Sabtu, 7 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


TPM lancar PPPM 2013-2025

Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT

Muhyiddin Yassin (tengah) menunjukkan buku laporan akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia kepada Idris Jusoh semasa pelancaran pelan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) P. Kamalanathan, Dr. Madinah Mohamad, Mary Yap Kain Ching dan Abdul Ghafar Mahmud.

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu dokumen rasmi yang amat signifikan untuk pembangunan negara serta dalam masa sama mampu melahirkan pelajar bersahsiah terpuji serta berkeperibadian tinggi.

Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan turut meletakkan harapan tinggi supaya pendidikan yang menjadi teras kepada pelan berkenaan berperanan sebagai tunjang kepada proses transformasi negara.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan menambah, pelan tersebut lahir selepas proses pencernaan daripada pelbagai pihak sejak dua tahun lalu dan merupakan rangka yang terhasil dengan begitu teliti, tuntas, menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat.

Hari ini, kementerian dengan rasa rendah hati memulangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kepada rakyat dengan pelbagai rangka tindakan yang telah digalurkan sebagaimana yang diinginkan rakyat untuk kepentingan rakyat seluruhnya," katanya.

Beliau berucap melancarkan pelan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, menerusi PPPM, kerajaan tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan malah akan memastikan setiap murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan.

Sehubungan itu, tambahnya, kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) di bawah pelan tersebut dijamin Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) sekali gus kedudukan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah berkenaan juga tidak dinafikan sama sekali.

Malah, menurutnya, pelan itu tetap mempertahan dasar pendidikan sedia ada berasaskan kepada Akta Pendidikan.

Kementerian juga akan terus memartabat bahasa Melayu demi menjunjung semangat perpaduan dan jati diri kebangsaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat.

Mata pelajaran Bahasa Inggeris turut diberi perhatian utama dan seperti yang telah diumumkan awal tahun ini, subjek itu akan dijadikan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajib lulus menjelang 2016," katanya.

Dalam konteks perguruan pula, Muhyiddin turut mengumumkan pelantikan pengetua atau guru besar tidak lagi berdasarkan kepada kekananan sebaliknya berdasarkan kebolehan dan merit.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, ujar beliau, sebanyak 4,000 pengetua atau guru besar akan menamatkan perkhidmatan sekali gus membuka peluang kepada calon-calon berkelayakan dan berprestasi tinggi mengisi kekosongan.

PPPM usaha lonjak murid capai aspirasi tinggi

Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara perlu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan semasa untuk melonjakkan pencapaian murid dalam usaha mencapai aspirasi tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit.

Menurut Perdana Menteri, proses pelaksanaan transformasi pendidikan memerlukan pendekatan dan strategi baharu supaya setiap murid mampu memiliki dan menguasai kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21.

Sehubungan itu, katanya, transformasi pendidikan bukan sekadar menambah bilangan kakitangan dan kemudahan malah perlu menjurus kepada usaha memahami dan menambah baik proses pengajaran serta pembelajaran.

Menurut beliau, dalam mencapai hasrat itu kerajaan mengambil langkah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) sebagai kerangka pembangunan menyeluruh dalam menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga 2025.

Jelasnya, bersandarkan inisiatif yang diperkenal di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara, PPPM menggariskan perubahan besar yang dihasratkan kerajaan.

Antaranya, perubahan yang merangkumi aspek pendekatan pembelajaran murid, kaedah pemilihan guru, latihan guru, penyediaan ganjaran kepada guru dan pemimpin sekolah dan pendekatan pengoperasian Kementerian Pendidikan.

Pelan ini dengan jelas menggambarkan faktor penambahbaikan penting bagi setiap langkah dalam perjalanan transformasi yang bakal dilalui," katanya dalam prakata laporan PPPM 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepasan Menengah).

Menurut Najib, matlamat itu melambangkan cita-cita tinggi kerajaan namun beliau berkeyakinan kesemuanya mampu dicapai termasuk memastikan enrolmen sejagat pada pelbagai peringkat pendidikan dari prasekolah hingga menengah atas dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Turut diyakini dicapai, kata beliau, pengurangan separuh jurang pencapaian antara kelompok kaya dengan miskin, bandar dengan luar bandar dan antara negeri dalam tempoh sama.

Tambahnya, kerajaan juga yakin PPPM mampu meningkatkan pencapaian negara daripada kelompok sepertiga terbawah kepada sepertiga ke atas dalam kalangan negara yang menyertai pentaksiran peringkat antarabangsa seperti Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Ujarnya, PPPM juga diyakini mampu menjadi sistem pendidikan yang mengasuh kanak-kanak menghargai keunikan identiti sebagai warganegara Malaysia.

Transformasi pendidikan dilaksana dalam tiga gelombang

Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Transformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan dalam tiga gelombang.

Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.

Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberi kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.

Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan," menurut pelan yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu dan penstrukturan semula kementerian.

Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.

Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved