Sabtu, 7 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Harimau jinakkan Singa

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Penjaring gol Harimau Muda, A. Thamil Arasu (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan gol kemenangan Malaysia ketika menumpaskan Singapura 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

KUANTAN - Kehadiran peminat amat mengecewakan apabila tidak sampai 1,000 penonton memenuhi Stadium Darul Makmur, namun itu tidak mematahkan semangat skuad Harimau Muda untuk menang 1-0 ke atas Singapura dalam saingan pembukaan Pestabola Merdeka, semalam.

A. Thamil Arasu menjadi watak utama kemenangan skuad bawah 23 tahun Malaysia selepas menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-46, 25 saat sebaik babak kedua bermula bagi memastikan kita memulakan kempen dengan tiga mata.

Walaupun tampil dengan aksi kemas dan mencipta deretan peluang, skuad bimbingan Ong Kim Swee yang tampak kurang selesa bermain di atas padang becak gagal meledak lebih banyak gol akibat ketumpulan penyudah.

Kecekapan penjaga gol lawan, Muhd. Syazwan Buhari turut menggagalkan usaha Malaysia untuk berpesta gol, biarpun mengharungi baki 35 minit terakhir menentang 10 pemain lawan.

Dua pemain paling mencuri tumpuan adalah bintang FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Junior Eldstal yang menjadi penggerak utama serangan Harimau Muda, selain kemantapan pertahanan negara yang dikawal Mohd. Fadhli Shas dan Nik Mohd. Shahrul Azim.

Harimau nyata lebih menguasai bahagian tengah tetapi disiplin yang ditunjukkan anak-anak buah V. Sundramoorthy memastikan babak pertama berakhir 0-0.

Malah, Singapura hampir meraih gol pembukaan pada minit ke-45 melalui Muhd. Khairul Nizam yang dapat diselamatkan Izham Tarmizi.

Gol yang dicari akhirnya menjelma sebaik babak kedua bermula dengan hantaran menarik Junior disudahkan Thamil yang menolak bola untuk jaringan sulung Pestabola Merdeka 2013.

Malaysia mendapat kelebihan pada minit ke-55 selepas pertahanan Singapura, Muhd. Afiq Yunos dilayangkan kad merah kerana menepis bola tandukan Mohd. Fadhli Shas dengan menggunakan tangan dan pengadil menghadiahkan penalti.

Malangnya, Wan Zack Haikal gagal menyudahkan sepakan yang dapat ditampan oleh Syazwan Buhari, dan Junior yang berada berhampiran sekadar menyepak lemah ke gawang.

Biarpun Malaysia mencipta kemenangan, kehadiran penonton amat mendukacitakan dengan tidak sampai 1,000 penyokong hadir semasa perlawanan dilangsungkan pada pukul 5.30 petang.

Mujur, kehadiran sekumpulan penyokong Ultras Malaya memberi semangat buat pemain negara.

Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluangkan masa kira-kira 15 minit menemui pemain negara turut menaikkan semangat mereka.

Dalam satu lagi perlawanan, Thailand dan Myanmar sekadar berkongsi mata apabila seri 1-1.

Taring masih tumpul - Kim Swee

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

KUANTAN - Puas hati kerana misi tiga mata yang dicari dalam perlawanan pertama berjaya dipenuhi cuma nada pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee sedikit bimbang melihat sentuhan penyudah pemainnya yang tumpul biarpun dihidangkan deretan peluang.

Padang becak dan bertakung akibat hujan lebat turut menjadi faktor penghalang buat Malaysia untuk mencipta lebih banyak gol.

Namun, Kim Swee berharap pertemuan menentang Myanmar esok akan menonjolkan rentak permainan sebenar mereka.

''Jumlah gol ada kalanya bergantung kepada lawan yang mungkin dapat bertahan dengan baik walaupun kita menguasai permainan, namun ada kalanya tiada gol dapat dihasilkan.

''Walaupun kita menguasai sebahagian besar serangan, saya berpendapat kualiti penyudah kita perlu dipertajamkan lagi biarpun banyak peluang dapat dicipta sepanjang permainan.

''Apa pun, yang paling penting dapat memungut tiga mata dalam perlawanan pertama kerana ia penting untuk membina keyakinan pemain bagi perlawanan seterusnya," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Malaysia dan Singapura, semalam.

Dalam pada sama, Kim Swee menghamburkan pujian kepada pemain Sarawak, Junior Eldstal yang dianggap antara pemain paling cemerlang buat Harimau Muda sepanjang permainan.

''Pemain yang saya rasa paling cemerlang dalam perlawanan hari ini adalah Junior yang bekerja keras sepanjang permainan.

''Persefahaman yang ditunjukkan di bahagian tengah dengan Irfan Fazail, S.Sivanesan dan Nazmi (Faiz) yang masuk pada separuh masa kedua cukup baik, malah mereka sering bertukar posisi untuk mengelirukan lawan.

''Perlu diingat, hanya empat daripada 11 pemain kesebelasan utama terdiri daripada skuad Harimau Muda."

Pengendali Singapura, V. Sundramoorthy mengakui pertemuan dengan Malaysia cukup sukar sambil turut memuji persembahan cemerlang penjaga golnya, Muhammad Syazwan Buhari.

''Bermain di atas padang begini memang sukar buat pemain dengan pergerakan bola yang tidak lancar.

''Namun, penjaga gol (Syazwan) banyak menyelamatkan kami daripada dibolosi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved