnya.

Abdul Rahman berkata, jumlah itu adalah untuk menampung kos pemulihan projek dan pembayaran hanya dilakukan selepas projek siap dengan Sijil Layak Menduduki (CFO).

"Dengan komitmen yang tinggi oleh kontraktor penyelamat, projek ini telah pun memperoleh CFO pada 26 Julai lalu," ujarnya.

Gerakan Belia 4B, Pemuda UMNO perlu bergerak seiring

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

Idris Haron (berdiri, lima dari kiri) bersama sebahagian ahli Gerakan Belia 4B (GB4B) melaungkan 'Gerakan Belia 4B' selepas menyampaikan watikah penubuhan 30 cawangan Gerakan Belia 4B kawasan Bukit Katil di Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka, semalam. - utusan/azli ahad

MELAKA 16 Sept. - Gerakan Belia 4B perlu bergerak seiring dengan Pergerakan Pemuda UMNO negeri dalam usaha memastikan Parlimen Bukit Katil dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN) daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, beliau melihat kerjasama erat antara kedua-dua pertubuhan itu amat penting untuk mengembalikan semula kedua-dua kerusi yang dimenangi oleh pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, antara faktor kekalahan dua kerusi yang sebelum ini menjadi milik BN itu berpunca daripada kurangnya sokongan padu daripada pengundi muda di Parlimen Bukit Katil.

Beliau berkata, strategi utama yang perlu dilaksanakan ialah menjadikan semua ahli dan Ketua Pemuda UMNO cawangan sebagai ahli Gerakan Belia 4B.

''Sudah lama saya sebut Gerakan Belia 4B dan Pergerakan Pemuda UMNO perlu bergerak seiring. Tidak patut ada perbezaan antara kedua-duanya sebaliknya mesti ada persamaan.

''Tujuan kita amat penting iaitu mengembalikan semula kerusi Parlimen Bukit Katil dan Bukit Baru kepada BN dan ini adalah amanat yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila saya dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Penubuhan Cawangan-Cawangan Gerakan Belia 4B kawasan Bukit Katil di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Idris turut menyampaikan watikah penubuhan 30 cawangan Gerakan Belia 4B kawasan Bukit Katil yang turut dihadiri kira-kira 500 belia.

Mengulas lanjut Idris berkata, kedua-dua pertubuhan itu perlu berganding bahu secara serius untuk mendaftar pengundi baharu dengan sasaran 15,000 pengundi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurutnya, melalui kerjasama itu dan bersistematik sasaran untuk mendaftar pengundi baharu akan mencapai matlamat dalam usaha untuk menawan semula Parlimen Bukit Katil dan DUN Bukit Baru.

Justeru, katanya, peranan Gerakan Belia 4B khususnya 30 cawangan baharu di Bukit Katil perlu memainkan peranan untuk mendaftar pengundi baharu secepat mungkin.

''Jika kita ingin lihat BN kembali berkuasa di Parlimen Bukit Katil dan DUN Bukit Baru, inilah peranan yang perlu dimainkan oleh Gerakan Belia 4B, jika tidak kita akan 'berputih mata'," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved