Sabtu, 7 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Cegah tragedi setiap masa

Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT

Oleh FARABI SAID
utusanN9@utusan.com.my

NORHAYATI Omar (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Faridah Ayob dan Norhafizs Zainal Abidin (dua dari kiri) di Rumah Rakyat Panchor, Seremban, semalam.

SEREMBAN 6 Sept. - Semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu bekerjasama mengenal pasti lokasi yang boleh mendatangkan mudarat mahupun bahaya kepada penduduk kawasan sekitar terutama kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Norhayati Omar memberitahu, cara berkenaan dilihat sebagai langkah pencegahan bagi mengelak sebarang tragedi yang boleh meragut nyawa.

"Ini termasuk meletakkan papan tanda amaran dan menutup kawasan berkenaan bagi mengelak kanak-kanak di kawasan sekitar tidak menghampiri kawasan terbabit.

"Pastikan papan tanda itu dapat dikenal pasti dengan segera kerana jika kita bertindak selepas tragedi berlaku sudah terlambat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga Norhafizs Zainal Abidin, 36, yang kehilangan anak lelakinya, Mohd. Haris, 10, yang lemas di sebatang sungai di Kampung Melayu Panchor dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Mohd. Hariz dan Mohd. Amirul Safwan Osman 11, difahamkan terjatuh ketika bersama rakannya memancing di tempat kejadian.

Norhayati yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri turut bersimpati terhadap kejadian berkenaan dan meminta kepada keluarga mangsa bersabar dengan ujian tersebut.

Sementara itu, Norhafizs dan isterinya, Faridah Ayob, 32, berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan negeri dan UMNO kerana mengambil berat dan bersimpati terhadap tragedi berkenaan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap nasib yang menimpa kami. Walaupun kami masih lagi bersedih tetapi reda dengan pemergian anak lelaki saya," katanya.

Kolej UNITI mahu kukuh industri halal

Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT

AMIR Hamzah Md. Isa (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Ahmad Tajuddin Arshad sambil disaksikan oleh Jamal Mohd Amin (dua dari kiri) dan Mohammad Nordin Zainuddin dalam Majlis Menandatangani MoU Kolej UNITI dan Sidratul Corporation di Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin.

SEREMBAN 6 Sept. - Kolej UNITI iaitu institusi pengajian tinggi swasta pertama di Malaysia yang menawarkan program Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH) berhasrat mengukuhkan penglibatannya dalam industri halal global yang bernilai RM7.21 trilion.

Bagi mencapai hasrat itu, kolej berkenaan menjalin kerjasama strategik dengan Sidratul Corporation, sebuah syarikat yang mengeluarkan produk halal berstatus Amalan Pengilangan Islam (IMP).

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI, Amir Hamzah Md. Isa berkata, melalui usaha tersebut kolej berkenaan akan menghantar para pelajar DPIH mendapat pendedahan berkenaan pengendalian produk halal di syarikat berkenaan.

"Di kolej, para pelajar akan didedahkan secara akademik manakala di Sidratul Corporation mereka boleh menjalani latihan praktikal.

"Melalui kaedah ini pelajar DPIH bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik malah mahir selok belok pengendalian produk halal," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej UNITI dan Sidratul Corporation di Nilai dekat sini semalam.

MoU itu ditandatangani oleh Amir Hamzah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sidratul Corporation, Ahmad Tajuddin Arshad sambil disaksikan oleh Presiden Kolej UNITI, Jamal Mohd. Amin dan Ketua Unit Komplian dan Syariah, Sekretariat Komuniti IMP, Mohammad Nordin Zainuddin.

Menurut Amir Hamzah, program DPIH mula ditawarkan oleh Kolej UNITI mulai Julai tahun ini selepas mendapat kelulusan daripada Lembaga Akreditasi Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini.

Katanya, seramai 110 pelajar kumpulan pertama sedang mengikuti pengajian tersebut dan sekarang sudah menerima sebanyak 10 permohonan untuk pengambilan pada Disember ini.

"Kami percaya bidang pengajian ini menawarkan potensi yang besar kepada para pelajar memandangkan industri halal di negara ini masih kekurangan sumber manusia terutamanya dalam bidang persijilan, latihan dan keusahawanan," ujarnya.

Sementara itu Ahmad Tajuddin berkata, Sidratul Corporation adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan produk halal berstatus IMP.

Katanya, syarikat itu telah membuka Pasar Raya Halal (Halal Souq) yang memasarkan produknya di samping melatih syarikat yang berminat mendapatkan kemahiran dan maklumat persijilan IMP.

"Kerjasama yang bakal dijalankan bakal memberi impak besar di dalam industri halal dan seterusnya memajukan Malaysia sebagai hab halal di dunia," katanya.

SWM perkenal sistem baharu kutip sampah

Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT

zAINUDDIN Abdul Samad (kanan) dan Hisham Husin menunjukkan kain rentang yang memperkenalkan sistem baharu kutipan sampah 2+1 di Melaka, semalam.

MELAKA 6 Sept - SWM Enviroment Sdn. Bhd. (SWM) negeri memperkenalkan pelaksanaan sistem baharu bagi kutipan sisa pepejal dengan menggunakan kaedah 2+1 secara berperingkat bermula 1 September lalu.

Pengurusnya, Hisham Husin berkata, sistem kutipan baharu itu menggantikan sistem lama yang mana sisa domestik dikutip tiga kali sehari dan mula diimplementasi di kawasan tadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Menurutnya, kaedah baharu 2+1 itu digunakan bagi kutipan sisa isi rumah dan organik yang dilakukan mengikut kekerapan dua kali seminggu manakala kutipan sisa yang boleh dikitar semula, sisa pukal dan sisa kebun akan dilaksanakan sekali seminggu.

"Penduduk dinasihat supaya melaksanakan pengasingan sampah sisa makanan, kitar semula dan sisa kebun bagi memastikan kutipan sampah dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.

"Sisa makanan hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik sampah, diikat kemas dan dibuang ke dalam tong sampah beroda SWM dan diletakkan di hadapan rumah ketika hari kutipan sisa berjadual, begitu juga dengan sisa yang boleh dikitar semula, kebun dan pukal.

"Tong sampah yang diberikan secara percuma itu mestilah digunakan untuk mengelakkan kegagalan kutipan sisa domestik oleh pihak operasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat Sistem Baharu Kutipan Sisa Pepejal di pejabat SWM negeri, Cheng di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri, Ir. Zainuddin Abdul Samad berkata, pengasingan sampah ini perlu dilaksanakan sejajar dengan saranan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Menurutnya, sistem baharu yang dilaksanakan itu selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam yang sistematik, efisien serta seragam di seluruh negara.

"Dalam usaha kami untuk mewujudkan sistem penyampaian yang berkesan bagi pungutan sampah, kini telah wujud elemen baharu yang penting untuk menguruskan bahan buangan dikitar semula.

"Pelaksanaan sistem 2+1 ini telah mengubah landskap kutipan sisa pepejal di negara kita yang mana sistem kutipan dirangka untuk meningkatkan kadar kitar semula," katanya.

Zainuddin berkata, sistem baharu kutipan itu juga mengurangkan tekanan pusat pelupusan sampah, di samping mewujudkan sikap bertanggungjawab dalam kalangan rakyat di negara ini.

Tambahnya, sistem yang dilaksanakan itu melibatkan kediaman sesebuah dan rumah bertingkat di negeri ini iaitu 274 taman dengan 49,842 rumah di kawasan MBMB dan 151 taman di MPHTJ (35,562 rumah).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved