Khamis, 23 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


PPP terus berjuang

Posted:

PPP terus berjuang

PPP terus berjuang

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

BERJUANG untuk keadilan, kesaksamaan dan membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Itulah asas perjuangan yang akan diteruskan oleh parti yang pada asalnya dikenali dengan nama Parti Progresif Penduduk tetapi telah dijenama semula dengan panggilan 'PPP' sahaja.

Tiada sebarang perubahan yang akan dibuat memandangkan asas perjuangan parti yang ditubuhkan pada 1953 adalah selaras dengan gagasan dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Selaras dengan asas perjuangan itu, semua usul yang akan dibawa untuk diluluskan pada Perhimpunan Agung PPP Ke-58 pada Ahad ini akan dipastikan mempunyai matlamat mewujudkan rakyat yang bersatu-padu dan tidak mempunyai unsur-unsur perkauman.

''Kita tak nak usul yang sama atau yang berkaitan dengan kaum atau isu-isu sensitif kerana ia tidak akan membawa kebaikan kepada negara kita.

''Sebaliknya, kita mahukan usul yang dibawa adalah bernas untuk kemajuan negara dan rakyat keseluruhannya," jelas Presidennya, Datuk Seri M. Kayveas dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di Wisma PPP, Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang berbincang kemungkinan memasukkan usul mengenai masalah yang dihadapi rakyat yang berpunca daripada tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menekan mereka dan mengamalkan rasuah.

''Pengalaman saya sebagai bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berurusan dengan PBT membuatkan saya tahu bahawa perkara ini memang berlaku.

''Jika ini tidak diatasi, ia akan menyebabkan rakyat menolak Barisan Nasional (BN) kerana mereka menganggap BN dan PBT adalah sama seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan," katanya.

Menyentuh mengenai perhimpunan yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu, beliau menjelaskan, majlis itu tidak melibatkan sebarang pemilihan jawatan kerana ia dijalankan setiap lima tahun sekali.

Perhimpunan yang akan dihadiri 2,300 perwakilan dan 3,500 pemerhati bakal dirasmikan oleh Najib yang juga Pengerusi BN. Ia turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ia berbeza dengan pemilihan sayap Pemuda dan Wanita yang diadakan setiap tiga tahun sekali. Perhimpunan Agung Pemuda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Kuala Lumpur pada Jumaat ini akan menyaksikan pertandingan untuk 25 jawatan termasuk ahli jawatankuasa dan naib-naib ketua. Bagaimanapun, tiada pemilihan untuk jawatan Ketua Pemuda kerana penyandang, Harridz Mohan Abdullah telah menang tanpa bertanding.

Perhimpunan Agung Wanita pula akan diadakan pada Sabtu ini di PWTC. Ia melibatkan pemilihan untuk semua 28 jawatan termasuk Ketua Wanita yang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandang, Datin Josephine Anne dengan Ketua Wanita Perak, Leong Pe Lee.

Mengulas mengenai perhimpunan di peringkat parti induk, beliau berkata, semua pembahas telah diminta mempamerkan tahap disiplin yang tinggi dan tidak membangkitkan isu berkaitan kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

''Untuk ahli PPP, saya selalu mengingatkan mereka bahawa tiada siapa yang lebih besar daripada parti. Parti adalah lebih besar berbanding apa yang seseorang individu itu mahu atau suka.

''Sebab itu mana-mana ahli yang melanggar Perlembagaan parti, hendak jatuhkan parti atau pemimpin tanpa apa-apa alasan yang kukuh, sebaliknya hanya untuk kepentingan peribadi, kita akan ambil tindakan disiplin termasuk pecat," ujarnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai adakah PPP yang mempunyai 577,000 ahli akan membuat permintaan supaya diperuntukkan sejumlah kerusi untuk parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, beliau menjelaskan, pihaknya tidak akan berebut-rebut meminta kerusi.

''Pada pilihan raya akan datang tidak akan ada satu kerusi pun yang kita boleh kata selamat. Sebab itu, langkah untuk memilih kerusi dan calon adalah begitu sukar untuk dibuat oleh Perdana Menteri.

''Kita tak nak Perdana Menteri pening dengan membuat bermacam-macam permintaan, jadi kita serah kepada Datuk Seri Najib dan BN untuk membuat keputusan adakah PPP layak mendapat kerusi dan adakah calon parti ini berpeluang untuk menang," katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, sebarang keputusan yang akan dibuat itu harus mengambil kira kejayaan PPP mendaftar 70,000 golongan muda berusia di bawah 40 tahun sebagai ahli dan pengundi baru dalam tempoh enam bulan bermula Disember tahun lalu.

Tambah beliau, mana-mana individu yang masih melobi untuk menjadi calon walaupun telah ditolak rakyat dan tidak mendapat sokongan daripada parti sendiri tidak harus dicalon semula kerana ia akan menyebabkan orang ramai marah kepada BN.

''Jika pemimpin terbabit bijak dan kuat bekerja tetapi kalah akibat tsunami politik sudah sewajarnya beliau dipilih semula untuk menjadi calon,'' ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Demonstrasi oh! demonstrasi

Posted:

Demonstrasi oh! demonstrasi

Demonstrasi oh! demonstrasi

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Sosiologi Politik Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya

BERBICARA tentang demonstrasi atau demonstrasi berkonsepkan jalanan ini membawa kepada sebuah fenomena yang sudah lama sebati dalam jiwa masyarakat Malaysia. Namun begitu, merujuk kepada Perlembagaan Malaysia dalam Artikel 10, menghujahkan bahawa rakyat negara ini berhak mengadakan demonstrasi secara aman.

Isu demonstrasi ini sentiasa mendapat perhatian serius semua pihak dan sesetengahnya mempunyai tanggapan bahawa demonstrasi merupakan 'malapetaka' yang berupaya merencatkan perjalanan demokrasi negara sekiranya berlaku dalam keadaan melangkaui batas peraturan dan undang-undang.

Senario demonstrasi lokal bukan satu perkara baru yang sering diperdebatkan akibat daripada pelbagai faktor yang cuba menghalang dan melaksanakan demonstrasi yang dirancang.

Tanah Melayu sudahpun berdepan dengan konsep demonstrasi jalanan sewaktu Dato' Onn Jaafar menyeru supaya orang Melayu bangkit untuk bersatu memperjuangkan kebebasan daripada kemelut kolonialisme pada 1946. Batu Pahat, Johor merupakan medan di mana rakyat menyaksikan seramai 15,000 orang berhimpun untuk menentang Malayan Union pada ketika itu di bawah pimpinan beliau.

Ternyata, rakyat Tanah Melayu sudah mula berdemonstrasi pada era itu dalam konteks yang bermatlamatkan perjuangan bangsa dan tanah air demi kepentingan masa depan.

Perdebatan dan pertelingkahan yang sukar dicapai hingga ke hari ini tentang demonstrasi telah membuahkan pelbagai spekulasi negatif apatah lagi orientasi positif dalam melihat keperluan menjalankan demonstrasi pada masa kini.

Justeru, mengikut Islam berhimpun dan mengadakan demonstrasi dengan menunjuk perasaan secara aman adalah salah suatu tindakan sah dari segi syara' dan undang-undang untuk menyatakan penentangan terhadap kemungkaran.

Ia suatu pendekatan yang berkesan di mana demonstrasi itu diadakan demi mempertahan kebenaran serta membuktikan kepada orang zalim yang ditentang itu kesedaran tentang perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Sebagai contoh, penentangan terhadap kezaliman, perjuangan agama, dan sebagainya. Motif atau matlamat sesebuah demonstrasi yang bakal diadakan perlu menjadi asas utama kepada perjalanan perjuangan dalam demonstrasi tersebut.

Sebagai contoh yang dinyatakan oleh Lawrence Anak Tumpang (2008/2009), demonstrasi besar-besaran di seluruh pelosok dunia telah menghasilkan perkara positif di beberapa buah negara sepanjang sejarahnya.

Antaranya, kejayaan terakhir yang terbesar ialah kejayaan demonstrasi rakyat Afrika Selatan sehingga berjaya mencapai kemerdekaan negara mereka. Sementara itu, di Indonesia pula, rakyat berjaya meruntuhkan kekuasaan Suharto yang korup dan digantikan dengan pemerintahan era reformasi golongan Orde Baru.

Adakah Perhimpunan Bersih yang bakal berlangsung pada 9 Julai nanti merupakan sebuah parameter untuk menunjukkan keprihatinan masyarakat terhadap sesebuah isu? Yang terkini pula, ada pula pemimpin-pemimpin politik tertentu yang mahu memperlihatkan diri mereka sebagai hero penyelamat kepada agenda nasional dan mempertahankan nasib seluruh rakyat Malaysia menjadi semakin meriah menjelang tarikh itu.

Walaupun ramai pihak menyuarakan supaya perhimpunan itu dibatalkan, masih ramai penyokong yang mempertahankan pendirian mereka tentang perhimpunan Bersih ini.

Berbalik kepada isu demonstrasi ini, tuntutan dan desakan diutarakan oleh kumpulan Bersih ini yang suatu ketika diadakan pada 2007 mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menyasarkan 100,000 orang berhimpun menegakkan bahawa SPR tidak bersikap adil dan telus.

Perkara sama diperjuangkan oleh Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil pada kali ini diperhebatkan lagi. Malah, ia ditegaskan oleh Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevesan bahawa beliau akan tetap meneruskan perhimpunan itu.

Perkara yang masih tidak mencapai kata putus ini telah diserahkan oleh Menteri Dalam Negeri kepada pihak polis untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu semua warga kota tentang penyelesaiannya. Walaupun banyak laporan polis dibuat tentang perhimpunan itu, ia seperti tiada jalan akhir melainkan menyaksikan perhimpunan beramai-ramai pada tarikh dijanjikan.

Sejauh mana perhimpunan sebegini boleh mengubah lanskap politik tanah air? Pelbagai impak boleh diperolehi daripada situasi ini sama ada positif mahupun negatif. Perhimpunan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang dan berlaku secara aman tidak membawa masalah kepada mana-mana pihak perlu dibenarkan tetapi setakat mana perjanjian bahawa tidak akan berlaku kerosakan, kemusnahan, pergaduhan sepanjang perhimpunan tersebut masih boleh dipertikaikan.

Demonstrasi jalanan yang dipilih pada kali ini bagi menuntut keadilan yang sepatutnya daripada pihak yang terlibat dalam perhimpunan ini merupakan sebuah fiesta yang cuba membina jaringan sosial sehingga membibitkan persepsi dan imej politik lokal secara umum.

Walaupun demonstrasi ini dinasihatkan dan ditegaskan supaya dibatalkan, proses terakhir bagi pihak yang memilih pendekatan ini melihat bahawa inilah demokrasi kontemporari yang bersesuaian dengan kehendak rakyat Malaysia bagi menunjukkan perjuangan ala-mereka.

Perhimpunan sebegini perlu dipantau dan dipandu oleh sebuah badan yang pakar dalam menjalankan demonstrasi terbuka ini mengikut landasan betul dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga sehingga menjejaskan masyarakat yang tidak berdosa.

Imej bersih yang dibawa perlulah bersih dan tidak menconteng arang pada muka sendiri dan mencemarkan kedaulatan Malaysia secara umumnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved