Ahad, 8 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Peluaskan program di bawah ECER

Posted: 08 Sep 2013 12:00 PM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

ADNAN Yaakob (tiga dari kiri) diberi taklimat oleh Jebasingam Issace John (dua dari kiri) mengenai pembangunan bandar Kuantan selepas merasmikan Hari Terbuka ECER Bersama Rakyat anjuran ECERDC di Kuantan, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN 8 Sept. - Pelaksanaan program dan projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) perlu diperluaskan di luar Zon Khas ECER (ECER SEZ) yang membabitkan tiga kawasan utama iaitu Kuantan, Pekan dan Gambang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara itu penting demi memastikan seluruh rakyat di negeri ini mendapat manfaat daripada program dan projek yang dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

"Pertumbuhan ekonomi oleh ECER SEZ membabitkan beberapa kawasan seperti Taman Petrokimia Bersepadu Gebeng dan Taman Industri Halal Gambang bukan sahaja menarik pelabur asing tetapi turut menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

"Oleh itu, ECERDC mungkin boleh memperluaskan program tersebut untuk memberi peluang kepada lebih ramai rakyat menikmati faedah," katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka ECER Bersama Rakyat anjuran ECERDC, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.

Adnan berkata, tumpuan terhadap pembangunan sosio-ekonomi akan dapat membantu rakyat daripada segi peluang pekerjaan seterusnya meningkatkan pendapatan.

Menurutnya, peranan dimainkan ECERDC sepanjang lima tahun kewujudannya sudah banyak memberi kesan positif terhadap pembangunan di negeri ini.

"Antaranya dua program di bawah ECERDC yang berjaya memberi manfaat kepada rakyat iaitu Program Empower yang telah diperluaskan ke beberapa daerah lain di negeri ini seperti di Kuala Lipis, Temerloh, Raub dan Kuala Pahang.

"Selain itu, projek pembasmian kemiskinan yang turut dilaksanakan adalah projek Agropolitan di Pekan dilaksanakan di Runchang, Batu 8 dan Tanjung Batu melibatkan 415 keluarga termasuk komuniti Orang Asli," katanya.

Katanya, Pahang merupakan negeri yang menerima pelaburan tertinggi di ECER dengan komitmen pelaburan bernilai RM23.55 bilion sejak wilayah itu ditubuhkan lima tahun lalu.

Empat ditahan dalam Ops Hiburan

Posted: 08 Sep 2013 12:00 PM PDT

ANGGOTA polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang memeriksa pengunjung dalam Ops Hiburan di pusat hiburan dan kafe siber sekitar bandar Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 8 Sept. - Empat individu termasuk dua wanita warga asing ditahan dalam Ops Hiburan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di pusat hiburan dan kafe siber sekitar bandar ini semalam.

Dalam operasi tersebut, dua wanita warga asing ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, polis turut menahan dua penjaga premis tersebut kerana menggaji pekerja asing tanpa permit.

Menurutnya, operasi yang bermula pukul 11 malam dan berakhir empat jam kemudian melibatkan sebanyak 117 pegawai serta anggota dengan melakukan pemeriksaan di 12 premis hiburan serta rumah urut di bandar ini.

"Selain pusat hiburan dan rumah urut, kita turut memeriksa enam kafe siber yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian haram.

"Salah satu premis itu beroperasi tanpa lesen dan polis menahan dua penjaga premis berusia lingkungan 20-an untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi tersebut.

Menurutnya, polis merampas 52 unit komputer bernilai RM52,000 yang digunakan untuk aktiviti perjudian selain empat modem bagi kegunaan jalur lebar.

Wanita asing yang ditahan itu disiasat di bawah Peraturan 17(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan sosial dan Seksyen 6(1)© Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa pas dan permit yang sah.

Katanya, premis yang menjalankan mesin perjudian haram pula disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

"Pemilik lesen perniagaan dan penjaga atau pekerjanya boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 4 B (a) ARJT 1953 atau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," ujarnya.

200 murid Orang Asli sertai kem akademik

Posted: 08 Sep 2013 12:00 PM PDT

SHAHIRUDDIN Ab. Moin (belakang, empat dari kanan) bergambar bersama murid Orang Asli dalam program 'Kami Boleh Berjaya' di Kompleks Rakan Muda Kampung Dong, Raub, baru-baru ini.

RAUB 8 Sept. - Sebanyak 200 murid Orang Asli tahun enam menyertai kem bimbingan akademik anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Kompleks Rakan Muda Kampung Dong di sini, selama dua hari baru-baru ini.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial ECERDC, Zulkifli Yaacob berkata, program yang dikenali 'Kami Boleh Berjaya' itu merupakan persediaan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Menurutnya, mereka yang terpilih menyertai kem tersebut merupakan murid dari lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, SK Kuala Koyan, SK Sungai Dua, SK Satak dan SK Lanai.

"Penganjuran kem ini merupakan komitmen dan inisiatif ECER dalam menyediakan kelas tambahan dan motivasi secara percuma kepada mereka.

"Semua murid yang menyertai program ini terdiri daripada kalangan anak-anak Orang Asli dengan dibimbing oleh pelatih berpengalaman.

"Kami optimis program seperti ini dapat menggerakkan minda dan minat mereka untuk lebih fokus terhadap usaha mencapai kelulusan lebih baik berbanding sebelum ini," katanya ketika berucap dalam program tersebut di sini.

Perasmian kem itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab.Moin dan turut dihadiri ADUN Batu Talam, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram.

Zulkifli berkata, objektif program tersebut bertujuan memberi kesedaran daripada segi minda dan fizikal kepada murid berkenaan dalam menghadapi peperiksaan penting.

Menurutnya, program seumpama itu yang pernah diadakan tahun lalu telah membantu menyumbang kepada pencapaian kelulusan 100 peratus dalam kalangan peserta Empower Pahang.

"Pada tahun lalu, sebanyak 239 daripada keseluruhan 930 calon UPSR yang menyertai program seperti itu berjaya memperolehi 5A," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved