Ahad, 7 Julai 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


‘Saya tidak akan berundur’

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

ISU berkaitan keputusan pilihan raya lalu terutama yang melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelihatannya masih belum surut dan dijangka terus diperhangatkan oleh pihak pembangkang terutama dalam perbahasan di Parlimen.

Setakat ini SPR sering sahaja menjadi sasaran dan kritikan seolah-olah keputusan pilihan raya lepas banyak didalangi oleh SPR untuk memastikan Barisan Nasional (BN) kekal memerintah.

Namun ternyata taktik jahat pembangkang itu hanyalah umpama mencari kambing hitam supaya rakyat melihat SPR sebagai watak jahat untuk mengaburi kelompongan dan kekalahan pembangkang.

Untuk mendapat penjelasan lanjut wartawan Utusan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID mewawancara Pengerusi SPR, TAN SRI ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF untuk mendapatkan pandangan beliau tentang tohmahan dan fitnah berterusan oleh pembangkang terhadap beliau.

Baginya pihak pembangkang tidak ada isu sebenarnya kerana SPR telah bertindak sebagai sebuah badan bebas di bawah Perlembagaan Persekutuan yang bertanggungjawab menguruskan pilihan raya.

Dalam pertemuan itu beliau turut menjelaskan tentang isu persempadanan semula yang berkemungkinan besar akan dilakukan pada hujung tahun ini.

UTUSAN: Bagaimana Tan Sri melihat isu persempadanan semula yang dijangka dilakukan pada hujung tahun ini?

ABDUL AZIZ: Melalui laporan media, SPR mendapati parti politik tertentu telah menuding jari kepada kita kononnya persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya yang akan dilakukan ini adalah untuk kepentingan parti tertentu.

Mereka juga dikatakan akan menggesa Perdana Menteri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji persempadanan semula kerusi yang lebih adil.

Cadangan itu akan dikemukakan dalam sesi Dewan Rakyat. Menurut mereka dengan adanya PSC, akan membolehkan perbincangan mengenai perkara itu dilakukan dengan lebih adil dan saksama.

Parti-parti ini juga akan menggunakan pertambahan anggota mereka di Parlimen untuk membolehkan persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan dengan adil.

Dalam perhimpunan yang mereka adakan, mereka menyeru rakyat dan penyokong mereka memberi tekanan kepada SPR untuk menghalang percubaan mengubah sempadan bagi memenangkan BN.

Persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya adalah suatu tugas yang perlu dilaksanakan oleh SPR mengikut Fasal 2, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Persempadanan yang dijalankan kali ini merupakan kali yang keenam sejak tahun 1958 bagi negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Kajian terakhir persempadanan semula bahagian pilihan raya yang dilakukan SPR bagi Sarawak ialah pada 2005 dan diluluskan oleh Parlimen pada 4 April 2005. Kajian tersebut mewujudkan pertambahan tiga kerusi bagi Dewan Rakyat dan sembilan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Penambahan kerusi bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan diwartakan dan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2005. Urusan Persempadanan Semula bahagian Pilihan Raya yang dijalankan itu adalah selaras dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan supaya SPR menjalankan Urusan Kajian Semula Persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya setiap tempoh tidak kurang dari lapan tahun.

Ekoran daripada Kajian Semula Persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya itu, jumlah kerusi Dewan Rakyat bertambah daripada 219 kepada 222 dan kerusi DUN bertambah daripada 567 kepada 576.

Dalam urusan ulang kaji persempadanan pada kali ini Sarawak akan terlibat sekali kerana lat tempoh lapan tahun mengikut Fasal 2, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan bagi negeri itu telah tiba pada 10 Jun 2013 ini.

Oleh yang demikian bilangan bahagian-bahagian pilihan raya yang terlibat di dalam kajian kali ini berjumlah 222 bagi bahagian-bahagian pilihan raya Dewan Rakyat dan 576 bagi bahagian-bahagian pilihan raya DUN.

Mengikut Fasal 2, Perkara 113 Perlembagaan, SPR boleh memulakan urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya sebaik sahaja ia mencapai tempoh lapan tahun selepas persempadanan terakhir.

Persempadanan terakhir yang telah dilakukan oleh SPR bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah ialah pada 21 Mac 2003, dan oleh itu pada 21 Mac 2011 lepas genaplah tempoh lapan tahun yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.

Walau bagaimanapun SPR tidak memulakan urusan persempadanan pada tarikh tersebut kerana membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Ini kerana jika SPR melaksanakan persempadanan semula pada tempoh itu dan tiba-tiba Dewan Rakyat dibubarkan, maka ia akan menyukarkan SPR untuk melaksanakan perkara itu.

Jika SPR telah menetapkan tarikh untuk memulakan secara rasmi urusan persempadanan itu, maka ia perlu diselesaikan dalam tempoh 2 tahun. Bagi urusan persempadanan semula kali ini, SPR akan menetapkan tarikhnya nanti.

Ini bermakna SPR perlu melaksanakan urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya kerana tempoh lapan tahun bagi negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu telah pun mencukupi. SPR juga pada kali ini bercadang untuk mengadakan urusan persempadanan ini bersekali dengan Sarawak kerana lat tempoh lapan tahun untuk negeri itu telah tiba pada 10 Jun 2013 ini.

Belum apa-apa lagi pembangkang mendakwa proses ini tidak menyebelahi mereka dan bertujuan untuk mengurangkan majoriti undi pembangkang? Bagaimana Tan Sri melihat bantahan yang dilakukan oleh pembangkang ini?

Persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya ini dibuat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan dan semasa proses itu berjalan, ia juga akan melibatkan semua pihak seperti Ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi-pengundi di bahagian pilihan raya berkenaan.

Prosesnya dilakukan secara terbuka dan telus dan tidak dibuat secara tersembunyi oleh SPR dan kemudian diluluskan secara senyap-senyap oleh SPR.

Proses pameran cadangan bahagian-bahagian pilihan raya setiap kali 30 hari untuk semakan orang ramai akan dilakukan dan mereka boleh memberi komen atau maklum balas kepada SPR.

Selain itu, laporan berkenaan juga akan dibentangkan di Dewan Rakyat, ahli Dewan boleh membahaskan perkara itu. Tidak timbul soal berpihak kepada satu parti kerana semua pihak diberi peluang dan bukan hanya kepada pihak tertentu.

Bagi mengelakkan SPR dituduh berat sebelah, kami sentiasa berusaha melibatkan orang ramai untuk membantu menjalankan kajian persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya pada kali ini.

Proses persempadanan semula dilihat sukar kerana tidak ada pihak yang mendapat majoriti dua pertiga. Bagaimana Tan Sri melihat perkara ini dan apakah ia mungkin menyusahkan SPR?

Memang tidak dinafikan Dewan Rakyat tidak mempunyai jumlah dua pertiga. Dalam keadaan seperti ini ia menyukarkan usaha menambah kerusi Parlimen.

Setiap parti politik perlu memberikan kerjasama tanpa mengira fahaman politik semasa membuat pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan untuk penambahan kerusi Dewan Rakyat.

Jika tambahan kerusi tidak mendapat kelulusan dua pertiga Ahli Dewan, maka bahagian pilihan raya sedia ada akan digunapakai untuk pilihan raya akan datang.

Dalam hal ini, walaupun SPR yang membuat kajian dan mencadangkan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya, namun ia mengambil kira pandangan semua pihak semasa dipamerkan untuk proses bantahan awam atau lain-lain agensi yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan dibahaskan di Parlimen sebelum diluluskan.

Pembangkang ada menyatakan akan berterusan memberi tekanan kepada SPR mungkin sehingga pilihan raya akan datang pada lima tahun lagi. Selain itu mereka bersungguh-sungguh mahukan Tan Sri meletakkan jawatan. Apa pandangan Tan Sri dalam hal ini?

SPR adalah sebuah badan bebas di bawah Perlembagaan Persekutuan yang bertanggungjawab menguruskan pilihan raya. Pelbagai pihak boleh memberi pandangan dan cadangan, namun SPR yang akan memutuskan sesuatu perkara itu.

Selepas PRU-13 pelbagai isu dibangkitkan oleh parti-parti politik tertentu yang kesemuanya tidak berasas. SPR secara berterusan memberikan penerangan dan penjelasan mengenai perkara ini.

Hakikatnya anggota-anggota SPR adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perkara 114 juga, seseorang anggota SPR hanya akan terhenti memegang jawatan apabila mencapai umur 66 tahun atau anggota itu sendiri meletakkan jawatannya.

Oleh yang demikian, adalah jelas peletakan jawatan mana-mana anggota SPR hanya boleh dibuat oleh anggota SPR itu sendiri dengan rela hati tanpa apa-apa gesaan daripada mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun seseorang anggota SPR itu boleh dipecat menurut peruntukan undang-undang. Pemecatan mana-mana anggota SPR hanya boleh dibuat:

(a) melalui suatu perintah oleh Yang di-Pertuan Agong jika anggota itu adalah seorang bankrap, terlibat dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan berbayar di luar tugas jawatannya atau apabila mereka menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan Negeri; atau

(b) melalui suatu Tribunal yang ditubuhkan (alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan).

Walau bagaimanapun jika gesaan dari mana-mana parti politik berhubung dengan pemecatan anggota SPR ini mendapat pertimbangan kerajaan maka suatu Tribunal hendaklah ditubuhkan mengikut tatacara yang ditetapkan.

Saya secara peribadi tidak akan tunduk terhadap tekanan mereka ini kerana ternyata mereka hanya mahu mencari kambing hitam untuk dipersalahkan dan jika saya berundur maka mereka akan menuduh pula saya memang bersalah sedangkan ia tidak benar sama sekali.

Tentang isu dakwat kekal pembangkang mengatakan dakwat berkenaan tidak ada kualiti dan sebagainya. Boleh Tan Sri jelaskan tentang perkara ini?

Selaras dengan tuntutan utama yang dibuat oleh parti-parti politik pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan tertentu, dakwat kekal telah digunakan pada PRU-13.

SPR ingin menegaskan bahawa, penggunaan dakwat kekal dalam PRU-13 adalah hanya sebagai elemen tambahan kepada prosedur pengundian bagi mengelakkan sebarang percubaan untuk mengundi dua kali oleh mana-mana pengundi yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan kepada undang-undang pilihan raya, asas utama untuk menyemak identiti pengundi dan kaedah memastikan pengundi tidak dapat mengundi lebih dari sekali ialah senarai nama di dalam Daftar Pemilih yang diguna pakai di setiap Saluran/Tempat Mengundi pada hari pengundian dan kad pengenalan pengundi.

Jika nama seseorang itu tidak terdapat dalam Daftar Pemilih atau namanya telah dipotong kerana telah mengundi, pengundi itu tidak akan dapat mengundi lebih dari sekali. Ini bermakna pengundian berganda tidak akan berlaku dalam proses pengundian di negara ini.

Setakat ini PDRM telah menerima sebanyak, 1,469 laporan polis berhubung isu dakwat kekal namun tidak ada bukti yang menunjukkan ada pengundi yang telah mengundi dua kali kerana dakwat kekal yang dicalit telah dapat dipadamkan.

Isu dakwat kekal juga tidak menjejaskan keputusan pilihan raya baik di peringkat Parlimen mahupun DUN setakat ini.

Berdasarkan mesyuarat SPR pada 21 Mei 2013 lalu kami telah memutuskan untuk menubuhkan satu Pasukan Khas Menyemak Masalah-Masalah Penggunaan Dakwat Kekal PRU-13 untuk meneliti hal-hal yang berkaitan dengan dakwat kekal itu.

Di antaranya berkaitan aspek ramuan, syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, cara penggunaan dakwat kekal, kaedah calitan dakwat kekal di jari dan hasil ujian-ujian yang telah dibuat sebelum dihantar ke Malaysia dan selepas dakwat itu sampai di Malaysia.

Adalah menjadi harapan SPR dengan penubuhan pasukan khas ini, ia akan dapat membantu SPR mengenalpasti perkara-perkara yang menyebabkan dakwat itu tidak kekal lama di jari setelah dicalit. Pasukan khas itu akan menyiapkan penyiasatannya dalam tempoh satu bulan.

Patriotisme ekonomi Melayu

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

PASCA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), isu ketidakseimbangan ekonomi kembali menjadi perhatian khususnya untuk orang Melayu dan bumiputera yang ketinggalan walaupun mewakili kaum majoriti dan kuasa membeli terbesar.

Usaha kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membentuk Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) serta Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebagai badan pelaksana dilihat berjaya meningkatkan sokongan kumpulan majoriti ini kepada UMNO dan parti pribumi di Sabah dan Sarawak.

Namun, sampai masanya orang Melayu mengambil iktibar implikasi kuasa ekonomi ke atas aspek lain dalam kehidupan, serta mencontohi semangat orang bukan Melayu mengutamakan produk dan perniagaan bangsa sendiri sebagai satu keperluan wajib dalam memperjuangkan ekonomi bumiputera.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik meluahkan kebimbangan bagaimana orang bukan Melayu khususnya kaum Tionghua menggunakan kekuatan ekonomi mereka untuk melancarkan gerakan politik menyokong DAP menukar kerajaan pada PRU13.

"Kita melihat usaha menggunakan kuasa ekonomi untuk capai kuasa politik ini satu ancaman yang boleh menjejaskan kestabilan negara. Selagi ada jurang ekonomi (besar) antara Melayu dan bukan Melayu, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

"Melihatkan ekonomi Melayu selepas PRU13 semakin genting, usaha memperkasakan pencapaian ekonomi Melayu bumiputera perlu dipercepatkan untuk keseimbangan lebih stabil dengan kekuatan ekonomi bukan Melayu," tegasnya.

Tambahnya, melihatkan cabaran selepas PRU13, Gabem berpendapat satu konvensyen ekonomi Melayu melibatkan penyertaan badan ekonomi, agensi-agensi, syarikat milik kerajaan (GLC) serta kerajaan negeri perlu diadakan bagi menggabung tenaga dalam satu pasukan.

Menurutnya lagi, Gabem mahu melihat kerajaan yang dipilih benar-benar komited dari segi perancangan memajukan syarikat bumiputera walaupun polarisasi kaum seolah-olah sudah menjadi realiti dalam politik negara ini.

"Dengan keadaan masyarakat Tionghua tidak sertai kerajaan dan sokong pembangkang, kerajaan pula didokong Melayu bumiputera dan orang India, kita perlu lakar strategi sesuai dan program bermakna yang mampu ketepikan imbasan negatif polarisasi kaum ini.

"Kerajaan telah sediakan senarai Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), Gabem sebagai rakan strategik Teraju pula akan menggerakkan rancangan Syarikat Berwibawa Negeri (SBN), kempen 1Keluarga 1Syarikat (1K1S) dan banyak lagi program lain," katanya.

Menurut beliau, Gabem mengambil langkah tersebut demi melihat usaha memperkasakan pencapaian ekonomi bumiputera dapat dicapai dengan lebih berkesan, dalam tempoh masa lebih pendek daripada yang dirancang sebelum ini.

Beliau menjelaskan, konsep SBN sama dengan syarikat Teras tetapi lebih kepada syarikat sederhana dan lebih kecil di peringkat negeri-negeri yang mempunyai rekod baik, berpengalaman dan potensi untuk berkembang.

"Kita letakkan syarikat-syarikat SBN di bawah satu bumbung dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi-agensi peringkat negeri dan pusat termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, SME corp dan lain-lain.

"Seperti syarikat Teras di peringkat nasional, SBN bakal menjadi peneraju pembangunan di negeri-negeri. Oleh itu, kita minta jasa baik Menteri Besar dan Ketua Menteri mendokong usaha ini dan menjadikan SBN ikon kebanggaan negeri mereka," ujarnya.

Abdul Rahim menegaskan semua pihak perlu bekerjasama dan membuang rasa sombong, angkuh serta sifat 'enau dalam belukar' khususnya di kalangan badan-badan ekonomi Melayu dan duduk dalam satu forum muzakarah, bersatu bagi menentukan nasib anak bangsa kelak.

Kempen 1K1S pula katanya, merupakan satu usaha revolusi Gabem untuk cuba membetulkan persepsi dan pandangan masyarakat Melayu dalam dunia perniagaan, terutama sekali dalam mewujudkan syarikat pegangan keluarga.

"Melalui kempen ini, kita akan dedahkan budaya perusahaan kepada keluarga yang sesuai dan layak. Harta dan hartanah orang Melayu yang biasanya disimpan dalam bentuk geran hak milik akan ditransformasi menjadi saham dengan nilai sebenar harta dalam syarikat keluarga itu.

"Dengan kapitalisasi ini, harta peserta (suami, isteri dan keluarga) yang dahulunya tidak dipedulikan nilainya akan diterjemah sebagai saham dan mendapat faedah, di samping menambah ekuiti nasional bangsa," jelasnya.

Tambahnya, langkah itu penting memandangkan Melayu bumiputera yang mewakili 67 peratus rakyat hanya mempunyai sekitar 24 peratus ekuiti nasional sedangkan orang Cina mampu mencapai lebih 50 peratus pegangan.

Beliau juga yakin kaedah tersebut mampu mengatasi masalah tanah terbiar akibat perebutan harta faraid keluarga Melayu selepas ibu bapa meninggal dunia.

"Dalam bentuk geran hak milik, harta dan hartanah orang Melayu sukar dibahagikan terutamanya jika sudah beranak pinak. Jika diheret ke mahkamah, harta itu akan tergantung dan terbiar, jika dapat pun hanya bahagian kecil setiap seorang.

"Cara lama itu hanya akan mengekalkan kemiskinan orang Melayu. 1K1S dalam bentuk saham pula tetap mengikut hukum faraid dengan pembahagian saham kepada waris tanpa menjejaskan harta atau hartanah secara fizikal mahupun undang-undang," ujarnya.

Menurutnya lagi, 1K1S juga akan mendedahkan pengetahuan tentang aspek pengurusan dan operasi terperinci syarikat kepada peserta termasuk penyata kewangan, untung rugi dan lain-lain, seterusnya memberi kesedaran tentang implikasi keluar masuk wang.

Beliau yakin kesedaran itu juga akan membuka minda peserta terhadap cara pemikiran 'moneytization' lebih tinggi yang menjadi asas membina usahawan Melayu yang berjaya.

"Lebih penting daripada semua itu, Gabem akan cuba tembusi minda pengguna Melayu bumiputera iaitu kumpulan yang memegang kuasa membeli terbesar. Kuasa membeli ini sebenarnya landasan dan kekuatan untuk kita tingkatkan kemampuan syarikat-syarikat bumiputera.

"Anggap ini sebagai fardu kifayah, membantu dengan berbelanja dan menjadi tiang seri untuk syarikat Melayu bumiputera berdiri dalam pasaran terbuka kini. Orang Cina ramai pengeluar (peniaga), tapi kita lebih ramai pengguna," katanya.

Abdul Rahim juga mahu meningkatkan rasa cinta pengguna Melayu terhadap produk dan syarikat bumiputera agar semangat patriotisme ekonomi bangsa itu dapat disemat di hati pengguna Melayu di seluruh negara.

"Tiada syarikat yang boleh maju tanpa sokongan secukupnya daripada pembeli (pengguna). Kita juga bukan meminta 100 peratus kuasa membeli Melayu itu dipindahkan kepada produk dan syarikat Melayu.

"Cukuplah pada kadar munasabah untuk membantu syarikat Melayu bumiputera bersaing dengan syarikat lain di pasaran terbuka Malaysia," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved