Ahad, 7 Julai 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


100,000 rumah di bawah PPA1M - KSN

Posted: 07 Jul 2013 02:53 AM PDT

KUALA LUMPUR 7 Julai - Sebanyak 100,000 unit rumah dirancang dibina di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan mengenal pasti kawasan-kawasan strategik termasuk di bandar-bandar dan ibu kota untuk memperluas program itu.

"Selain Putrajaya, kerajaan akan mencari kawasan strategik di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar termasuk Sabah dan Sarawak. Program ini akan dilaksana sebaik mendapat kelulusan pihak berkaitan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival PIBG, bangunan pentadbiran dan kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama di sini.

Dr. Ali berkata, jumlah itu termasuk program PPA1M membabitkan pembinaan sebanyak 10,366 unit rumah di Putrajaya yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, April lepas.

Harga seunit rumah yang ditawarkan di bawah skim PPA1M adalah antara RM150,000 hingga RM300,000 dan keluasannya pula adalah antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi.

Beliau mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar kerajaan pusat serta kerajaan negeri menyegerakan pembinaan perumahan kos sederhana di bawah RM250,000 kepada golongan penjawat awam.

Sementara itu, beliau berkata, sambutan kakitangan awam terhadap PPA1M amat menggalakkan dengan program itu di Putrajaya menerima 105,000 permohonan.

Program PPA1M membabitkan kerjasama antara kerajaan dan swasta iaitu pembeli yang ditawarkan PPA1M tidak perlu membayar rumah mereka mengikut kemajuan pembangunan tetapi selepas projek siap sepenuhnya.

Pada majlis itu, Yayasan Usima menyumbangkan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran dan kantin sekolah, Syarikat Rafulin Holdings Sdn Bhd yang melengkapkan bangunan kantin baru dengan kerusi dan meja makan manakala Cypark Resources Bhd menyumbangkan sebanyak 20 panel solar bagi projek solar sekolah.

Turut hadir isteri beliau Puan Sri Rohani Abdullah; Yang Dipertua PIBG, Datuk Zainal Abidin Sakom; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Abd. Shukor Ibrahim; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud; dan Pengetua SMK Damansara Utama, Zulaika A. Rahman. - BERNAMA

Jadikan rumah kosong anda sebagai homestay

Posted: 07 Jul 2013 02:48 AM PDT

IPOH 7 Julai - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggalakkan pemilik rumah kosong dan terbiar di luar bandar agar mengusahakan program inap desa bagi menjana pendapatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, usaha mempromosikan produk pelancongan, tidak seharusnnya melibatkan hanya agensi pelancongan atau pemilik hotel, malah penduduk tempatan juga patut melakukannya menerusi perusahaan inap desa.

"Banyak rumah-rumah di kawasan luar bandar yang lama dan terbiar kerana anak-anak mereka telah keluar duduk di Kuala Lumpur, mengapa tidak rumah itu dijadikan sebagai inap desa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek peningkatan kemudahan Kellie's Castle di sini hari ini.

Dengan cara itu, katanya, lebih ramai pelancong akan berkunjung kawasan luar bandar selain dapat mempelajari budaya di sesuatu kawasan.

Malah, katanya, penduduk tempatan juga boleh memperoleh keuntungan hasil daripada pembukaan restoran, serta menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong.

Mengenai usaha menaik taraf kemudahan di Kellie's Castle, beliau berkata projek tersebut yang menelan kos sebanyak RM5 juta itu bermula pada 28 Sept 2011 dan selesai pada 10 April lepas.

Katanya, komponen projek antaranya menaik taraf gerai, tandas awam, alat permainan kanak-kanak, pintu masuk, pusat latihan, ruang pameran dan pembinaan mini teater.

Mohamed Nazri berharap projek yang dilaksanakan kementeriannya itu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri pelancongan Malaysia khususnya di Perak sekali gus menyediakan lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat. - BERNAMA

Sasar kurangkan kemalangan di tempat kerja

Posted: 07 Jul 2013 12:37 AM PDT

KUCHING 7 Julai - Kerajaan menetapkan sasaran untuk mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja kepada tiga kes bagi setiap 1,000 pekerja pada 2015 berbanding nisbah 3.31 kes bagi setiap 1,000 pekerja pada tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot.

Beliau berkata, komitmen kerajaan dalam menitikberatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja akan meningkatkan imej Malaysia di persada antarabangsa apabila syarikat di dalam dan luar negara yakin dengan keprihatinan kerajaan terhadap aspek perburuhan di negara ini.

"Ini seiring dengan fokus bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merangsang aktiviti pelaburan di Malaysia, yang dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion pada tahun ini," katanya ketika merasmikan majlis sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2013 peringkat kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk K. Selvarajah dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Ir. Dr. Johari Basri.

Riot berkata, jumlah kemalangan pekerja semasa perjalanan ke tempat kerja dan kemalangan di tempat kerja yang dilaporkan kepada Perkeso pada tahun lepas adalah sebanyak 61,552 kes berbanding 59,897 kes pada 2011, meningkat sebanyak 2.67 peratus.

Daripada jumlah itu, kemalangan semasa perjalanan ke tempat kerja menunjukkan peningkatan kepada 42.66 peratus tahun lepas daripada 41.42 peratus pada 2011 manakala jumlah kemalangan di tempat kerja menunjukkan penurunan, katanya.

Bagi Sarawak Perkeso mencatatkan sebanyak 333 kes semasa perjalanan ke tempat kerja daripada sejumlah 1,703 kes kemalangan di tempat kerja setakat Mei tahun ini berbanding 937 kes yang sama daripada sejumlah 4,487 kes bagi tahun lepas.

Beliau berkata, Perkeso, sebagai badan kerajaan yang mempelopori Skim Keselamatan Sosial Pekerja di negara ini, akan melancarkan kempen perjalanan selamat ke tempat kerja dengan memberi tumpuan khusus kepada tindakan pencegahan kemalangan semasa ke tempat kerja.

Tindakan itu, katanya, bertepatan dengan misi Perkeso dalam memberi kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada majikan dan orang berinsurans, yang juga merupakan matlamat Pertubuhan Buruh Antarabangsa. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved