Ahad, 14 Julai 2013

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Konservasi Gunung Korbu 2013

Posted: 13 Jul 2013 05:52 AM PDT

PESERTA program Konservasi Gunung Korbu 2013 bergambar kenangan selepas program selesai di Hulu Kinta, Perak.

AKTIVITI mendaki gunung yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini memang telah dijangka.

Ini dapat dilihat dalam setiap ekspedisi mendaki gunung yang penulis sertai. Pasti penulis akan bertembung dengan kumpulan pendaki lain di laluan hutan sama ada ketika menuju ke puncak atau semasa menuruni gunung.

Memang bagus jika semakin ramai memilih aktiviti mendaki gunung. Sekurang-kurangnya mereka tidak terjebak dalam gejala sosial yang negatif.

Namun yang menjadi masalah adalah semakin ramai mengikuti program mendaki gunung, semakin banyak lambakan sampah ditinggalkan di puncak, tapak perkhemahan mahupun di sepanjang laluan hutan.

Kesedaran terhadap pentingnya menjaga hutan yang lestari nampaknya masih kurang dalam kalangan mereka yang menggelarkan diri sebagai pencinta hutan.

Memandangkan longgokan sampah tidak boleh dibiarkan menimbun kerana ia bukan sahaja mencemarkan pemandangan mata yang melihat, malah boleh menjadi sarang tikus yang akhirnya mencetuskan wabak kencing tikus.

Menyedari itu, Wild Junction yang aktif menganjurkan program mendaki gunung mengadakan program yang dinamakan AdAM Project: Konservasi Gunung Korbu 2013.

Program tersebut telah diadakan pada 23 hingga 26 Mei 2013 yang lalu. Ia sekali gus menjadi tarikh keramat dalam dunia pendakian tempatan.

Sekumpulan pendaki dari segenap pelosok tanah Semenanjung telah berkumpul bagi menjayakan program pembersihan di Gunung Korbu yang terletak di Perak.

Program yang diadakan dengan kerjasama Silver Outdoor Sports (SOS) itu dijayakan dengan kekuatan sukarelawan pendaki seramai 65 orang yang dipecahkan kepada dua kumpulan besar.

Pecahan kumpulan ini bertujuan untuk pengkhususan kawasan pembersihan yang meliputi 11 kawasan tumpuan bagi rentis Sungai Termin menghala ke puncak Gunung Korbu dan Gunung Gayong.

Kawasan-kawasan tersebut adalah Dataran Pacat, Waterfall, Bukit Penat, Kem Seroja, Kem Kijang, Last Water Point Termin, Puncak Botak, Puncak Chuban, Puncak Gunung Korbu, Simpang Proton dan Puncak Gunung Gayong.

Gunung Korbu yang berketinggian 2,183 meter ini merupakan gunung kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia. Pendakian ke gunung ini boleh dilakukan melalui dua laluan iaitu dari negeri Perak, melalui rentis Sungai Senooi dan rentis Sungai Termin.

Laluan pendakian ke gunung ini juga tersenarai antara laluan paling sukar untuk ditempuh dengan halangan semula jadi seperti perlu melintasi beberapa sungai, mendaki beberapa anak bukit, mendaki tembok batu serta merangkak di bawah rintangan pokok tumbang.

Memandangkan laluan pendakian ke gunung ini tidak digazetkan berada di bawah perlindungan Taman Negeri mahupun Taman Negara, maka keadaan itu menjadikan laluan-laluan ini tidak terurus dan sukar dipantau terutamanya dari segi kebersihan hutan.

Statistik kemasukan pendaki ke gunung ini juga sukar dilakukan kerana masih terdapat ramai pendaki yang memasuki rentis itu tanpa melalui proses rasmi dan kebenaran daripada Jabatan Hutan Daerah. Kemasukan pendaki dari laluan lain seperti rentis Gunung Yong Belar dan Gunung Yong Yap juga sedikit sebanyak memberi impak terhadap kebersihan di persekitaran Gunung Korbu.

Oleh kerana itu, pihak penganjur telah terpanggil untuk melakukan program konservasi secara rasmi yang julung kalinya diadakan di Gunung Korbu. Objektif utama program ini adalah untuk membuka mata penggiat rekreasi luar supaya lebih beretika ketika melakukan aktiviti ini, di samping memupuk semangat untuk mencintai alam sekitar dalam diri masing-masing.

Sepanjang program ini berlangsung, sebanyak 50 guni sampah yang terdiri daripada tin minuman dan makanan, botol kaca, bekas makanan, kasut, pakaian, sisa peralatan perkhemahan dan sampah plastik berjaya dikutip. Anggaran berat untuk satu guni sampah adalah sekitar tujuh hingga 10 kilogram.

Kesemua sampah ini dibawa turun dan dikumpulkan di Kem Seroja untuk dileraikan mengikut kategori peleraian. Setelah semua sampah diaudit, hanya 40 guni sampah sahaja yang dibawa keluar manakala yang selebihnya dilupuskan dengan kaedah bakar dan tanam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved