Ahad, 7 Julai 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Berhijrah

Posted: 07 Jul 2013 05:32 AM PDT

PERTEMUAN saya dengan Nursalina salah seorang peserta kursus latihan kemahiran khas untuk ibu-ibu tunggal di Bangi baru-baru ini, membuat saya kagum dengan keazaman dan kegigihannya memperbaiki diri demi membesarkan lima orang anak setelah rumahtangganya hancur.

''Saya tak sangka rumahtangga yang bahagia pada awal menemui kehancuran, semuanya kerana tidak ada perancangan lebih awal oleh suami, sebaliknya dia lebih suka bergantung kepada wang pampasan yang diterima. Bukit setinggi mana sekali pun jika hari-hari dicangkul akan rata. Begitulah nasib suami saya. Malangnya dia masih mengharap pampasan yang disangkanya masih banyak itu.

''Lepas berhenti kerja dalam usia masih muda sekitar 40an, suami saya Is kena tipu ketika beli kereta terpakai secara tunai dari kawannya. Baru beberapa bulan pakai, dah kena tarik. Lepas tu pelaburannya dalam skim cepat kaya 'pak man telor' terus lesap. Nasib baik saya berjaya pujuk dia baiki rumah emak saya. Kalau tidak pasti kami anak beranak duduk bawah jambatan.

''Ketika duit masih ada, saya pujuk Is cari kerja, boleh juga tampung duit belanja harian, tetapi dia masih menunggu wang pelaburan. Dia tak percaya skim pak man telor menipu, dia masih mengharap. Akhirnya duit dan skim lesap.

''Oleh kerana duit makin kurang saya keluar bekerja jadi tukang cuci pakaian, cuci kedai dan seterusnya jadi tukang masak. Upah yang diperolehi taklah banyak seperti orang bekerja di bandar. Bekerja di pekan kecil berapa sangatlah untung, jadi upah yang diberi tak memadai, saya terpaksa buat dua kerja setiap hari.

''Bila anak semakin membesar dan belanja sekolah meningkat saya terpaksa cari kerja lain di bandar. Bila balik lewat Is marah. Saya nasihatkan dia supaya bekerja jadi saya tak perlu buat dua kerja. Malangnya nasihat saya tak pernah didengar, dia lebih suka melepak.

''Pertengkaran sering berlaku tetapi demi anak-anak, saya pekakkan telinga supaya saya boleh dapat duit lebih dan mereka boleh sekolah. Ketika bekerja sebagai promoter barangan alat solek di bandar Is cemburu. Katanya saya bukan bekerja sebaliknya nak melaram cari jantan.

''Kerja sebagai promoter alat solek mestilah bersolek dan berpakaian bersih walaupun tak mahal. Is tuduh saya menggatal. Saya dah penat jelaskan, tapi dia suruh saya berhenti. Bab berhenti dan cari kerja lain semua kena ikut cakap Is, tapi dia tak mahu bekerja. Apa salah jadi promoter asalkan halal.

''Oleh kerana saya masih jadi promoter kami sentiasa gaduh. Saya kata padanya, tak ada jantan nakkan saya sebab ada lima anak dan saya tak mahu berpisah dengan anak-anak. Saya beritahu, saya tak mahu bekerja, saya suka duduk rumah, tetapi apa nak makan kalau dia tak bekerja, upah cuci baju dan kantin memang cukup untuk tanggung makan lima anak.

''Kerana degil, satu hari Is ambil pisau nak bunuh saya. Katanya saya lebih baik mati daripada buat dosa. Berdosakah saya kerja cari duit halal.

''Peristiwa itu berlaku bukan sekali, tapi dua kali. Kerana takut saya lari ke rumah abang, abang cadangkan saya pergi ke KL cari kerja kerana banyak peluang kerja. Malam itu saya lari tinggalkan Is dan anak-anak dengan duit tak sampai RM50. Sampai di stesen bas Putra saya bingung tak tahu arah tujuan. Saya duduk termenung dari pagi hingga petang.

''Saya bukan nak lari daripada suami, tapi untuk keselamatan. Bukan tak sayang suami, dulu dia bertanggungjawab pada keluarga, tetapi bila dah berhenti dia tak mahu cari kerja walaupun dia masih muda, masih kuat. Alasannya malu, dia ada duit pampasan.

''Saya hairan dulu Is rajin dan bertanggungjawab beri kami makan, tetapi mengapa selepas berhenti dia malas. Puas saya nasihat tapi dia tak peduli. Saya tak mahu tinggalkan suami dan anak-anak, tetapi setelah diancam hendak dibunuh saya tak boleh sabar. Kalau saya mati macam mana nasib anak saya.

Simpati''Ketika termenung, saya diperhatikan oleh seorang gadis yang simpati. Dia bawa saya ke rumah kenalannya yang kebetulan mencari pekerja untuk jadi tukang masak dan menjaga anak-anak di tadika miliknya.

''Kerana tempat tinggal dan makan minum disediakan, saya setuju. Bila dapat gaji, sebulan sekali saya balik kampung beli barang makan dan duit poket untuk belanja sekolah. Is saya pertanggungjawabkan jaga mereka. Saya pesan pada anak sulung jaga adik-adik dan jimat berbelanja.

''Lebih tiga bulan saya bekerja di tadika dengan gaji RM50 sehari memang cukup untuk kami. Tetapi anak-anak memerlukan perbelanjaan lebih besar, melalui seorang kenalan saya ditawarkan bekerja tukang masak di sebuah restoran atau katering besar di Cyberjaya. Janjinya saya diberikan gaji lebih dan rumah disediakan. Kalau saya boleh buat pelbagai masakan dan kuih muih gaji saya akan dinaikan.

''Dalam pada itu Is pujuk saya supaya tidak duduk KL. Tetapi dia tak berusaha cari kerja. Saya minta cerai. Walaupun Is tak mahu ceraikan saya, tetapi setelah enam kali tak datang mahkamah, saya akhirnya dijatuhkan talak oleh mahkamah.

''Selepas bercerai saya ambil semua anak ikut duduk KL kerana saya diberikan rumah dan gaji dinaikan. Di situ bermula penghijrahan hidup saya anak beranak. Dengan izin dan pertolongan Allah, saya dapat peluang pekerjaan lebih baik. Rezeki anak-anak saya agaknya.

''Tapi sayangnya kontrak perniagaan pembekal makanan dan katering syarikat tersebut cuma dua tahun. Untuk teruskan hidup saya buka perniagaan sendiri. Saya tak menduga boleh jalankan perniagaan makanan dan mendapat gerai di KL.

''Tetapi semua kerja ada hadnya, sampai ketika setelah dua orang anak bekerja, mereka nasihatkan saya berehat, kalau nak berniaga juga buat yang termampu. Sejak itu saya tumpukan perhatian ambil upah jahit langsir dan jahit manik. Sambutan menggalakkan. Dalam pada itu saya teruskan kerja merawat wajah, mengurut badan dan mandi bunga juga mandi wap untuk wanita mengikut tempahan dari rumah ke rumah pelanggan.

''Untuk membuka salon saya belum mampu dan tidak mendapat tempat sesuai. Saya bersyukur dengan usaha, kerja keras dan kekuatan serta kesihatan baik yang dikurniakan Allah selama lebih 15 tahun ini saya berjaya membesarkan lima anak hingga dua daripada mereka bekerja.

''Saya minta cerai bukan nak kahwin lagi, tetapi untuk cari duit besar dan didik anak-anak, mereka harta saya dunia dan akhirat. Bukan saya tak sayang suami, tetapi sebagai ayah beliau patut bertanggungjawab kepada keluarga.

Apabila waktu dibekukan

Posted: 07 Jul 2013 05:32 AM PDT

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

KARYA berjudul Good Morning.

FREEZING The Moment merupakan sebuah pameran solo pelukis muda yang mempunyai fikiran terbuka, berinovatif dan mempunyai daya kreativiti yang mendalam.

Dengan menggunakan teknik catan warna monokromatik, pelukis muda berbakat besar, Mohd. Akhir Ahmad cuba untuk menggambarkan seolah-olah waktu itu boleh dibekukan untuk memberikan fokus kepada sesuatu kejadian.

Baginya, fokus kepada sesuatu kejadian merupakan perkara yang paling penting daripada perkara tersebut terus bergerak tanpa arah tuju yang sebenar.

Kebanyakan catannya diinspirasi daripada cerpen yang ditulis oleh penulis terkenal Perancis, Guy de Maupasant melalui cerpen terkenalnya, The Necklace.

Pada catan yang bertajuk The Girl with Pearl Earring I misalnya, pelukis cuba untuk memaparkan seorang wanita yang sedang duduk di kerusi, mungkin sedang menunggu seseorang atau sedang beraksi di depan kamera.

Kita dapat perhatikan sebelah telinganya tidak bersubang dan ada sebentuk subang kelihatan berada di atas permaidani di hadapannya.

Persoalannya di sini adakah subang itu miliknya, Jika ya, adakah dia menyedari tentang hal itu?

Melalui setiap catan yang dipaparkan, kita dapat perhatikan akan ada sebentuk subang yang terselit di atas permaidani, celahan selimut dan bawah katil.

Subjek subang yang digunakan untuk setiap catan ini mungkin memberikan satu petunjuk bahawa kadang-kadang sesuatu perkara yang kecil tetapi berharga itu mudah dilupakan oleh manusia.

Ketidaktelitian pada sesuatu perkara disebabkan kegopohan kita juga membawa kepada kehilangan perkara yang kita sayangi dan akibatnya akan membawa kemudaratan kepada diri kita.

Dalam perjalanan memulakan kehidupannya sebagai seorang seniman, Mohd. Akhir boleh dikatakan antara pengkarya generasi baru yang mempunyai daya kreativiti yang menjangkau usianya.

Keadaan ini disebabkan oleh minatnya yang cukup kuat dalam bidang seni dan suka membaca.

Melalui membaca, Mohd. Akhir berpeluang untuk menambah pengetahuan yang diselitkan dalam kebanyakan karyanya.

Olahannya dalam setiap catannya menunjukkan lukisannya mempunyai kekuatan, ketelitian dan perlambangan tersendiri.

Jadi tidak hairanlah sekiranya karya Mohd. Akhir mempunyai daya tarikannya tersendiri dan nilai melalui pembacaan diolah sebaik mungkin oleh seniman hebat ini.

Pameran yang dianjurkan oleh RA Fine Arts - The Gallery ini akan berlangsung dari 3 hingga 24 Julai ini dengan Azzad Diah dipilih sebagai penulis jemputan.

Sebanyak 10 karya Akhir dipamerkan dalam pameran ini dibuka pada hari Selasa hingga Sabtu (11 pagi - 7 petang) dan Ahad (12 tengah hari - 5 petang).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved