Jumaat, 1 Julai 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Rangsang industri kreatif negara

Posted:

Rangsang industri kreatif negara

Rangsang industri kreatif negara

Oleh YONG SOO HEONG


Festival-festival kesenian yang kerap diadakan di ibu negara juga merangsang industri kreatif negara. - gambar hiasan


HAKIKAT bahawa industri kreatif boleh menjadi satu daripada teras ekonomi negara mula diterima rakyat, terutamanya mereka yang memiliki bakat dan potensi kreatif untuk melakukan perubahan besar.

Menerusi pengiktirafan kerajaan bahawa industri kreatif boleh menjana pendapatan dan peluang kerja berserta dengan galakkan dan rangsangannya, terdapat kemunculan dan kebangkitan pelbagai aktiviti dalam bidang itu.

Ini lebih-lebih lagi apabila kerajaan, menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah merumuskan 11 strategi di bawah Dasar Industri Kreatif Negara untuk menjadikan industri ini lebih selaras, tersusun dan dinamik.

Dianggarkan industri kreatif menyumbang kira-kira 1.27 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK) negara pada 2008 dan objektifnya ialah untuk meningkatkan lagi sumbangan itu. Kebanyakan negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat mencatatkan sumbangan lebih tinggi terhadap PNK iaitu masing-masing 4.5 peratus dan 6.0 peratus.

Tidak banyak tumpuan diberikan sebelum ini mungkin kerana industri itu kurang dikenali dan potensi besarnya daripada segi ekonomi masih kabur. Tetapi kini keadaan adalah jauh berbeza berikutan langkah kerajaan mengambil perhatian akan potensinya selepas melihat pendirian proaktif yang diambil oleh negara-negara lain.

Ambil pembikinan filem, misalnya. Berikutan keputusan kerajaan memberikan status yang sama rata bagi insentif cukai kepada semua filem terbitan tempatan, sama ada dalam Bahasa Malaysia, Cina atau Tamil, asalkan 51 peratus hak milik filem itu dimiliki rakyat Malaysia dan 50 peratus diterbitkan atau dirakamkan di dalam negara, terdapat peningkatan dalam pembikinan filem di dalam negara.

Idea di sini adalah bukan sekadar membuat filem semata-mata hanya untuk mengeluarkan filem atau untuk memenuhi impian seseorang, tetapi ia mengenai menerbitkan filem buatan Malaysia yang mencapai tahap box-office, bukan hanya di dalam negara tetapi juga di luar negara.

Pendek kata, memerlukan perubahan cara berfikir dan inisiatif mengenai bagaimana menjadikan filem dan dokumentari buatan Malaysia boleh menarik penonton, sama ada menerusi kerjasama dengan pihak asing dan seumpamanya.

Beberapa langkah telah digerakkan berikutan gesaan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang tidak jemu-jemu menggalakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian, kepada agensi-agensi di bawah kementeriannya. "Perlu berinovatif dan berfikir di luar kebiasaan", merupakan ungkapan yang sinonim dengan dirinya.

Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas), telah bekerjasama dengan National Geographic Channels International (NGCI) untuk menerbitkan beberapa dokumentari pada durasi 60 minit mengenai pelbagai tokoh dan pembangunan di Malaysia.

Ini termasuk Becoming a King, SMART Tunnel, Fight Masters: Silat, Among the Great Apes with Michelle Yeoh dan A Leader's Legacy: Tun Abdul Razak yang memaparkan hasil kerja penerbit berbakat Malaysia.

Hakikat bahawa dokumentari berkenaan telah dihasilkan dengan jayanya membuktikan gabungan bakat-bakat dan kisah unik di Malaysia, suatu hakikat yang diakui oleh Naib Presiden Jualan Kandungan National Geographic Channel, Germaine Deagan.

Perkataan ajaib di sini ialah kreativiti. Mesejnya amat mudah: bagaimana untuk menceritakan kisah yang baik dengan bijak dan mampu menawan hati penonton.

Berikutan kejayaan Finas itu, agensi lain di bawah KPKK seperti Filem Negara (FNM) dan malahan RTM telah diminta menerbitkan dokumentari berkualiti tinggi yang boleh dieksport. Zaman sudah berlalu di mana dokumentari diterbitkan hanya untuk penonton tempatan.

Malahan Aswara atau Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, agensi di bawah KPKK, mengambil inisiatif untuk menjadi institusi pendidikan tempatan yang pertama menubuhkan fakulti khusus untuk penerbitan filem animasi, kata Rektornya, Datuk Dr. Mohamed Najib Dawa. Pengambilan pertama sebanyak 20 pelajar bagi kursus diploma tiga tahun itu bermula pada 18 Julai.

Keputusan Aswara itu konsisten dengan misi untuk mengeluarkan graduan yang diperlukan pasaran, kata Mohamed Najib, yang bangga bahawa 95 peratus graduan Aswara mendapat kerja sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Dan untuk menunjukkan betapa seriusnya Aswara dalam memastikan di manakah kedudukan pelajarnya apabila mereka tamat belajar nanti, ia baru-baru ini telah menjemput Raman Hui, pakar animasi popular yang terbabit dalam pembikinan filem animasi seperti Shrek dan Kungfu Panda bagi bengkel sehari.

Jika diperhatikan, tidak berlakunya kekurangan bakat dalam pelbagai bidang di negara ini. Ramai penyanyi Malaysia seperti Gary Chaw dan Ah Niu telah mencipta nama di Hong Kong, Taiwan dan China.

Baru-baru ini, Wan Muhammad Hazzim Wan Muhammad Zulkifli, 17, dari SMK Datuk Dol di Melaka mengalahkan ramai pelukis antarabangsa dalam pertandingan kerja seni untuk muka depan album Irisdescent kumpulan rock Linkin Park, yang lagunya telah dijadikan lagu tema filem Transformers: Dark Side of the Moon.

Baru-baru ini pelbagai komen muncul di media dan Internet membahaskan mengenai peruntukan dana kerajaan untuk membantu industri kreatif selepas Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), tersalah petik jumlah yang dibelanjakan bagi sambutan "Hari Seniman", majlis yang dikhususkan untuk artis tempatan.

Kurang daripada RM100,000 dibelanjakan bagi majlis itu, kata Modzaki Din, Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara di KPKK, bukannya RM100 juta seperti dinyatakan.

Untuk rekod, 97 permohonan bagi pinjaman berjumlah RM99.95 juta di bawah Tabung Industri Kreatif telah diluluskan setakat ini untuk membantu industri kreatif menjalankan aktiviti seperti penerbitan filem, animasi dan muzik, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) KPKK Datuk Ab. Ghaffar A. Thambi.

Sebanyak 60 permohonan bagi pinjaman RM88.4 juta di bawah tabung yang sama sedang dinilai.

Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, tabung itu ialah untuk membantu mereka dalam industri itu supaya produk dan perkhidmatan mereka dapat ditambah baik dan dieksport untuk menjana pendapatan kepada negara.

Tetapi tidak semua artis yang berjaya memerlukan bantuan kerajaan. Kalangan yang benar-benar kreatif tidak mempunyai mentaliti subsidi. Contoh terbaik ialah penyanyi kelahiran Miri, Zee Avi yang turut dikenali sebagai KokoKaina.

Penyanyi itu yang nama sebenarnya ialah Izyan Alirahman telah memanfaatkan sepenuhnya saluran You Tube untuk menjadi penyanyi popular di Amerika Syarikat dan Jepun. Dengan sudah memiliki satu album yang mendapat sambutan hangat, beliau bakal mengeluarkan satu lagi album bulan depan.

Seorang lagi penyanyi muda yang merupakan lulusan UiTM, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, juga memanfaatkan Internet untuk mendapatkan sokongan peminatnya. Dan dengan berbekalkan personaliti menarik dan fasih berbahasa Inggeris, beliau berjaya mendapatkan tajaan daripada beberapa syarikat besar seperti Canon, DiGi dan Malaysia Airlines untuk membiayai impiannya mengembangkan bakat nyanyiannya di luar negara.

Tiada batasan atau kekangan bagi golongan ini. Mereka tahu bahawa bakat dan kreativiti mereka mampu membawa mereka untuk menggapai impian mereka tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan. Bakat seperti inilah yang amat diperlukan oleh negara.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa senario kreatif tempatan, khususnya dalam kebudayaan dan kesenian, telah menyaksikan peningkatan aktiviti pada masa ini.

Tidak perlu pergi jauh untuk melihat impaknya. Festival KL yang sedang berlangsung mengetengahkan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan di venue seperti Istana Budaya dan Balai Seni Lukis Negara sehingga akhir bulan ini, satu lagi bukti kesungguhan kerajaan dalam mempromosikan industri kreatif. - BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bursa Malaysia masih kukuh

Posted:

Bursa Malaysia masih kukuh

Bursa Malaysia masih kukuh

RAMAI yang bergembira kerana Bursa Malaysia ditutup kukuh untuk setengah tahun pertama tahun ini. 30 indeks FBMKLCI ditutup di paras 1,579.07 naik 4.06 mata.

Lazimnya setengah tahun dan akhir tahun terdapat kegiatan memastikan indeks bursa ditutup tinggi kerana perkiraan di buku akaun untuk penutupan jangka masa kewangan syarikat. Dari segi prestasi kita di belakang Indonesia dan New Zealand.

Ada pendapat yang menyatakan penggal kedua tahun ini akan dipenuhi dengan beberapa kejutan. Ini disebabkan keadaan ekonomi global tidak lagi menentu terutama sekali negara China sedang mengawasi pertumbuhan perlahan di paras yang belum pernah dilihat sebelum ini. Beberapa langkah memperketatkan nisbah rizab berkanun yang sekarang di paras yang kurang selesa iaitu 21.5%.

Amerika Syarikat masih lagi berdepan dengan masalah penyelesaian belanjawan dengan Presiden Obama menyarankan meningkatkan cukai kepada golongan kaya dan ini menerima tentangan daripada pihak Republikan. Kemungkinan kerajaan mungkin berhenti beroperasi muncul sekiranya persetujuan tidak diperolehi.

Kesatuan Eropah masih lagi bergelut dengan masalah Greek yang mungkin diisytihar muflis bila-bila masa. Langkah-langkah penjimatan ditentang hebat rakyat kerana melibatkan pemotongan gaji dan beberapa kemudahan. Terdapat pandangan yang berbelah bagi di kalangan Bank Negara Eropah dan institusi penyelamat dan terakhir kemungkinan ada individu yang sanggup membantu.

Di bursa kita walaupun terdapat beberapa penyenaraian syarikat mega seperti baru-baru ini MSM dan tidak lagi Bumi Armada, hakikatnya banyak daripada syarikat yang tersenarai di bawah nilai aset sebenar.

Ini mungkin melemahkan semangat mereka yang melihat penyenaraian syarikat sebagai suatu usaha untuk memperbaiki kedudukan nilai modal pasaran syarikat mereka. Sudah terdapat beberapa syarikat seperti OSK dan AP Land yang memilih untuk dikeluarkan daripada penyenaraian. Pengalaman beberapa syarikat yang berdepan dengan penurunan harga senarai selepas disenaraikan pun tidak membantu suasana pasaran.

Keadaan yang mana kebanyakan institusi tempatan telah banyak terbabit dalam pasaran termasuk institusi seperti KWSP dan PNB yang menguasai sebahagian besar saham-saham syarikat dan juga syarikat milik kerajaan yang mewakili tidak kurang daripada 30% nilai modal pasaran agak mengehadkan kecairan dalam pasaran untuk lain-lain pelabur seperti pelabur asing memasukki pasaran.

Peranan satu-satunya bursa dalam pembangunan pasaran modal memang jelas walaupun kepada sesetengah syarikat dipandang sebagai suatu peluang untuk meminjam daripada institusi kewangan.

Pasaran modal harus berkembang untuk menjana pertumbuhan ekonomi supaya syarikat yang berpotensi boleh berkembang dan menyumbang kearah pertumbuhan ekonomi. Kalau terlalu banyak saham syarikat yang tersenarai terlalu terikat ini tentu sekali akan memberi kesan kepada para pelabur kerana pilihan kepada mereka tidak banyak.

Seperkara lagi kita akan sentiasa dibandingkan dengan pasaran lain baik serantau dengan kita mahupun diluar rantau kita. Pelabur hanya inginkan pulangan yang memuaskan sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Begitu mudah pelabur beralih tumpuan daripada satu pasaran ke satu pasaran dengan teknologi hari ini.

Walaupun ada usaha-usaha penggabungan yang cuba dilakukan oleh beberapa bursa saham di dunia tetapi bukan semuanya berjaya seperti Singapura dengan Australia dan London dan Kanada.

Ertinya kedaulatan negara masih lagi penting kepada negara. Perebutan untuk menjadi yang terbesar dalam pelbagai bidang akan terus berlaku.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved