Jumaat, 1 Julai 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Rahman B tulis skrip di rumah

Posted:

Rahman B tulis skrip di rumah

Rahman B tulis skrip di rumah

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN


RAHMAN B kini lebih banyak menghabiskan masanya berehat di rumah sambil menulis skrip bangsawan.


DALAM dunia seni pementasan bangsawan tanah air, nama Rahman B tidak perlu diperkenalkan lagi. Ini kerana, nama pejuang bangsawan berusia 81 tahun ini memang sinonim dengan seni tersebut. Rahman telah terbabit dalam bangsawan sejak tahun 1950.

Setelah 61 tahun menghambakan diri dalam bangsawan, Rahman B atau nama sebenarnya Abdul Rahman Abu Bakar tidak pernah jemu membabitkan dirinya dengan dunia itu. Biarpun sudah lanjut usia dengan kudrat yang tidak segagah enam dekad lalu, Rahman terus bersemangat.

Dia sehingga kini masih mampu mengarah bangsawan. Sayangnya, ekoran kurang pementasan bangsawan sejak kebelakangan ini menyebabkan Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Pak Rahman lebih banyak berehat di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Namun, masa yang terluang tidak disia-siakannya begitu sahaja. Sebaliknya, anak kelahiran Kapar, Klang, Selangor ini sering menghabiskan masa yang ada dengan menelaah buku-buku sejarah lama bagi mendapatkan ilham menulis skrip bangsawan yang baru.

Menurut bapa kepada enam anak dan mempunyi 28 cucu ini, dia gemar menulis sinopsis sebelum menghasilkan skrip bangsawan. Katanya, soal skrip yang ditulisnya itu akan dipentaskan ataupun sebaliknya, ia merupakan perkara yang kedua.

"Buat masa ini antara hobi saya ialah menulis skrip bangsawan. Setakat ini, saya telah menulis lebih 20 skrip bangsawan yang mana ia belum pernah dipentaskan lagi. Saya simpan dulu, mana tahu kalau ada rezeki ia akan dipentaskan kemudian," katanya kepada S3.

Katanya, buat masa ini dia sedang dalam proses menyudahkan skrip bangsawan terbaru tulisannya bertajuk Cindai Berdarah sambil dibantu oleh cucu sulungnya, Hussein Abdul Salam yang bertindak selaku penyunting serta pembantu dalam penghasilan karya tersebut.

Rahman yang mula berlakon bangsawan berjudul Tengku Sulong Mati Digantung pada 1950 berkata, pada usia emas itu dia juga banyak menghabiskan masanya berehat di rumahnya dengan melakukan pelbagai hobi.

Pemegang Ijazah Kehormat Sarjana Seni dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini misalnya, mempunyai hobi mengumpul senjata lama seperti keris, pedang, tombak, badik, tekpi, sundang dan parang.

Jelas Yang Dipertua Persatuan Seni Bangsawan Bintang Timur yang ditubuhkannya pada 1950 ini, hobinya itu bukan sahaja bagi mengisi masa lapang tetapi ia juga memberikan kepuasan kepadanya yang merupakan pengumpul barangan antik.

"Apabila bercakap tentang senjata purba seperti keris ia juga ada kaitan dengan budaya Melayu. Keris antara peralatan yang saya gunakan dalam pementasan bangsawan lakonan dan arahan. Ia banyak memberi inspirasi kepada saya dalam berkarya termasuklah menulis skrip.

"Saya kumpul semua senjata lama itu sejak berpuluh tahun lalu. Ada antaranya saya beli dan ada juga yang dihadiahkan oleh kawan-kawan saya. Semua itu ada kaitannya dengan budaya Melayu. Saya amat menghargainya sama seperti saya sayangkan seni bangsawan," tuturnya.

Rahman yang menerima anugerah Seniman Negara keenam pada 2004 daripada kerajaan dengan hadiah berupa wang tunai RM30,000 berbangga kerana pengiktirafan itu berdasarkan sumbangannya dalam memperjuangkan bangsawan.

Sayangnya, jelas penulis skrip, pengarah, pelakon dan juga pelukis komik ini, dia terkilan kerana tidak banyak usaha dilakukan oleh kerajaan terutamanya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bagi memperbanyakkan pementasan bangsawan.

Agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu katanya, sekadar menganjurkan pementasan bangsawan sebulan sekali di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur sehingga menyebabkan seni itu kurang berkembang.

Apatah lagi kata pelukis komik terkenal tahun 1970-an ini lagi, senario itu secara tidak langsung menyebabkan aktivitis bangsawan sepertinya tidak mendapat banyak peluang bagi terus mempopularkan lagi seni persembahan tersebut.

"Melalui Persatuan Seni Bangsawan Bintang Timur saya mempunyai sebanyak dua lori kostum untuk pementasan bangsawan di mana ia termasuk set pentas dan prob. Sementara itu, saya juga mempunyai koleksi pakaian bangsawan sebanyak dua van muatannya.

"Saya meletakkan semua barangan itu di sebuah stor di Rawang, Selangor yang saya sewa dengan kadar RM700 sebulan. Tetapi saya tidak banyak menggunakan semua kemudahan itu dan kalau ada pun tawaran mementaskan bangsawan ia cuma datang setahun sekali," jelasnya.

Pelukis 18 buah cerita komik yang antaranya berjudul Pedang Sakti, Wak Bekam Di Kampung Tembaga, Naning Berdarah dan Menuju Ke Neraka yang popular pada tahun 1970-an ini berharap JKKN akan lebih proaktif dalam membantu aktivis teater sepertinya.

Rahman yang pernah berlakon dalam filem seperti Semambu Kuning, Amuk Tok Nadim dan Iman di Singapura pada tahun 1950-an hingga 1960-an menambah, dia akan terus berjuang mempopularkan seni bangsawan sehingga ke akhir hayatnya.

"Selagi hidup selagi itulah dunia bangsawan tidak boleh dipisahkan daripada jiwa saya. Kalau boleh saya mahu bangsawan di Malaysia sama popularnya dengan seni bnagsawan tradisional Jepun iaitu Kobuki yang terus bertahan dan diminati generasi muda di sana.

"Sebab itu, walaupun kurang peluang mementaskan bangsawan tetapi saya akan terus berkarya termasuklah menghasilkan sebanyak mungkin skrip. Ia bukan sahaja untuk kepuasan diri tetapi juga sebagai salah satu khazanah peninggalan saya kelak," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Buku lakaran kuatkan memori

Posted:

Buku lakaran kuatkan memori

Buku lakaran kuatkan memori

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my.
Gambar MOHD. NAIM AZIZ


KARYA terbaru Yusof Ghani lebih kepada landskap visual berbanding dengan siri ulasan sosial dalam karya sebelum ini.


BUKU lakaran (sketch book) yang merupakan sebuah buku lukisan kosong boleh diibaratkan sebagai peralatan paling asas buat pelukis selain pensel, pewarna dan berus lukisan.

Sebelum menghasilkan sebuah lukisan, kebanyakan pelukis menggunakan buku tersebut untuk melakar apa yang ingin dilukis terlebih dahulu.

Kemudian hasil lakaran tersebut akan digunakan sebagai panduan pelukis itu sendiri.

Buku itu juga sebenarnya banyak membantu pelukis-pelukis untuk memantapkan lagi kebolehan melukis atau mewarna.

Bagaimanapun, pada hari ini ia jarang digunakan lebih-lebih lagi setelah pelbagai teknologi dicipta untuk memudahkan pelukis-pelukis mendapatkan bahan rujukan.

Contohnya seperti penggunaan kamera digital. Pelukis zaman kini lebih banyak menggunakan gambar yang diambil untuk merekodkan tarikh, rujukan atau panduan untuk lakaran dan kegunaan lain.

Bagi pelukis tersohor, Yusof Ghani, buku lakaran merupakan peralatan penting yang digunakan setiap kali melakar gambar-gambar yang ingin dihasilkan.

Beliau berkata, berbanding dulu, kebanyakan pelukis pada zaman ini menggunakan kamera digital untuk merakamkan gambar-gambar yang ingin dilukis.

Bagaimanapun, kaedah moden itu tidak digemari beliau, sebaliknya lebih berbangga untuk menggunakan kaedah lama, melakar dalam buku lakaran.

"Buku lakaran banyak membantu saya untuk menyimpan memori yang saya lihat. Malah dengan kaedah melakar, memori dan kemahiran saya semakin bertambah baik," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kerja terbarunya yang bertajuk Taman di Galeri Seni Puncak baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Datuk Mohd. Yusof Ahmad, kolektor seni dan penggiat seni visual tempatan bagi memeriahkan majlis tersebut.

Seperti yang diketahui ramai, Yusof banyak menghasilkan karya-karya bertemakan isu-isu sosial dan alam sekitar.

Pengalaman selama 30 tahun sebagai seorang artis membolehkannya menghasilkan karya-karya agung seperti dalam siri Tari, Topeng, Wayang, Segerak, Biring dan Wajah.

Manakala siri lukisan Hijau dan Ombak pula, lebih memberikan tumpuan terhadap isu-isu berkaitan dengan sifat dan persekitaran.

Dalam siri terbarunya (Taman), landskap visual menjadi isi utama, berbanding dengan ulasan sosial dalam siri sebelum ini (Hijau dan Ombak).

Taman juga mencerminkan penerokaan terhadap kepercayaan kuat seniman itu terhadap keperluan penerokaan perjalanan seninya.

Kerja seni dalam siri Taman itu juga dihasilkan oleh Yusof berdasarkan pengalaman peribadinya ketika mengembara ke tiga taman bandar raya utama di Amerika Syarikat dan Eropah baru-baru ini.

Dalam pengembaraannya selama empat bulan itu, Yusof mengambil peluang untuk melawat Central Park di New York, Hyde Park di London dan St. Denis di Paris.

Ketika berada di sana, beliau memerhatikan detik-detik dan mengkaji struktur warna yang terdapat pada ketiga-tiga taman tersebut yang kemudiannya dijelaskan dalam siri terbarunya itu.

Kesemua karya Taman kaya dengan lapisan warna-warni yang memenuhi segenap ruangan atmosfera dalam lukisan itu yang menjelaskan babak-babak ketika musim sejuk serta pemilihan warna menjadi gambaran kepada bandar-bandar tersebut dengan gabungan berunsur misteri dan mistik pada musim itu.

Yusof menggunakan gaya ekspresif dengan strok berus yang menghasilkan suasana spontan dalam lukisan.

Selain itu, beliau juga menggunakan teknik warna bercampur dan warna tulen tidak bercampur untuk mendapatkan kesan khas pada pencahayaan.

"Saya banyak mengembara dan tengok dunia luar. Peluang melihat apa yang berlaku membuatkan saya suka menghasilkan sesuatu yang bersifat universal seperti isu-isu semasa yang lebih global.

"Sebab itu saya ke taman-taman tersebut dan berdasarkan apa yang saya lihat dengan suasana sayup ketika musim sejuk memberikan sumber inspirasi untuk saya melakar dan apabila saya pulang ke Malaysia, idea untuk menghasilkan tema ini datang dengan sendirinya.

"Kehidupan ini umpama roda. Ada kalanya kita bersedih dan gembira tetapi perasaan itulah yang saya ingin pamerkan dalam kerja terbaru ini selain cuba untuk terokai tingkah laku manusia berdasarkan seni yang merupakan bahasa universal," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved