Ahad, 8 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kesan pencemaran air

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
pengarang@utusan.com.my

Syed Danial

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) menggunakan sistem Pemantauan Air Mentah di Muka Sauk Loji Rawatan Air (LRA) kendaliannya bagi mengelak berlaku pencemaran terhadap bekalan air terawat.

Pengarah Urusan Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd., Datuk Syed Danial Syed Ariffin berkata, sistem tersebut berfungsi untuk mengawal kualiti air dan mengesan pencemaran yang terdapat dalam sumber tersebut.

"Sistem itu dapat mengesan kehadiran sebarang pencemaran lebih awal dalam jarak empat kilometer atau empat hingga lima jam sebelum sumber air mentah masuk ke LRA.

"Pengesan yang dipasang di setiap muara sungai itu juga mampu memberi amaran kepada petugas bagi tindakan selanjutnya termasuk memaklumkan kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk menutup loji," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Lencana Kenaikan Pangkat Polis Bantuan Puncak Niaga di padang kawad Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, di sini hari ini.

Jumaat lalu, beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terjejas bekalan air ekoran LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan LRA Rantau Panjang terpaksa dihentikan tugas apabila Sungai Selangor yang menjadi sumber air loji-loji berkenaan dicemari oleh tumpahan minyak diesel.

Tambah Syed Danial, sistem tersebut beroperasi selama 24 jam untuk mengelak daripada berlakunya pencemaran terhadap air terawat yang digunakan pengguna.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Danial memaklumkan, gangguan bekalan air sejak Sabtu lalu sudah pulih 100 peratus dan kawasan terjejas mula menerima sumber air secara berperingkat.

Sementara itu, sembilan kakitangan menerima kenaikan pangkat masing-masing berdasarkan prestasi kerja cemerlang dan komited kepada syarikat.

"Mereka berperanan untuk melindungi aset-aset bekalan air seperti rumah pam dan kolam simpanan air daripada kegiatan vandalisme atau sabotaj yang boleh mengganggu penyaluran bekalan air kepada pengguna.

"Melalui kecekapan anggota, beberapa tangkapan berjaya dilakukan terhadap penceroboh di kawasan aset Syabas dan dengan adanya mereka, kes membabitkan kehilangan injap dan peralatan penting lain berjaya dikurangkan," ujarnya.

Menurut Syed Danial, sebanyak 12 kes berlaku sehingga kini sejak awal tahun lalu, manakala 64 kes dicatatkan pada 2012 serta 164 kes pada tahun sebelumnya.

Bersatu pertahan Perlembagaan Persekutuan

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

SHAH ALAM 7 Sept. - Orang Melayu di negara ini digesa supaya bersatu tanpa mengira fahaman politik bagi mempertahankan hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Gesaan itu dibuat oleh Pengerusi Penganjur Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (Hikmah), Radzi Sapiee (gambar) susulan daripada perkembangan semasa yang memperlihatkan kedudukan orang Melayu serta umat Islam dicabar dan diasak dari pelbagai sudut.

"Umat Islam di seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan seolah-olah dirancang oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan agama yang syumul ini. Ekoran daripada perkembangan tersebut, ramai orang Melayu di negara ini mula bimbang akan nasib agama, bangsa dan negara akan datang.

"Justeru, orang Melayu perlu bersatu tanpa mengira fahaman politik sebagaimana orang Cina di negara ini bersatu hati memperjuangkan kepentingan mereka," katanya kepada pemberita sempena program Hikmah ke-6 di Galeri Shah Alam di sini hari ini.

Radzi berkata, program Hikmah juga merupakan satu medan yang penting bagi membincangkan hala tuju masa depan orang Melayu.

MCA sokong wajib lulus BI

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

Chua Soi Lek

KUALA LUMPUR 7 Sept. - MCA menyokong penuh keputusan kerajaan mewajibkan subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016 seperti terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, sejak pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), parti itu sentiasa menekankan kepentingan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM.

Katanya, MCA juga berpendapat mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris sewajarnya diwajibkan di sekolah untuk membantu para pelajar menguasai bahasa tersebut.

"Kami berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menerima cadangan MCA dan memasukkannya ke dalam PPPM.

"Walaupun Timbalan Perdana Menteri telah mencadangkan supaya waktu persekolahan ditingkatkan khusus untuk pembelajaran subjek Bahasa Inggeris, MCA menggesa Kementerian Pendidikan mencipta satu silibus Bahasa Inggeris yang komprehensif untuk para pelajar supaya mereka tidak berasa terbeban dengan proses pembelajaran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Soi Lek memberitahu, adalah sangat penting untuk generasi akan datang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa terutama menguasai bahasa Inggeris yang merupakan bahasa universal supaya mereka lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara membangun terdiri daripada berbilang kaum yang menuju ke arah negara maju menjelang 2020 tidak boleh ketinggalan dalam aspek penguasaan bahasa tersebut.

"Dalam hal ini, kami gembira apabila bahasa Mandarin dan Tamil juga diterima sebagai bahasa ketiga di mana para pelajar digalakkan mempelajarinya seperti terkandung dalam PPPM selepas Bahasa Melayu dan Inggeris," jelas beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved