Selasa, 8 November 2011

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Malam gemilang Sanggul Beracun, Cun

Posted:

Malam gemilang Sanggul Beracun, Cun

Malam gemilang Sanggul Beracun, Cun

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL, MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR dan MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar FAUZI BAHARUDIN, NOORADZRENE MOHD. NOOR, IRWAN MAJID dan BARIQ RAMADHAN


SABRI Yunus bersama trofi Pengarah Drama Terbaik yang dimenanginya menerusi Sanggul Beracun.


SEPERTI mana yang diramal banyak pihak, drama Sanggul Beracun telah mendominasi Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu.

Drama terbitan Balang Rimbun Sdn. Bhd., itu membawa pulang empat trofi daripada tujuh kategori yang dicalonkan termasuk gelaran tertinggi, Drama Terbaik.

Dengan kejayaan besar itu, Sanggul Beracun menewaskan pencabar terdekatnya, Airmata Nur Salina terbitan Rumah Karya Cipta Sdn. Bhd., milik pelakon dan pengarah wanita tersohor negara, Erma Fatima.

Sudah semestinya individu yang paling bertuah dan mampu tersenyum puas serta bangga adalah sang sutradara Sanggul Beracun, Sabri Yunus yang secara peribadi menerima dua pengiktirafan iaitu Pengarah Drama dan Lakon TV Terbaik.

Untuk orang baru seperti Sabri yang kali pertama bergelar pengarah hanya selepas hampir tiga dekad bergelar anak seni, boleh dikatakan ia adalah pencapaian yang cukup membanggakan.

Malah, tiada siapa sangka di sebalik gelaran pelakon komedi yang sering dijunjung, rupa-rupanya Sabri mempunyai sisi lain yang tidak pernah ditonjolkan.

Kata Sabri, dia tidak pernah menyangka sama sekali bahawa percubaan pertamanya itu diiktiraf dalam anugerah berprestij seperti ASK 2011.

Sekalipun menjadi calon utama, namun, dengan penuh rendah diri Sabri merasakan calon-calon lain yang bertanding juga mempunyai kekuatan tersendiri dalam memikat hati juri.

Kata anak jati Kelantan itu, walaupun dirinya baru berjinak-jinak dalam dunia pengarahan pada usianya sudah mencecah setengah abad, tetapi dia tidak berasakan keputusannya itu terlambat.

"Benar, saya masih baru tetapi bagi saya, dengan pengalaman yang saya timba selama bergelar seorang aktor telah banyak membantu saya untuk menzahirkan Sanggul Beracun ke layar kaca.

"Dalam erti kata lain, pengalaman saya dalam dunia seni sebenarnya adalah proses pembelajaran yang cukup efektif sebelum saya mencabar diri untuk bergelar seorang pengarah," jelas Sabri sewaktu ditemui pada sidang akhbar selepas Sanggul Beracun diumumkan sebagai pemenang.

Peluang

Selain Drama dan Pengarah Drama Terbaik, Sanggul Beracun yang telah disiarkan di saluran Astro Citra pada Mei lalu itu turut memenangi kategori Videografi Terbaik.

Secara ringkasnya, Sanggul Beracun yang diadaptasi daripada mitos popular di kalangan penduduk Johor mengisahkan bagaimana seorang wanita bernama Siti Aminah yang perlu membunuh 99 lelaki jika mahu terus kekal cantik.

Menyambung bicara, Sabri memberitahu, di awal pembabitannya untuk drama itu, dia hanya ditugaskan untuk mengolah kembali skrip Sanggul Beracun selepas tidak berpuas hati dengan yang asal.

Garapannya itu menambat hati penerbit yang ternyata mengagumi sentuhan Sabri lalu menawarkan peluang kepadanya untuk mengarahkan drama tersebut.

Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Sabri tidak menunggu lama untuk memberi keputusannya kerana merasakan peluang seperti itu barangkali sukar untuk mendatangi dirinya sekali lagi.

"Sesuatu yang pasti, kejayaan Sanggul Beracun bukanlah hasil daripada saya seorang sahaja. Tetapi ia adalah kerjasama daripada semua pihak dan krew produksi yang bertungkus-lumus menyiapkan drama ini.

"Rakan-rakan yang mengenali saya tahu sejauh mana kemampuan saya. Mereka tidak terperanjat dengan hasil kerja saya kerana mereka mengenali siapa saya.

"Sebelum mengarahkan Sanggul Beracun, saya pernah mengarahkan VCD berjudul Bukan Pi Mai Pi Mai sewaktu pasaran VCD sedang memuncak. Namun, saya menganggap Sanggul Beracun sebagai karya pertama kerana kehadiran VCD itu tidak disedari," kata Sabri yang cukup terkenal dengan watak Wan Ismail Golok dalam sitkom popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu lagi.

Ralat

Dalam anugerah yang dianjurkan oleh TV3 itu, Sabri turut dicalonkan untuk Pelakon Pembantu Lelaki Drama Terbaik menerusi drama yang sama namun, tewas kepada Allahyarham Faizal Yusop yang memenanginya untuk drama Jangan Hantar Aku Ke Neraka.

Meskipun gembira dengan kejayaannya itu, Sabri berasa sedikit ralat apabila teraju utama Sanggul Beracun, Erra Fazira gagal memenangi Pelakon Wanita Drama Terbaik.

Bagi Sabri, Erra telah memberikan dimensi lakonan yang cukup berbeza kerana karakter yang dibawakan oleh aktres itu sememangnya lain daripada apa yang pernah dibawakan dalam filem mahupun drama.

Selain Erra, Sanggul Beracun turut menerima pencalonan dalam kategori Pelakon Lelaki Drama Terbaik bagi Namron.

Sementara itu, Sabri menjelaskan, dia baru sahaja selesai mengarah dan membintangi drama keduanya, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang turut diterbitkan oleh Balang Rimbun Sdn. Bhd.

Umie tewaskan Erra

Biarpun nama Erra Fazira disebut-sebut sebagai calon utama untuk membawa pulang gelaran Pelakon Wanita Drama Terbaik, ternyata sudah tertulis bahawa malam itu menjadi milik Datin Umie Aida.

Siapa yang mampu menidakkan kredibiliti lakonan Umie yang sememangnya sudah terbukti sebagai salah seorang aktres terbaik negara.

Sudah pasti malam itu menjadi kenangan terindah buat Umie apabila selepas 11 tahun, dia kembali naik ke pentas untuk menerima trofi ketiganya dalam kategori tersebut.

"Sesungguhnya saya menganggap rezeki ini adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka. Lebih manis untuk saya kenang kali ini apabila dicalonkan bersama Erra yang merupakan sahabat baik saya.

"Lebih-lebih lagi saya sendiri sudah lama tidak dicalonkan dalam ASK dan lebih istimewa apabila saya memenangi trofi ini atas tiket lakonan saya di bawah arahan kakak saya, Erma. Jadi, bagi saya ia adalah kemenangan berganda buat saya," jelas Umie yang sebelum ini memenangi kategori yang sama pada tahun 1999 dan 2000 bagi drama Surah Terakhir dan Ayuni.

Aktres yang berusia 38 tahun ini turut menambah, kemenangannya itu bukan bererti dia sudah berada di kedudukan yang selesa.

Sebaliknya, ia adalah cabaran baginya untuk mempertingkatkan lagi mutu lakonan di masa akan datang.

Full content generated by Get Full RSS.

Antara kualiti dan populariti

Posted:

Antara kualiti dan populariti

Antara kualiti dan populariti

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar FAUZI BAHARUDIN dan NOORADZRENE MOHD. NOOR


GANDINGAN Shaheizy Sam dan Rosyam Nor sebagai penyampai anugerah dianggap sebagai penyelamat.


MEMANG dari awal lagi, ramai meramalkan drama Sanggul Beracun akan menang besar pada Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) yang sudah pun melabuhkan tirainya pada malam Jumaat lalu.

Ternyata, Sanggul Beracun yang diterbitkan oleh Balang Rimbun Sdn. Bhd., itu berdepan dengan saingan yang cukup sengit daripada Airmata Nur Salina terbitan Rumah Karya Cipta Sdn. Bhd.

Akhirnya, keputusan berpihak kepada Sanggul Beracun yang memenangi empat trofi iaitu Drama, Pengarah Drama, Lakon TV dan Videografi Terbaik.

Ramai yang bertanya apa hebatnya Sanggul Beracun sehingga ia mampu menewaskan Airmata Nur Salina yang juga bukan calang-calang karya daripada sutradara ternama negara, Erma Fatima?

Bukan mahu bersikap bias mahupun berat sebelah, tetapi Sanggul Beracun telah membawa satu dimensi baru dalam penerbitan drama tempatan.

Dalam erti kata lain, drama arahan Sabri Yunus itu telah mengangkat mutu drama tempatan yang sekali gus meletakkan karya itu di kedudukan yang cukup tinggi.

Boleh dikatakan, Sanggul Beracun dibikin untuk anugerah di mana ia memiliki nilai estetika yang sangat tinggi.

Barangkali penerbitnya mempunyai alasan tersendiri untuk ia ditayangkan di Astro Citra yang secara terangan tidak mempunyai jumlah pelanggan yang tinggi.

Mungkin siapa tahu Sanggul Beracun berdepan dengan kerenah birokrasi daripada sesetengah pihak yang meragui kemampuan drama yang diadaptasi daripada kisah mitos dari negeri Johor itu.

Dengan kejayaan Sanggul Beracun di ASK 2011, ia telah membuktikan bahawa sesebuah karya yang hebat dan bagus tidak semestinya diukur kepada rating.

Benar, Sanggul Beracun bukan sebuah drama popular kerana ia tidak dibintangi oleh barisan pelakon popular yang menjadi pujaan hati peminat masa kini melainkan Erra Fazira sahaja.

Tetapi kualiti yang ditonjolkan dalam drama itu dalam semua aspek termasuk jalan cerita, teknikal, sinematografi dan lakonan menjadikan Sanggul Beracun sebuah santapan lengkap untuk dinobatkan sebagai juara.

Airmata Nur Salina juga hebat dan ia boleh disifatkan sebagai karya Gred A kerana diarahkan dan dibintangi oleh anak seni yang mana kredibilitinya tidak wajar untuk dipertikaikan.

Mungkin tiada rezeki drama itu untuk dijulang sebagai pemenang dan Airmata Nur Salina sewajarnya berasa bertuah kerana maruahnya ditebus menerusi lakonan hebat Datin Umie Aida yang merangkul trofi Pelakon Wanita Drama Terbaik.

Dua drama itu sewajarnya dijadikan contoh oleh pembikin drama tempatan yang seharusnya lebih berani untuk menghasilkan karya yang dapat membawa industri penerbitan drama tempatan jauh ke hadapan.

Bukan hanya mesej atau jalan cerita yang harus dititik beratkan tetapi teknikal juga wajar diambil kira dan perhatian serius.

Tidak berniat untuk merendah-rendahkan sesiapa tetapi ada beberapa syarikat produksi yang dapat dilihat masih lagi berada di takuk lama dari segi kualiti penerbitannya.

Mesej ceritanya bagus tetapi apabila melihatkan kepada teknik pengarahan dan sinematografi, ia kelihatan sungguh stereotaip serta mudah dijangka siapakah pengarahnya.

Seperkara lagi adalah tentang drama rantaian yang masih lagi memperlihatkan kuasa Filmscape Sdn. Bhd., yang mencipta hatrik apabila memenangi Drama Rantaian Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.

Bermula dengan Kekasihku Seru pada tahun 2009, Nur Kasih (2010) dan terbaru, Juvana, kemenangan Filmscape juga wajar dijadikan contoh oleh syarikat produksi tempatan.

Mereka juga antara produksi tempatan yang cukup mementingkan kualiti penerbitan dan penceritaan sehingga hampir kesemua karya mereka mendapat sambutan luar biasa.

Pelakon senior menyerlah

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan juga tentang ASK 2011 apabila pemilihan beberapa pemenang yang membuktikan bahawa penangan pelakon senior masih lagi hebat.

Kemenangan Eman Manan dan Umie misalnya, yang memenangi kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Drama Terbaik pada malam itu secara muktamad menjelaskan bahawa bakat mereka masih lagi diperlukan dalam industri.

Di sebalik kebangkitan dan gemerlapan bintang pelakon muda popular hari ini, sengatan Eman dan Umie masih lagi berbisa.

Begitu juga dengan Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja yang memenangi kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik menerusi filem Janin yang juga disifatkan sebagai sesuatu yang menarik.

Bayangkan, hanya selepas 15 tahun menjadi pelakon, akhirnya Eja dinobatkan sebagai yang terbaik. Ini secara tidak langsung dapat membuang pandangan skeptikal masyarakat yang barangkali sebelum ini memandang sebelah mata kepada bakat Eja.

Tidak dilupakan kehebatan pelakon veteran Sidek Hussain yang memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik menerusi filem Karak sekali gus menewaskan pelakon-pelakon muda yang bertanding dalam kategori itu.

Tiada yang menarik

Setiap tahun, ASK akan berdepan dengan kritikan mengenai perjalanan anugerah yang dilihat tidak mampu meninggalkan impak besar kepada audiens.

Tahun ini juga nampaknya ASK masih lagi statik dan tiada apa yang menarik untuk diceritakan sehingga atmosfera di dalam Dewan Merdeka terasa begitu hambar sekali.

Dengan tepukan lemau dan lesu oleh penonton yang bagaikan tidak bersemangat memberikan sokongan membuatkan ASK 2011 terasa begitu membosankan.

Seperti mana yang dijangka, pemilihan hos kali ini iaitu Ally Iskandar dan Rozita Che Wan kelihatan sungguh canggung.

Ally tetap Ally manakala Rozita pula kelihatan kaku sehinggakan pergerakannya terlalu dikawal dan mengikut skrip. Dalam erti kata lain, Rozita tidak kelihatan asli (natural) dan nampaknya, dia perlukan masa yang lama untuk menjadi seorang hos.

Persembahan artis pada malam itu juga didominasi oleh penyanyi baru antaranya Najwa Latif, Awi Rafael dan Nashrin yang menyampaikan lagu-lagu popular mereka seperti Cinta Muka Buku, Pulanglah dan Fobia Cinta.

Tertanya juga, apakah rasionalnya pemilihan medley lagu-lagu Anuar Zain iaitu Ketulusan Hati dan Permata yang dinyanyikan oleh Alyah, Shila Amzah dan Jaclyn Victor?

Namun, persembahan yang cukup menyentuh hati adalah sewaktu Datuk Rahim Razali mendeklamasikan puisi karya Ahmad Fedtri Yahya berjudul Tenanglah Di Sana bagi segme Dalam Kenangan.

Pemilihan pelakon remaja wanita popular masa kini iaitu Nur Fathia, Kilafairy, Wawa Zainal dan Liyana Jasmay yang digandingkan bersama penyanyi lelaki popular seperti Ferhad, Aizat, Akim dan Tomok boleh dianggap sebagai penyeri ASK 2011.

Sudah tiba masanya untuk TV3 memikirkan mekanisme baru untuk meletakkan ASK di tempat yang sewajarnya. Bukan hanya sekadar acara anugerah yang hanya mahu menobatkan pemenang sahaja.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved