Ahad, 9 Oktober 2011

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Berjaya tanpa bantuan

Posted:

Berjaya tanpa bantuan

Berjaya tanpa bantuan

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


Mistinah Sanduan menggunakan modal sendiri bagi membangunkan perniagaannya tanpa pinjaman daripada mana-mana pihak.


BAK kata orang di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalannya. Begitulah juga dengan Mistinah Sanduan, 57, yang mengusahakan pelbagai jenis biskut dan kerepek di rumahnya.

Segalanya bermula pada 1990 dengan berbekal wang RM250, Mistinah membeli barangan seperti ketuhar, kuali serta bahan-bahan mentah untuk membuat biskut menjelang musim perayaan.

"Daripada jumlah wang itulah segalanya berkembang menjadi seperti sekarang," katanya semasa ditemui di premisnya di Kimpalan Kreatif Peket 100 Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor.

Mistinah yang telah lebih 20 tahun mengusahakan pelbagai produk industri asas tani seperti kerepek pisang tanduk, abu dan awak, kerepek bawang dan lima jenis biskut iaitu mama carrie, semperit, almond london, tart nanas dan biskut aiskrim dengan jenama Miscookies sempena nama Mistinah.

Beliau banyak dibantu oleh anaknya Khairul Azman Abdullah, 30, yang bertindak mengurus, merancang dan mencari bahan mentah bagi pembuatan kuih-muih dan kerepek terutama semasa musim perayaan.

Biarpun telah lebih 20 tahun mengusahakan produk industri asas tani, Mistinah masih menggunakan modal sendiri selain bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Pertanian.

"Selama ini kami tidak pernah mendapat apa-apa bantuan atau pinjaman daripada mana-mana pihak.

"Segalanya kami beli sendiri daripada keuntungan yang didapati," katanya yang membeli sendiri ketuhar, mesin mengadun tepung, mesin menghiris pisang dan pelbagai jenis mesin bagi memudahkan tugasnya.

Bagaimanapun menjelang musim perayaan, Mistinah sedikit mengeluh kerana memerlukan modal yang banyak dan peralatan bagi menyediakan pelbagai produk untuk dipasarkan.

Buat masa ini produknya hanya dihantar ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru.

Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Mistinah berkata, pelanggan memberikan maklum balas yang cukup memberangsangkan.

"Malah ada kalanya pengeluaran kerepek pisang yang boleh mencecah sehingga 300 kilogram sehari tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.

"Buat masa ini kami menghantar produk dua kali seminggu ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru selain ke kedai-kedai runcit berhampiran," katanya.

Justeru menjalang musim perayaan, Mistinah menggaji 20 orang pekerja berbanding hanya lapan orang semasa hari biasa.

Ditanya mengenai harapan masa depan, Mistinah menjawab, beliau sentiasa berharap bisnes yang akan diwarisi anak-anaknya terus berkembang.

"Saya berharap satu hari nanti jenama Miscookies akan dikenali ramai bukan hanya di Klang tetapi juga di tempat lain," katanya.

Pembaca yang berminat dengan produk Miscookies boleh menghubungi 012-6835355 atau 03-32242332.

Industri kerepek terus berkembang

Posted:

Industri kerepek terus berkembang

Industri kerepek terus berkembang

PEMBUATAN kerepek dan kudapan tradisional kini pesat berkembang dengan nilai jualan mencapai lebih RM150 juta sepanjang tahun lepas.

Sebut sahaja apa jenis kerepek sama ada ubi kayu, pisang, keledek, bawang, ubi pedas, ubi masin, pisang atau rempeyek, jarang lagi yang tidak dapat membayangkannya.

Malah ketika menonton televisyen atau bersembang minum petang bersama keluarga pun kerepek menjadi antara hidangan ringan.

Kalau suatu ketika dahulu produk kampung ini kelihatan comot tetapi kini sudah menyamai standard kudapan antarabangsa daripada segi kepelbagaian rasa, kesetaraan bentuk, saiz dan pembungkusannya.

Menurut data Pertumbuhan Industri Snek Malaysia daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kerepek adalah penyumbang jualan terbesar dalam pertumbuhan industri itu dengan sasaran jualan sebanyak RM102.1 juta.

Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin berkata, peningkatan keseluruhan jualan bagi industri kudapan Malaysia kini berada pada tahap yang amat memberangsangkan dan keadaan ini disebabkan faktor permintaan yang tinggi di pasaran.

"Permintaan yang tinggi bagi kerepek telah menyebabkan ramai pengusaha menghadapi kekurangan bahan mentah seperti ubi kayu, ubi dan pisang.

"Bagi menampung kekurangan bahan mentah untuk pemprosesan kerepek, FAMA mewujudkan sistem ladang kontrak di mana peserta digalakkan bercucuk tanam dan hasilnya nanti akan dibeli oleh FAMA," katanya.

Selain kerepek, snek buah-buahan juga dijangka meningkat jualannya iaitu sebanyak RM46.7 juta berbanding RM44.5 juta tahun lepas. Angka ini belum termasuk kudapan lain seperti muruku dan kekacang.

Beliau berkata, menerusi promosi FAMA banyak produk tempatan yang berjaya dipasarkan di peringkat antarabangsa dengan menggunakan perakuan jenama 1Malaysia Best.

Katanya, kerepek tempatan seperti kerepek ubi kayu dan pisang bukan sahaja mempunyai peminatnya tersendiri dalam kalangan warga tempatan, bahkan turut diminati di luar negara.

"Setakat ini bagi kerepek, kita dah eksport ke Brunei Darussalam dan Asia Barat. Kita juga cuba untuk memasarkan produk tempatan ini ke negara lain, tetapi kita menghadapi kekurangan bahan mentah.

"Insya-Allah kita akan cuba tingkatkan pengeluaran bahan mentah itu, supaya banyak lagi negara yang boleh kita masuki pasarannya. Sekarang ini kerepek kita yang pelbagai jenis perasa sudah pun setanding dan mengambil tempat cip kentang keluaran luar negara," katanya.

Sementara itu, Abdulah Sani Adam, 67, dari Kampung Sungai Lang, Banting, satu daerah yang terkenal dengan produk kerepeknya, berkata kerepek kini diusahakan bukan lagi di rumah tetapi di kilang milik pengusahanya.

"Kini sebab dah terkenal, pakcik tengok bila nak dekat musim raya saja, mesti ramai datang ke Banting nak beli kerepek," katanya,

Industri snek ini dalam caranya tersendiri membantu menggerakkan ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan penduduk, yang tidak kurang banyaknya berusaha secara berkelompok di bawah projek Satu Industri Satu Kampung.

Sementara itu, Mohd Afiq Mohd Zain, 25, yang bekerja di kedai kerepek di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini berkata, sambutan meningkat masyarakat terhadap kerepek menyebabkan tuan kedainya memutuskan untuk terus berniaga di situ untuk tahun keempat.

"Saya di sini berniaga dah empat tahun iaitu ketika musim perayaan. Harga jualan kita masih lagi sama iaitu pada RM8, RM10 dan RM15 mengikut jenis kerepek. Jualan kita tak pernah tak habis. Setiap tahun kita berniaga, memang habis kerepek kita," katanya.

- BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved