Ahad, 8 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Trek pejalan kaki akan ditambah

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

AB. Rahman Ab. Karim yang mewakili Ketua Menteri Melaka menunjukkan isyarat 1Malaysia turut serta menjayakan Kempen Nak Sihat dengan berjalan kaki sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka di Melaka, semalam.

MELAKA 7 Sept. - Kerajaan negeri merancang membuka beberapa trek khusus untuk berjalan kaki 10,000 langkah dalam usaha menggalakkan masyarakat memilih amalan cara hidup sihat dan mengelak daripada mengalami obesiti.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, setakat ini kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mewujudkan dua trek khusus di Sungai Melaka dan Taman Botanikal di Ayer Keroh.

Sehubungan itu katanya, usaha untuk mewujudkan lebih banyak trek di beberapa daerah negeri ini kini dalam perancangan bagi membantu rakyat mendapatkan berat badan ideal dan memudahkan aktiviti fizikal menjadi rutin harian.

Menurutnya, mengamalkan aktiviti berjalan 10,000 langkah setiap hari mampu membantu seseorang individu itu mengurangkan risiko mendapat penyakit berbahaya seperti tekanan darah tinggi dan diabetes serta obesiti.

''Kita sedia maklum, carta telah menyenaraikan rakyat negara kita adalah antara paling gemuk' di Asia Tenggara dan Melaka adalah antara negeri tertinggi menghadapi masalah kegemukan," katanya dalam ucapan perasmian pelancaran Kempen Nak Sihat sempena Gegar 10000 Langkah Merdeka di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan, Datuk Ab. Rahman Ab. Karim yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Teoh Siang Chin.

Seramai 3,000 peserta menyertai aktiviti berjalan kaki sejauh dua kilometer yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), agensi kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Operasi dua tapak pembinaan dihentikan

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

MELAKA 7 Sept. - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengarahkan dua tapak pembinaan di negeri ini memberhentikan operasi setelah didapati melanggar peraturan dalam pemeriksaan yang dijalankan pihaknya.

Pengarah CIDB Melaka/Negeri Sembilan, Norlida Nabil berkata, pemeriksaan sempena Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Antara Pelbagai Agensi (Ops Bina) itu mendapati tapak-tapak binaan berkenaan menjalankan kerja pembinaan tanpa Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) yang sah.

"Notis pemberhentian kerja (stop of work) telah dikeluarkan kepada kedua-dua projek pembinaan berkenaan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas operasi tersebut di Pejabat CIDB Melaka/Negeri Sembilan, Ayer Keroh di sini kelmarin.

Yang hadir sama Pengurus CIDB Melaka/Negeri Sembilan, Nur Faeeza Hamdan Fadel dan Penolong Pengurus Unit Penguatkuasaan CIDB Melaka/Negeri Sembilan, Sulaiman Md. Isa.

Operasi yang bermula pada pukul 9 pagi itu melibatkan 165 pegawai penguat kuasa dari 16 agensi termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kesihatan.

Operasi bersepadu itu dijalankan bagi memantau tahap pematuhan undang-undang dan peraturan berkaitan tapak pembinaan melalui pemeriksaan pelbagai agensi.

Menurut Norlida, tiga tapak pembinaan di sekitar daerah Melaka Tengah diperiksa dalam operasi itu termasuk projek pembinaan perniagaan hotel di Bukit Katil, projek pembinaan kompleks tiga tingkat dan projek pembinaan pejabat berkembar di Taman Perindustrian Krubong di sini.

"Dalam operasi sama, 157 pekerja tapak pembinaan dikenal pasti tidak memiliki Kad Pendaftaran Personel Binaan (Kad Hijau) yang sah manakala 182 pekerja lagi didapati tidak diakreditasi sebagai pekerja mahir binaan," ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen negeri memeriksa 215 pekerja di ketiga-tiga tapak pembinaan berkenaan.

"Seorang lelaki warga India berumur 24 tahun dan seorang wanita warga Indonesia berumur 55 tahun ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/1963 dalam pemeriksaan itu kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri," jelasnya.

Majlis perkahwinan anak MB meriah

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

Mohamad Hasan dan Salbiah Tengku Nujumuddin serta ahli keluarganya bergambar bersama pasangan pengantin Amira Mohamad dan Muhammad Yacob Timothy Rogers di Kampung Tanjong, Rantau, dekat Seremban, semalam.

SEREMBAN 7 Sept. - Majlis perkahwinan anak perempuan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Amira Mohamad, 28 bersama pasangannya, Muhammad Yacob Timothy Rogers, 30 disambut meriah di Kampung Tanjong, Rantau, dekat sini hari ini.

Ribuan rakyat yang datang sejak pukul 9 pagi tadi, turut berkesempatan menyaksikan kedua-dua mempelai ini diarak masuk di pentas persandingan sekitar pukul 1 petang diiring penari dan pemain alatan muzik tradisional.

Turut menyambut kehadiran pengantin baharu itu ialah Mohamad dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, ahli keluarga serta beberapa pemimpin negeri.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar dan isteri, Nori Abdullah; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan; penyanyi, Datuk Hattan dan Ito, serta pemimpin parti politik, ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Mohamad yang ditemui berkata, beliau dan isteri serta ahli keluarga mengucapkan terima kasih diatas kehadiran ramai tetamu yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum, yang sama-sama meraikan perkahwinan anak perempuan beliau.

''Saya mengucapkan terima kasih dan amat terharu dengan kehadiran rakyat yang dapat bersama meraikan perkahwinan anak perempuan saya, Amira dan suaminya, Muhammad Yacob yang dilangsungkan di Rantau ini.

''Saya, isteri dan keluarga merafakkan syukur ke hadrat Allah swt kerana dipermudahkan segala urusan dalam majlis yang berlangsung ini dan memohon doa semoga perkahwinan anak saya ini dikurniakan kerahmatan. Begitu juga seluruh rakyat, didoakan agar dikurniakan kebaikan hendaknya," katanya di Rantau, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, kedua-dua mempelai kemudiannya bersalaman dengan tetamu yang hadir, sementara Hattan dan Ito menyampaikan lagu berjudul Sekuntum Mawar Merah, Biso Bonar dan Apo Nak Dikato bagi memeriahkan suasana perkahwinan tersebut.

Pada Khamis lalu, Amira dan Muhammad Yacob yang merupakan warga Australia selamat diijabkabulkan di kediaman rasmi Menteri Besar dengan sekali lafaz pada pukul 4.45 petang, sebelum sebelah malam diadakan majlis resepsi di Klana Resort, Seremban.

Majlis resepsi itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selain beberapa menteri kabinet.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved