Selasa, 17 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Ancaman tanah mendap serius

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Selepas ribuan penduduk di Desa Pandan di sini gempar dengan kejadian tanah mendap di tapak projek berhampiran perumahan mereka, kini kebimbangan sama turut disuarakan kira-kira 600 buah keluarga di Pangsapuri Melati Impian, Gombak.

Penduduk mendakwa kejadian tanah mendap itu berpunca daripada kerja-kerja pembinaan pangsapuri servis 16 tingkat di kawasan berhampiran.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa hidup dalam keadaan kebimbangan.

Sehubungan itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta segera mengarahkan pemaju projek berkenaan menghentikan kerja-kerja mereka untuk sementara waktu bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

Ini bagi membolehkan pemaju memasang struktur penahan pada tanah yang mendap di laluan keluar pangsapuri berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi hari ini mendapati dakwaan penduduk berasas.

Keadaan mendapan tanah begitu hampir dengan pangsapuri berkenaan iaitu hanya kira-kira lima meter.

Selain mendapan tanah, terdapat beberapa keretakan berlaku di dinding koridor tingkat 2 dan 13 pangsapuri berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Abd. Karim Yunos berkata, gesaan menghentikan kerja-kerja di tapak projek bagi mencari penyelesaian kepada masalahtersebut.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pemaju terlibat bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam pertemuan tersebut pihak pemaju berjanji akan membaiki struktur penahan.

Apa yang mengecewakan kami sehingga ke hari ini kerja-kerja masih dilakukan.

Kami hanya mahu kerja-kerja dihentikan sementara bagi memastikan status keadaan di sini benar-benar selamat atau sebaliknya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi hari ini.

Seorang penduduk, Syukri Ismail, 47 berkata, aduan berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada DBKL sebelum ini memandangkan projek tersebut merupakan projek usaha sama dengan pemaju.

Menurutnya, apa yang mengecewakan selepas aduan dibuat pihak DBKL hanya memasang pita kuning di kawasan tanah mendap bagi mengelakkan penduduk melalui kawasan tersebut.

Jika keadaan begini berterusan tanpa ada penyelesaian ia sudah meletakkan kami dan keluarga dalam keadaan tidak selamat," katanya.

Perasaan sama turut dikongsi Zakaria Tahir, 57.

Dia berkata, setiap kali pihak pemaju memulakan kerja di tapak pembinaan penduduk berasa gegarannya.

Kami sentiasa berada dalam keadaan bimbang dan berdoa agar dijauhkan daripada perkara-perkara tidak diingini," katanya.

Jalan rosak ganggu rutin harian

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 16 Sept - Keadaan jalan yang rosak dan berlubang di Jalan Jubilee, Kampung Loke Yew, Cheras di sini terus mengganggu rutin harian kira-kira 200 keluarga di kampung berkenaan.

Memburukkan lagi keadaan setiap kali hujan, air melimpah ke atas jalan dan menyebabkan banjir kilat.

Penduduk mendakwa, masalah berkaitan telah dipanjangkan kepada wakil rakyat di kawasan tersebut, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil.

Seorang penduduk, Ng Yee Kiew 65, berkata penduduk terpaksa berhadapan kesukaran untuk keluar ke jalan besar yang terletak kira-kira 200 meter.

Menurutnya, keadaan jalan itu mendedahkan pengguna terutama penunggang motosikal kepada bahaya.

"Kami amat berharap pihak bertanggungjawab segera melakukan kerja-kerja baik pulih demi keselamatan dan keselesaan penduduk," katanya ketika ditemui semasa Pengerusi Parti PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A Chandrakumanan mengadakan lawatan ke kawasan tersebut baru-baru ini.

Kata Yee Kiew, turut menghantui mereka pokok-pokok besar di kiri kanan jalan tersebut merimbun berikutan tidak ada kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan pihak bertanggungjawab.

"Setiap kali hujan atau angin kencang penduduk berasa bimbang jika pokok tumbang dan menimpa kami," katanya.

Sementara itu, Chandrakumanan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu selepas menerima aduan penduduk sebelum itu.

Menurutnya, satu surat telah dihantar kepada DBKL agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

"Saya dapati keadaan di sini mermerlukan banyak perhatian dari pihak berkuasa kerana jalan ini merupakan laluan utama penduduk ke jalan besar.

"Lebih mengundang bahaya kepada penduduk apabila ketiadaan lampu jalan," katanya.

Menurutnya, walaupun kawasan ini melibatkan kawasan pembangkang, khidmat dan bakti tetap diberikan kepada masyarakat.

"Sebagai parti kompenan Barisan Nasional (BN) kami tetap meletakkan rakyat sebagai keutamaan," katanya.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati dakwaan penduduk berasas.

Keadaan permukaan jalan didapati rosak teruk sehingga menganggu kelancaran pemanduan.

Sementara pokok yang merimbun turut menjadikan suasana jalan berkenaan menakutkan dengan sebahagian besar rantingnya terjuntai dan ada yang jatuh di atas jalan.

Syarikat, ahli korporat diseru bangunkan Institusi Wakaf Korporat

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

Zainal Abidin Jaffar (tiga kanan) bersama penyumbang tanah wakaf dan ahli panel majlis Luncheon Talk Wakaf Korporat MAIWP, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Syarikat-syarikat serta ahli-ahli korporat diseru bekerjasama membangunkan Institusi Wakaf Korporat bagi meningkatkan status ekonomi dan sosial masyarakat Islam di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zainal Abidin Jaffar berkata, kerjasama tersebut antara lain sebagai usaha menjadikan Institusi Wakaf Korporat sebuah institusi terulung dan platform pembangunan wakaf yang menjamin pemilikan ekuiti Muslim di Malaysia.

''Banyak tanah wakaf yang masih belum dimajukan kerana kita kekurangan dana dan hal demikian menyebabkan pelaksanaan untuk membangunkannya menjadi perlahan.

''Jadi dengan penyertaan lebih banyak syarikat atau ahli korporat, kita mengharapkan tanah-tanah tersebut dapat dibangunkan dengan lebih agresif seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat Islam di seluruh negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Luncheon Talk Wakaf Korporat anjuran MAIWP baru-baru ini.

Dalam majlis ringkas yang dihadiri kira-kira 1,000 ahli korporat yang mewakili lebih 200 syarikat itu, dua kertas kerja bertajuk Pengurusan Wakaf dan Wakaf Korporat Masa Kini masing-masing telah dibentangkan oleh Pengurus Bahagian Baitulmal MAIWP, Aziz Mohamad dan Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Siti Mashitah Mahamood.

Menurut Zainal Abidin, MAIWP kini memfokuskan untuk mendirikan lebih banyak institusi pendidikan dan pusat-pusat kesihatan di atas tanah wakaf yang masih belum dibangunkan.

''Jika kita lihat di luar, banyak institusi pendidikan yang telah berkembang pesat berasaskan daripada harta wakaf seperti Universiti Cordova di Andalusia, al-Azhar as-Syarif di Mesir, Universiti Islam Madinah dan sebagainya.

''Setakat ini, MAIWP telah mempunyai Pusat Pengajian Warga Emas dan Masjid al-Hidayah yang masing-masing dibangunkan di atas tanah wakaf di Kampung Sungai Penchala dan kita mahu bangunkan lebih banyak institusi lain dalam bidang pendidikan dan perubatan pula,'' katanya.

Beliau berkata, hasrat itu akan dapat direalisasikan jika syarikat-syarikat korporat berganding bahu dengan MAIWP dalam menyumbang tenaga dan dana.

''Dengan adanya sokongan dari mereka, ekonomi umat Islam bukan sahaja bertambah kuat malah kita tidak perlu terlalu bergantung lagi kepada dana daripada kerajaan,'' ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved