Ahad, 14 Julai 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kesabaran orang Islam kian pudar

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

ISU agama merupakan antara perkara sensitif yang tidak sepatutnya dipermainkan mana-mana pihak sama ada individu berlainan agama mahupun penganut yang buta ilmu.

Namun, hinaan demi hinaan terhadap agama Islam semakin kerap dan banyak berlaku sama ada dalam kalangan rakyat biasa, pemimpin komuniti atau politik dan terkini oleh orang luar.

Kenyataan celupar Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini menyebabkan isu yang hampir reda itu kembali panas.

Ditambah pula sepasang kekasih berbangsa Cina menghina bulan Ramadan menyebabkan semakin ramai yang mempersoalkan apa yang akan dilakukan pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Walaupun bilangan orang bukan Melayu yang berterusan menghina Islam kecil sahaja, tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga, janganlah berterusan amaran demi amaran tanpa hukuman untuk mengingatkan orang biasa, pemimpin mahupun orang luar kedudukan Islam di negara ini.

Penghinaan beberapa individu ini boleh menyebabkan perbalahan besar antara kaum, masyarakat Islam juga dikhuatiri melihat kerajaan terlalu lemah dalam mempertahankan agama mereka sementara orang luar akan berterusan mempermainkan kedudukan Islam di negara ini.

Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Biro Sosiobudaya dan Warisan, Dunia Melayu Dunia Islam, Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar membantah keras campur tangan orang luar dalam hal-hal berkaitan agama Islam, khususnya oleh seorang wakil diplomatik.

Marino itu duta, patut utamakan hubungan diplomatik, bukannya jaga kepentingan agama dia sahaja. Perlu hormati keadaan di sini, Islam agama rasmi dan telah ditetapkan kalimah Allah tidak dibenarkan untuk orang Kristian.

Saya setuju dengan beberapa cadangan dikemukakan pihak-pihak yang turut membantah sebelum ini, perlu bertindak tegas sama ada batalkan statusnya ataupun hantar balik sahaja," tegasnya.

Tambah Abdul Latiff, jika dibiarkan perbuatan kurang ajar sedemikian, orang lain akan melihatnya sebagai lesen besar untuk bermaharajalela menghina Islam tanpa pedulikan ia sensitif dan menyakiti umat Islam di seluruh negara.

Beliau berharap KDN akan betul-betul bertegas kali ini dan jangan terus bermain amaran dengan pihak-pihak yang mempermainkan kesucian Islam sama ada rakyat biasa, pemimpin komuniti atau politik mahupun warga asing.

Perkara ini boleh menjejaskan pandangan orang di dalam dan luar negara terhadap usaha mempertahankan Islam iaitu agama Persekutuan yang perlu dilindungi kerajaan.

Walaupun pelbagai peringkat telah tetapkan kalimah Allah eksklusif, tetapi masih ada mempermain isu ini tanpa mempedulikan bahaya apabila rasa tidak puas hati membuak dalam kalangan umat Islam," katanya.

Menurut Abdul Latiff, negara lain seperti China dan Singapura tidak pernah berkompromi dengan isu sensitif seperti mempermainkan agama tetapi di Malaysia sudah ada yang berani hina Islam, apatah lagi orang itu bukan Islam yang bangkit dengan angkuh dan berani.

Beliau sedih melihatkan terlalu ramai yang mempersenda agama Islam tanpa provokasi kebelakangan ini dan dikhuatiri boleh membawa kepada pergaduhan antara kaum dan agama.

Ini bukan soal hak asasi, liberalisme dan kebebasan bersuara mereka untuk menghina Islam. Jangan ganggu dan permainkan agama kami kerana ia juga satu kesalahan dari segi undang-undang.

Penguatkuasaan perlu kuat, jangan biarkan orang lain dengan mudah permainkan agama kita. Kes rogol atlet baru-baru ini dalam satu minggu sudah ditangkap, tetapi bila kes perkecilkan Islam lambat pula didakwa," ujarnya.

Abdul Latiff turut mengingatkan pihak berkuasa khususnya KDN agar bertindak tanpa mengira kedudukan pihak yang menghina Islam itu atau hukuman berbeza-beza memandangkan undang-undang sudah ada untuk menyekatnya.

Tegasnya lagi, penguatkuasaan terhadap pihak yang menghina Islam setakat ini sangat lemah walaupun heboh didebatkan tetapi tindakannya lambat, kerap kali berterusan dalam siasatan dan akhirnya tiada yang dibawa ke muka pengadilan.

Jika terus dibiarkan, makin lama semakin teruk mereka akan hina Islam. Jika rasa undang-undang yang ada lemah, gubal akta baharu tetapi pastikan siapa pun yang tidak patuh dan mempermainkan agama diambil tindakan segera.

Ini sangat sensitif, jika terus-menerus senyap sahaja, lama kelamaan dikhuatiri kesabaran orang Melayu dan Islam akan meletup seperti gunung berapi," katanya.

Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam) yang juga Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat pula menegaskan hubungan diplomatik mempunyai hadnya dan seorang duta tidak patut mencabar keimanan orang Melayu.

Zahirnya memang lemah lembut tetapi keimanan Melayu tebal dalam mempertahankan maruah agama, kita tidak akan benarkan kalimah Allah digunakan sewenang-wenangnya.

Dalam kes ini, kita boleh usir duta itu, gantung taraf diplomatik dengan negaranya ataupun memutuskan terus hubungan. Bukannya Malaysia tidak pernah putuskan hubungan diplomatik dengan negara yang tidak hormati kita lebih-lebih lagi dalam bab agama," tegasnya.

Jika secara suka-suka mempermainkan Islam, boleh juga diambil tindakan bawah Akta Hasutan kerana mencemar kesucian agama Islam, atau atas tuduhan menghina Raja-Raja Melayu yang memayungi Islam. Mereka juga boleh dituduh menghasut perpecahan kaum kerana jelas ini satu tindakan provokasi yang mahu umat Islam bertindak balas, jika orang Melayu bertindak kasar tentu mereka juga akan balas sama," ujarnya.

Beliau melihat soal buta sejarah termasuk Keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara dalam kalangan orang bukan Melayu yang gagal menghayatinya menyebabkan pengorbanan orang Melayu memberi kerakyatan kepada mereka tidak dibalas seperti dijanjikan.

Muafakat antara kaum juga semakin terhakis apabila bukan Melayu mula menolak Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa Melayu bumiputera dan asas kontrak sosial lain seperti yang dijanjikan sebelum merdeka.

Sistem pendidikan kita sememangnya gagal didik orang bukan Melayu mengenai asas-asas ini khususnya toleransi, muafakat dan pengorbanan antara kedua-dua belah pihak," dakwanya.

Khairul Anwar melihat penghinaan terhadap Islam, khususnya oleh golongan muda satu cerminan sikap kurang ajar untuk menafikan siapa tuan punya bumi bertuah ini, apatah lagi selepas Melayu gagal dijatuhkan pada pilihan raya lalu.

Penghinaan pada Ramadan, berulang, berterusan

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh Hassan Mohd Noor

APAKAH juadah berbuka anda hari ini? Bubur lambuk, ayam golek, nasi Arab, ikan patin atau sekadar kuih muih. Di mana anda berbuka? Di rumah, di pejabat, di restoran atau di hotel? Biar apa pun menu berbuka anda pada petang ini dan di mana sahaja lokasi berbuka, sudah tentu perkara utama yang diberikan perhatian ialah soal makanan yang halal, selamat dimakan serta tidak memudaratkan kesihatan. Perkara ini sememangnya dalam pengetahuan umat Islam.

Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Namun di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (yakni samar-samar antara halal dan haram), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia (sama ada halal atau haram)"- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Makanan dan minuman yang haram tentulah seperti babi dan minuman keras.

Orang Islam malahan bukan Islam terutama di negara seperti Malaysia tentu faham perkara ini. Dalam soal makan dan minum, umat Islam amat menjaga halal haram ini. Walaupun ada seorang dua yang tergelincir minum minuman keras, tetapi bab makan, mereka cukup berhati-hati supaya tidak termakan babi. Sikap berhati-hati ini akan lebih diberi perhatian ketika berada di luar negara. Bagi mereka yang menjalankan perniagaan makanan juga perlu menitik beratkan soal halal haram ini.

Malangnya masih ada segelintir manusia yang sama ada sengaja atau buat-buat tidak tahu mengenai perkara ini. Mereka tidak sensitif dengan halal haram dalam Islam. Mereka yang tidak bersekolah atau tidak belajar pun tahu membezakan halal haram. Tidak mungkin orang bukan Islam di negara ini tidak mengetahui orang Islam tidak boleh memakan daging babi. Malangnya, kadangkala ada yang belajar tinggi-tinggi tetapi fikiran mereka sempit. Maka tercetuslah idea pasangan bukan Islam Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee yang mempersendakan bulan Ramadan ini melalui akaun Facebook. Mesej dalam Facebook itu berbunyi Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh...wangi, enak dan menyelerakan.

Ucapan selamat berbuka puasa itu memang baik tetapi bukannya dengan makanan haram - bak kut teh atau sup tulang babi. Lebih parah lagi dengan menyertakan logo halal. Babi memang haram tetapi dilabelkan halal pula. Apakah perkataan yang sesuai dilabelkan terhadap perbuatan ini? Kurang ajar atau biadab? Perbuatan ini jelas mempersendakan Islam. Mereka secara jelas tidak menghormati kaum dan agama lain sehingga jika tidak dibendung boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

Mereka juga mempermainkan logo halal yang menjadi panduan umat Islam untuk menentukan penyediaan makanan di sesebuah premis atau keluaran pihak pengeluar benar-benar halal. Adakah selepas ini, akan ada pihak yang sengaja menggunakan logo halal terhadap barangan keluaran mereka yang sebenarnya tidak halal?

Kenapa persendaan seperti ini masih berlaku dalam sebuah negara yang majoritinya penganut Islam? Adakah undang-undang kita terlalu longgar atau hukuman yang dikenakan terlalu ringan iaitu sekadar memberi amaran keras? Mungkin undang-undang yang ada sekarang tidak mampu mengajar anggota masyarakat kita untuk menghormati agama Islam. Mungkin juga pendidikan kita gagal menjelaskan isu-isu berkaitan menghormati Islam kepada bukan Islam sejak di bangku sekolah.

Umat Islam pada setiap masa diperintah supaya memakan hanya yang halal. Pentingnya pemakanan halal ditekankan melalui firman Allah SWT dalam al-Quran.

Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu - Surah al-Baqarah ayat 168

Begitu juga dengan firman Allah yang bermaksud:

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepada mu, dan bertawaklah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya. - Surah al-Maidah, ayat 88

Selak ingin menyelak kembali peristiwa yang hampir sama berlaku pada bulan Ramadan sebelum ini. Bukanlah bertujuan untuk mengungkit perkara lama tetapi sekadar berkongsi rasa tidak senang dengan apa yang sedang berlaku dan akan terus berlaku. Mungkin ia akan berulang lagi dua tahun dari sekarang. Maka ketika itu seperti biasa, muncul pihak-pihak yang membuat kecaman dan laporan polis. Sampai ke mana kecaman dan laporan polis itu?

Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana iklan Ramadan yang ditarik balik penyiarannya di televisyen berikutan kononnya pengumuman khidmat masyarakat (PSA) itu berbaur hasutan. Dalam tiga klip iklan yang disiarkan, iklan tersebut memaparkan seorang perempuan Cina yang tidak menghormati bulan puasa dan dia digambarkan memakai pakaian seksi, tamak serta tidak beradab ketika mengunjungi bazar Ramadan. Iklan tersebut turut menyiarkan adab yang sepatutnya dilakukan oleh penganut agama lain bagi menghormati Ramadan. Begitu juga dengan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris yang menerbitkan satu sisipan khas bertajuk Ramadan Delights pada bulan Ramadan pada tahun 2011. Sisipan itu kononnya mahu menyediakan panduan untuk umat Islam berbuka puasa terutama di hotel dan restoran. Malangnya sama ada ia terlepas pandang atau sebaliknya, turut disiarkan gambar-gambar masakan daging babi panggang sebagai promosi berbuka puasa. Jika tidak silap ada juga iklan yang memaparkan satu jenama minuman keras pada sisipan itu.

Apakah maknanya siaran pada sisipan seumpama itu yang mungkin melibatkan sama restoran yang tidak halal?

Jelaslah, masih ada rakyat Malaysia yang tidak tahu menjaga sensitiviti kaum dan agama. Iklan seumpama itu tidak akan menimbulkan kontroversi sekiranya ia berada di luar sisipan Ramadan. Malangnya iklan itu berkait rapat dengan promosi berbuka puasa termasuk di hotel bertaraf lima bintang. Di manakah silapnya? Adakah sekali lagi, mereka yang sudah lama tinggal di Malaysia ini tidak faham mengenai mana satu makanan/minuman haram atau halal?

Mustahil, mereka tidak memahami isu halal haram dalam kalangan masyarakat Islam.

Persoalannya apakah tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka yang mempersendakan Islam seumpama ini? Sukar untuk menjawabnya. Apa yang pasti, melalui Facebook atau Twitter, agama Islam semakin dipersenda. Satu persatu perkara berkaitan dengan Islam dipersendakan termasuk penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW, isu azan subuh, bacaan al-Quran, kalimah Allah dan sebagainya.

Dalam menghadapi isu-isu ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memanggil mereka yang terlibat. Mereka mungkin diberi amaran atau teguran. Mereka yang melakukan ketelanjuran itu sama ada sengaja atau tidak sengaja akan memohon maaf. Tidak lebih daripada itu. Selepas itu apa pula yang akan berlaku? Adakah episod seperti ini akan berulang pada Ramadan akan datang? Jika berulang, sekali lagi, mereka akan dikecam, kemudian dipanggil pihak berkuasa dan akhirnya muncul kami memohon maaf.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved