Sabtu, 7 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bekas tahanan EO antara 3 ditahan

Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

AZMAN Ayub (dua dari kiri) menunjukkan beberapa barangan yang dirampas daripada satu kumpulan pecah rumah didalangi bekas tahanan EO dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor, semalam.

MUAR 6 Sept. - Seorang bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) dan dua rakannya termasuk seorang remaja perempuan masih bersekolah berusia 16 tahun ditahan tiga jam selepas cuba memecah masuk sebuah rumah di Sungai Abong pada 30 Ogos lalu.

Bekas tahanan EO berusia 24 tahun itu ditahan bersama rakan sebayanya dan remaja perempuan itu di sebuah bilik hotel di pekan Sungai Abong, di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayub berkata, penahanan itu dibuat berhubung laporan diterima daripada seorang lelaki berusia 33 tahun yang mendakwa rumahnya cuba dipecah masuk kira-kira pukul 4 pagi.

Beliau berkata, sejurus menerima maklumat awal, pasukan peronda melakukan tinjauan di sekitar kawasan itu dan menemukan sebuah kereta yang ditinggalkan dengan enjinnya masih dihidupkan di depan sebuah hotel di Sungai Abong.

Pemeriksaan lanjut mendapati tiga suspek baharu sahaja mendaftar masuk ke hotel itu dan berkelakuan mencurigakan. Kita menyerbu bilik suspek dan menemukan sejumlah barangan iaitu jam tangan berjenama, tiga buah telefon bimbit jenama Samsung dan Nokia, beg bimbit dan beg sandang.

Kita turut menjumpai dompet, mata wang asing serta serangkai kunci daripada suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.

Azman berkata, siasatan lanjut ke atas ketiga-tiga suspek kemudian menyerbu rumah yang didiami bekas tahanan EO berkenaan dan merampas pelbagai jenis barangan dipercayai hasil kegiatan curi dan pecah rumah.

Antaranya 15 utas jam tangan pelbagai jenama termasuk Rolex, 24 buah telefon bimbit, lima buah Smart Tag, dua alat Sistem Kedudukan Global (GPS), dua utas rantai emas serta tiga bentuk cincin emas yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

Turut ditemui, sepucuk pistol tiruan dipercayai digunakan suspek ketika aktiviti jenayah mereka," katanya sambil memberitahu, bekas tahanan EO itu turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau percaya dengan penahanan tiga suspek berkenaan, polis dapat menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar Muar sejak awal tahun ini.

Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 9 September ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan Seksyen 379 kanun sama kerana mencuri," katanya.

Kumpulan curi motosikal tumpas

Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT

HARUN Idris menunjukkan komponen motosikal yang ditemui dalam sidang akhbar di IPD, Ledang, Johor, kelmarin.

LEDANG 6 Sept. - Polis percaya telah dapat menumpaskan satu kumpulan curi motosikal yang aktif di sekitar daerah ini dan Melaka sejak setahun lalu dengan penahanan lapan anggota kumpulan itu termasuk tiga daripadanya masih bersekolah dalam beberapa siri serbuan bermula pada 26 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kumpulan berkenaan yang terbabit dalam pelbagai kes curi serta menjual komponen motosikal sebelum ini bermaharajalela melakukan kegiatan itu di Ledang, Muar, Jasin dan Melaka Tengah, Melaka.

"Aktiviti kumpulan ini terbongkar selepas salah seorang daripada suspek yang berusia 19 tahun ditahan sepasukan anggota trafik ketika memandu sebuah van dan melanggar lampu isyarat di Jalan Solok di sini, pada pukul 12.30 tengah malam, 26 Ogos lalu.

"Ketika itu suspek datang dari Jalan Sialang menuju ke Taman Tangkak Jaya dipercayai untuk menghantar komponen itu kepada pelanggannya. Selepas diperiksa, kita menemukan pelbagai komponen motosikal yang sudah dileraikan dan disembunyi di bahagian belakang van berkenaan.

"Hasil pemeriksaan suspek merupakan penuntut sebuah institut kemahiran di Johor Bahru dan dia ditahan untuk siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini semalam.

Menurut Harun, susulan itu membawa kepada penahanan tujuh lagi rakannya berusia antara 16 hingga 24 tahun dalam beberapa serbuan selama tiga hari di sekitar bandar Tangkak sejak 27 Ogos lalu.

Beliau berkata, hasil tangkapan tersebut pihaknya berjaya menemukan tiga rangka motosikal, tiga blok enjin serta pelbagai komponen yang sudah dileraikan.

"Polis turut mendapatkan khidmat unit selam untuk mengesan rangka motosikal yang dibuang di Sungai Kesang dan Tasik Taman Puteri di sini serta menjumpai 10 lagi rangka motosikal iaitu tujuh di dasar Sungai Kesang dan tiga lagi di Tasik Taman Pelangi.

"Berdasarkan keadaannya yang sudah berkarat, kita percaya rangka itu sudah dibuang di sungai tersebut sejak awal tahun ini," katanya sambil memberitahu, kesemua suspek direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A (1).

Tambah beliau, penahanan lapan suspek itu dipercayai dapat menyelesaikan 11 kes kecurian di empat daerah terlibat dan semua kes itu membabitkan kerugian hampir RM50,000.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved