Isnin, 6 Jun 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Pelihara kerukunan masyarakat

Posted:

Pelihara kerukunan masyarakat

Pelihara kerukunan masyarakat

Oleh MARZITA ABDULLAH
utusanperlis@utusan.com.my


Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) bersama Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Perlis 2011 sambil diperhatikan oleh Azman Amin Hassan (kiri) di Taman Merdeka, Kangar, semalam.


KANGAR 5 Jun - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan setiap pemimpin agar tidak memberi pandangan, keputusan dan perancangan atau tindakan yang boleh menjurus ke arah perpecahan.

Sebaliknya, titah baginda, setiap yang keluar dari mulut pemimpin mestilah ke arah perpaduan dan penyatuan untuk mengukuhkan lagi jati diri negara bangsa.

Baginda bertitah, pemimpin tersebut merangkumi semua peringkat sama ada agama, politik, masyarakat, kaum mahupun sukan.

"Semua rakyat Malaysia berbilang kaum dan keturunan mestilah berfikiran matang dan perlu ingat bahawa perbalahan yang membawa persengketaan sesama sendiri akan hanya membawa lebih keburukan dan kerugian bukan sahaja kepada kita sendiri, malahan yang lebih buruk kesannya akan turut melibatkan negara yang kita cintai," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis sambutan Minggu Perpaduan peringkat Perlis sempena ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Taman Merdeka di sini, hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Dalam pada itu, baginda bertitah, peranan memupuk perpaduan perlu ditekankan kepada generasi muda, terutama dari peringkat sekolah dan peranan ibu bapa mengingatkan anak masing-masing tentang kepentingan permuafakatan dan kerjasama.

"Negara kita sangat memerlukan perpaduan kaum, kerana ia merupakan senjata utama dalam menghadapi musuh negara.

"Oleh kerana itu, beta menyeru kita semua agar sentiasa insaf dan mengambil iktibar dengan apa yang telah dan sedang terjadi di sesetengah negara yang rakyatnya sesama bangsa malah seagama bergaduh," titah baginda.

Baginda bertitah, akibat kejadian tersebut ia membawa kepada kehancuran dan penderitaan yang tidak berkesudahan, malah rakyat menjadi lemah dari segi keyakinan, semangat, perpaduan dan ilmu pengetahuan.

Titah baginda, rakyat perlu sentiasa berkumpul dan mengadakan percambahan minda untuk merancang kegiatan kejiranan bagi mengelakkan proses perpecahan daripada terus berlaku.

"Saya tidak mahu terdapatnya individu dalam masyarakat yang hanya wujud secara berseorangan mengikut falsafah 'aku-aku', 'hang-hang' tanpa menyertai kegiatan yang coraknya berkelompok dan saling bantu membantu," titah baginda.

Titah Raja Muda Perlis lagi, masyarakat yang mempunyai satu negara, satu bahasa yang sama dan satu kebudayaan akan mempunyai identiti sama yang akan diiktiraf sebagai satu bangsa.

"Ke mana sahaja kita pergi, kita tidak akan dikelirukan dengan bangsa-bangsa lain dan apabila adanya pengiktirafan ini maka wujudlah bangsa Malaysia yang sebenar," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pelajar SMP Methodist Ipoh juara kenali ASEAN

Posted:

Pelajar SMP Methodist Ipoh juara kenali ASEAN

Pelajar SMP Methodist Ipoh juara kenali ASEAN

IPOH 5 Jun - Pelajar Sekolah Menengah Perempuan Methodist Ipoh, R. Charroogesinee diumum sebagai juara Pertandingan Pengucapan Awam Program Kenali ASEAN yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia di sini, hari ini.

Pelajar tingkatan empat itu menewaskan 17 peserta lain yang mengambil bahagian dalam pertandingan yang melibatkan lapan sekolah menengah di bandar raya ini di sebuah kompleks beli-belah di sini.

Anak bongsu daripada dua beradik kepada pasangan V. Radhakrishnan dan A. Ambiga itu berjaya meyakinkan para hakim menerusi pengucapannya yang bertajuk Menghubungkan ASEAN Melalui Muzik dan Budaya.

Charroogesinee yang telah menjadi wakil sekolah dalam pertandingan pengucapan awam setiap tahun sejak berada di tahun empat lagi, membawa pulang wang tunai RM300, piala, hamper dan sijil penyertaan.

"Ini bukan kali pertama saya menyertai pertandingan sebegini. Pada 2006, saya mewakili Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) St. Philomena Convent, Ipoh ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan pengucapan awam untuk peringkat sekolah rendah.

"Saya suka bercakap dan berhasrat meneruskan pengajian dalam bidang penyiaran di Singapura atau United Kingdom (UK) satu hari nanti untuk menjadi seorang wartawan penyiaran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Perhubungan Antarabangsa, Jabatan Penerangan Malaysia, Mohammad Kamal Mat Noor.

Penganjuran Program Kenali ASEAN yang masuk tahun ketiga pada tahun ini turut diadakan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perak, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Lembaga Kraftangan Malaysia serta Perak FM.

Selain pengucapan awam, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuklah pameran foto ASEAN, kuiz dan jingsaw puzzle ASEAN, pertandingan mewarna kenali ASEAN, pertandingan bercerita ASEAN dalam bahasa Inggeris serta pertandingan nyanyian bintang patriotik.

Program tahunan yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu itu antara lain bertujuan mendidik kefahaman orang ramai mengenai ASEAN dan ia bakal diteruskan pada tahun depan di Kuantan, Pahang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ops Sepadu: 12 kenderaan disita, 288 disaman

Posted:

Ops Sepadu: 12 kenderaan disita, 288 disaman

Ops Sepadu: 12 kenderaan disita, 288 disaman

BUTTERWORTH 5 Jun - Sebanyak 12 buah kenderaan disita dan 288 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dalam Ops Sepadu yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar ini, semalam.

Operasi tiga jam mulai pukul 12.30 tengah malam itu disertai oleh enam pegawai dan 73 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Wan Aziz Wan Hussain yang mengetuai operasi tersebut berkata, 257 saman dikeluarkan oleh polis, empat oleh JAS dan 27 lagi oleh JPJ.

Selain itu, katanya, JPJ turut mengeluarkan 76 notis untuk pemeriksaan lanjut kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

''Sepanjang operasi itu, 10 motosikal dan kereta disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

''Selain itu, seorang lelaki turut ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu iaitu kesalahan di bawah Seksyen 108 (E) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wan Aziz berkata, antara kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai nombor pendaftaran kenderaan dan motosikal tidak dilengkapi cermin sisi.

Beliau memberitahu, dalam operasi itu, empat pasangan turut ditahan oleh JHEAIPP atas kesalahan berkelakuan kurang sopan di tempat awam.

''Kita akan terus memperbanyakkan operasi di kawasan tertentu bagi membolehkan pemandu dan penunggang motosikal mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved