Ahad, 14 Julai 2013

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Mod tentukan pemanduan Civic 2.0s

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh NORILA DAUD
ekonomi@utusan.com.my

HONDA CIVIC 2.0S

PRESTASI Honda Civic 2.0s amat menakjubkan berbanding kereta yang mempunyai enjin berkapasiti 2 liter jenama lain.

Bukan sahaja saiz yang sederhana dan reka bentuknya yang kontemporari itu memikat hati sesiapa yang memandang malah mutu pengendaliannya turut cemerlang.

Reka bentuk Honda Civic ini menjadi antara ciri-ciri yang berjaya menarik perhatian golongan eksekutif berusia dalam lingkungan 30 tahun ke atas.

Penampilan sedan serba sederhana yang didatangkan dengan tempat duduk yang diperbuat daripada bahan kulit berserta auto cruise membolehkan pemandu mengekalkan kelajuan yang dipilih menjadi nilai tambah kepada Honda Civic terbaharu ini.

Mengimbau kembali pada tahun 1970-an di mana Honda Civic hanya sebuah kereta kecil berpintu dua yang digerakkan oleh enjin berkapasiti kecil, namun evolusi teknologi yang dilaluinya sejak lebih tiga dekad lalu telah mengubah penampilannya kepada sebuah sedan empat pintu yang lebih besar dengan kuasa enjin yang lebih tinggi.

Walaupun Honda Civic berenjin 2,000 c.c ini dengan mudah dipandu melebihi 160 kilometer sejam (km/jam), namun secara psikologi, penulis tidak memecut melebihi kelajuan tersebut berikutan meter laju digital yang sentiasa menunjukkan tahap kelajuan kereta yang sedang dipandu.

Dengan menekan mod eko berwarna hijau yang terdapat pada pemuka hadapan, pemandu tidak menyedari bahawa Honda Civic 2.0s yang sedang dipandu bergerak dengan perlahan bagi menjimatkan tenaga.

Gajet-gajet tersebut merupakan antara ciri-ciri yang menambah keseronokan memandu kerana boleh menukar corak pemanduan di samping menjimatkan penggunaan minyak.

Transmisi mod sport yang terdapat pada varian ini juga boleh mengubah corak pemanduan. Sebaik sahaja menukar ke mod sport, semangat penulis untuk memecut laju dapat dirasai berikutan bunyi deruman enjinnya yang kuat seolah-olah sedang memandu kereta sport.

Prestasi Honda Civic ini tidak menghampakan kerana cengkamannya di jalan raya agak kukuh dan dengan penuh keyakinan mengambil selekoh tajam pada kelajuan yang sederhana.

Dengan kelajuan purata 120 hingga 140 km/jam untuk perjalanan sejauh 380 kilometer, didapati penggunaan bahan bakar agak menjimatkan berikutan paras minyak masih meninggalkan dua takuk apabila kereta dikembalikan semula kepada Honda.

Sedan ini turut dilengkapi dengan padel shift yang mencabar kemampuan pemandu untuk menggunanya.

Terletak sebelah kiri di bawah stereng adalah pedal shift untuk penggunaan gear rendah dan sangat berkesan digunakan tatkala menaiki bukit manakala di sebelah kanan untuk penggunaan gear tinggi dan impak terbaik dirasakan ketika melalui jalan yang lurus.

Honda Civic 2.0s menawarkan lima tahun waranti dan perbatuan tanpa had, enam kali servis percuma yang berselang dengan servis berbayar sehingga 100,000 km.

Honda Civic 2.0s didatangkan dalam pelbagai warna termasuk alabaster perak metalik, mutiara hitam kristal, metal halus metalik dan putih taffeta.

Keistimewaan tersendiri Ford Kuga

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Ford Kuga

KUALA LUMPUR 14 Julai - Ford Kuga serba baharu yang dilancarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang menggabungkan antara tenaga, prestasi dan penggunaan teknologi yang selamat.

Dengan enjin Ecoboost berkapasiti 1.6 liter berserta teknologi Ti-VCT, Ford Kuga yang dilengkapi dengan beberapa teknologi pintar dijangka mampu menambat hati golongan wanita berikutan reka bentuknya yang kontemporari dan sporty.

Antara teknologi pintar yang terdapat pada kenderaan utiliti sukan (SUV) ini ialah pada pintu bamper belakang di mana ia boleh terbuka dan tertutup sendiri dengan hanya menghayunkan kaki di bawah bamper tersebut tanpa perlu menggunakan kunci tatkala tangan dipenuhi barang-barang.

Alat penderia yang terdapat pada Kuga itu boleh mengesan menerusi gabungan kunci akses pintar yang berada di dalam poket, beg atau dompet dengan pergerakan kaki dan cara ini boleh mengelakkan daripada pintu tersebut terbuka dengan tidak disengajakan.

SUV ini turut menggunakan sistem pintar AWD Ford, teknologi SYNC Ford yang eksklusif di samping penjimatan tenaga. Terdapat dalam warna hitam, putih, perak dan perang kemerah-merahan (ginger ale), SUV ini ditawarkan dengan harga RM159,999.

SUV yang menggunakan enjin petrol Ecoboost 1.6L ini mampu menghemburkan kuasa 180PS dan kilasan tenaga 240Nm, turut dilengkapi dengan Kawalan Vectoring Kilasan Tenaga dan Kawalan Selekoh untuk pengendalian yang cemerlang.

Dianugerahkan sebagai SUV kompak yang mendapat penarafan keselamatan tertinggi mengikut Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) Euro ia dilengkapi dengan tujuh beg angin termasuk di bahagian pemandu dan penumpang, tempat duduk hadapan bahagian sisi, bahagian belakang dan bahagian lutut pemandu.

Sehubungan itu, Pengurus Serantau Asia Pasifik Ford (Eksport dan Operasi Perkembangan), David Westerman berkata: Pihak kami menambah sebanyak 10 peratus kepada jumlah pengeluaran Ford Kuga serba baharu di kilang Valencia, Sepanyol atau 8,000 buah bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat".

Kuga baharu ini turut didatangkan dengan Transmisi Automatik Pertukaran Pilihan Enam Kelajuan dengan mod sport dan menawarkan 7.7 liter/100 kilometer.

Suntikan langsung cas turbo dalam enjin ecoboost membolehkan penyaluran tenaga untuk pengeluaran yang rendah, prestasi cemerlang dengan pengeluaran kuasa yang lebih tinggi, efisiensi yang lebih baik dan mengelak daripada hantukan.

Penutup gril aktif menambah baik efisiensi tenaga dengan memaksimumkan efisiensi aerodinamik dan sistem penyejukan enjin.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved