Ahad, 4 Disember 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Ratusan kenderaan rosak

Posted:

Ratusan kenderaan rosak

Ratusan kenderaan rosak

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my


Sebahagian daripada barangan milik peniaga sebuah kedai yang rosak selepas banjir kilat melanda bandar Kajang, kelmarin. - BERNAMA


HULU LANGAT 3 Dis. - Dianggarkan hampir 100 buah kedai termasuk bangunan dan lebih 250 kenderaan rosak akibat banjir kilat melanda sebahagian pekan Kajang di sini dalam tempoh tidak sampai dua jam, petang semalam.

Angka tidak rasmi itu dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, namun nilai kerugian sebenar yang dialami penduduk di daerah itu masih disiasat dan mengambil masa.

Ini kerana, bencana itu melibatkan banyak kenderaan, premis serta bangunan rosak dan ditenggelami air.

Penolong Pengarah Operasinya, Mohamad Sani Harul berkata, jumlah sebenar kerugian itu sukar ditafsirkan namun dianggar mencecah jutaan ringgit kerana banyak harta benda mangsa termasuk barangan di dalam premis turut dilanda banjir.

"Sukar untuk kita anggarkan jumlah kerugian itu kerana banyak kenderaan yang tidak dapat diselamatkan. Begitu juga kedai-kedai yang masih beroperasi ketika air naik secara tiba-tiba di situ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hujan yang bermula pada pukul 2 petang semalam mengakibatkan sebahagian Pekan Kajang, Kampung Sungai Kantan serta beberapa kawasan sekitar Semenyih dilanda banjir kilat yang dikatakan terburuk sejak lima tahun lalu.

Air yang naik secara mendadak kira-kira pukul 3 petang itu menyebabkan suasana kelam-kabut di kawasan tumpuan orang ramai dan perniagaan sehingga ada yang terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta.

Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia di Kajang hari ini mendapati, puluhan kereta yang terperangkap di tempat letak kereta tingkat bawah Plaza Metro Kajang telah dialihkan.

Dalam pada itu, Mohamad Sani memberitahu, tiada kemalangan jiwa berlaku pada tragedi itu dan operasi membantu telah dihentikan sejak pukul 7 petang semalam.

"Pihak kami telah berjaya mengeluarkan sembilan mangsa yang terperangkap dalam kejadian itu dan tiga daripada mereka adalah warga emas yang terperangkap di sebuah kawasan perumahan lama di Sungai Kantan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab pula berkata, tiada penduduk yang dipindahkan setelah kejadian banjir kilat semalam.

"Sebanyak 18 laporan polis dibuat oleh penduduk dan mangsa bencana ini. Kebanyakan mereka adalah mangsa akibat harta benda seperti kenderaan dan premis kedai ditenggelami air,'' katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Persiapan LIMA sampai kemuncak

Posted:

Persiapan LIMA sampai kemuncak

Persiapan LIMA sampai kemuncak


Petugas melakukan pemeriksaan terhadap dua buah pesawat pejuang yang bakal menyertai LIMA 2011 di Langkawi, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 2 Dis. - Persiapan untuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) Ke-11 yang akan berlangsung 6 hingga 10 Disember ini, sudah berada di peringkat akhir.

Jawatankuasa Induk LIMA '11 berkata, LIMA kali ini akan menjadi edisi terbaik sepanjang penganjuran sejak 1991, kerana peningkatan menyeluruh daripada aspek penyertaan pempamer, pesawat dan kapal.

"Pameran tahun ini menunjukkan peningkatan 25 peratus berbanding sebelum ini dengan penyertaan lebih daripada 400 syarikat pempamer dari 54 negara.

"Selain itu, penyertaan 26 pesawat dan 12 kapal perang laut luar negara menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding penganjuran tahun 2009," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pameran LIMA yang dianjurkan dua tahun sekali ini mampu menjadi medan pertemuan pemimpin industri maritim dan aeroangkasa bagi merebut peluang perniagaan dalam industri tersebut di rantau Asia selain bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain.

"Agensi keselamatan negara seperti Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menjadikan LIMA sebagai medium mengeratkan hubungan dengan agensi negara jiran," katanya.

LIMA 2011 yang diadakan di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dijangka bakal menerima 25,000 pelawat perdagangan, sekali gus mampu menjana pulangan pelancongan RM150 juta kepada negara.

Tetamu kerajaan dan pelawat perdagangan boleh berkunjung dari 6 hingga 8 Disember, manakala pengunjung awam berpeluang menyaksikan pesawat dan kapal perang canggih pada 9 hingga 10 Disember.

Tambahnya, pelbagai syarikat pesawat terkemuka luar negara seperti Boeing, Airbus, DCNS, Daewo, Blom and Voss, Embraer, Sikorsky, Gulfstream, Sukhoi, Navantia dan Dassault Aviation turut mempamerkan aset pertahanan dan komersial yang tercanggih di dunia pada penganjuran kali ini.

"Antara pesawat yang bakal menjadi tumpuan ialah pesawat pejuang F-18 Super Hornet buatan Amerika Syarikat, Eurofighter Typhoon (Eropah), Rafale (Perancis), Gripen (Sweden) dan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sukhoi SU-30.

"Selain itu, kapal terbang pengangkut C-17 Globemaster III, helikopter canggih Eurocopte Tiger HAD, Sikorsky S 92 dan AW 149 buatan Aygusta Westland akan turut menyertai pameran LIMA 2011," ujarnya.

Penganjuran kali ini akan diserikan dengan pertunjukan udara bermula 11.30 pagi hingga 1 petang dari 6 hingga 8 Disember, manakala dua sesi pertunjukan akan diadakan dari 9 hingga 10 Disember bermula 10 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.30 petang hingga 4 petang.

Full content generated by Get Full RSS.

Anugerah Juara lagu umum 12 finalis

Posted:

Anugerah Juara lagu umum 12 finalis

Anugerah Juara lagu umum 12 finalis


Antara artis yang layak ke akhir semasa berlangsungnya Anugerah Juara Lagu 2011 Pusingan Separuh Akhir di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 3 Disember - Dengan berakhirnya bahagian ketiga separuh akhir Muzik Muzik 26 (MM26), teki-teki mengenai siapa 12 finalis yang akan bertanding di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) pada 29 Januari tahun depan, terjawab.

12 finalis yang akan meneruskan kemaraan ialah Yuna menerusi lagu Gadis Semasa dan Penakut, Alyah (Kisah Hati), Hafiz (Awan Nano), 3 Suara (Beribu Sesalan) dan Atilia & Monoloque (Kekanda Adinda).

Turut ke final AJL26, Najwa Latif (Cinta Muka Buku), Aizat (Sungai Lui), Projek Pistol (Wanita Seluruh Dunia), Shohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet (Kalau Berpacaran), Jaclyn Victor (Sedetik Lebih) dan Faizal Tahir (Karma).

Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar memberitahu persaingan untuk merebut AJL26 lebih sengit.

"Semua telah memberikan persembahan yang mantap sepanjang tiga bahagian separuh akhir MM26 ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semua 12 finalis itu dipilih melalui pemarkahan oleh juri profesional yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Lim Swee Tim, Azlan Abu Hassan, Yassin dan Hazami, dengan Azhar Borhan bertindak selaku ketua juri.

Sebanyak 30 buah lagu dipertandingkan dalam separuh akhir MM26 menerusi tiga bahagian persembahan yang berlangsung sejak pertengahan bulan lalu di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved