Ahad, 14 Julai 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Julang bola sepak wanita negara

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
pendidikan@utusan.com.my

Mohd. Sazali Sam (baju batik, duduk tengah) bergambar bersama ibu bapa dan pemain Pasukan Piala Gothia SMK Za'ba yang mewakili negara ke Sweden di sekolah itu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sekolah Sukan Negeri Sembilan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za'ba terpilih mewakili Malaysia ke kejohanan Bola Sepak Wanita Piala Gothia di Gothernburg, Sweden yang sedang berlangsung dari 11 hingga 21 Julai ini.

Pengetua SMK Za'ba Mohd. Sazali Sam berkata, kejohanan yang dikelolakan oleh Syarikat SKF Bearing Malaysia bersama Majlis Sekolah Sukan Negeri Sembilan itu mampu melahirkan pemain bola sepak yang berkualiti pada masa depan.

"Kejohanan seumpama ini memberikan pendedahan awal kepada golongan remaja tentang teknik dan corak permainan yang berkualiti.

"Di samping itu, kehadiran 61 buah negara di Sweden akan memberikan impak yang positif melalui pertukaran budaya serta pandangan tentang permainan bola sepak wanita," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pihak SKF menjadi penaja utama kejohanan tersebut bertujuan melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

Sebanyak 140 pasukan berentap bagi merebut Piala Gothia pada edisi kali ini.

Menurut Mohd. Sazali, kejohanan di peringkat antarabangsa sejak 2007 ini mendapat galakan dari semua pihak terutama kerajaan Negeri Sembilan.

"Kami juga terlibat dalam kejohanan di peringkat antarabangsa buat kali pertama di bawah kategori Perempuan Bawah 14 tahun yang diperkenalkan pada tahun ini.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada SKF Bearing kerana memberi sokongan kepada bakat-bakat muda negeri ini dalam mengembangkan bakat mereka serta peluang pendedahan di peringkat antarabangsa," tambahnya.

Selain itu, kejohanan tersebut mendapat sokongan penuh dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan dalam pembangunan sukan bola sepak negeri.

Persekitaran pembelajaran kondusif untuk kanak-kanak

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

RASLIN Abu Bakar (dua dari kiri) dan Farah Mahami Tan Sri Mustapha Kamal bertukar dokumen perjanjian selepas sesi perasmian pelantikan Perpustakaan Wan Nong sebagai Perpustakaan Angkat PNM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PUSAT perkembangan pendidikan awal kanak-kanak, Educate to Learn Sdn. Bhd., (e2L) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) memperkenal program PNM i-play untuk membantu golongan itu berkembang serta belajar melalui bermain.

Di bawah program itu, sebanyak 10 perpustakaan dilengkapi permainan i-play tajaan Yayasan EMKAY yang mengandungi alat-alat permainan atau sumber pembelajaran yang boleh diguna atau dipinjam kanak-kanak, ibu bapa, pendidik dan penyelidik.

Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar berkata, di bawah kerjasama itu, perpustakaan milik Kolej Perkembangan Awal Kanak-Kanak yang dinaungi oleh salah sebuah anak syarikat e2L iaitu Early Years Development Sdn. Bhd., Perpustakaan Wan Nong dijadikan Perpustakaan Angkat PNM.

"Antara keistimewaan yang dinikmati pengunjung termasuklah kemudahan pinjaman buku secara pukal kepada pihak kolej dan pada masa yang sama, pelajar boleh menyertai program atau aktiviti berkaitan bidang pendidikan awal kanak-kanak seperti sesi bercerita bersama kanak-kanak," katanya ketika ditemui dalam majlis perjanjian memorandum bersama antara PNM dan e2L yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Farah Mahami Tan Sri Mustapha Kamal.

Menurut Raslin, disebabkan impak berkesan daripada penubuhan 10 perpustakaan PNM i-play, maka kerjasama ini diteruskan dengan penubuhan Sudut Pembelajaran Kanak-Kanak di 16 buah Perpustakaan Desa.

''Hal ini selaras dengan hasrat kami dalam memberikan peluang kepada kanak-kanak di desa atau di kawasan kampung untuk belajar melalui bermain menggunakan bahan permainan yang berkualiti tinggi,'' ujarnya.

Selain itu, kata Raslin, petugas Perpustakaan Desa juga akan diberikan latihan khusus bagi membolehkan mereka mengaplikasikan aktiviti atau permainan bersama kanak-kanak dalam komuniti mereka.

Sementara itu, menurut Farah Mahami, di bawah usaha itu, pihaknya dan penglibatan aktif PNM bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selesa dan selamat untuk kanak-kanak berkembang dan belajar melalui bermain.

''Kami mahu menyediakan akses bahan pembelajaran yang berkualiti kepada kanak-kanak terutama mereka yang tinggal di desa atau pedalaman.

''Pada masa yang sama, kami mahu menjadikan perpustakaan sebagai hab ilmu pengetahuan kepada semua lapisan masyarakat,'' ujarnya.

Beliau berharap melalui program PNM i-play, usaha tersebut mampu meningkatkan minat dan penglibatan kanak-kanak, pelajar serta masyarakat umum di samping membantu mereka memperoleh manfaat dan memahami konsep belajar melalui bermain.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved