Isnin, 20 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Anwar Ibrahim kuasai Bersih?

Posted:

Anwar Ibrahim kuasai Bersih?

Anwar Ibrahim kuasai Bersih?

Oleh NIZAM YATIMnizam.yatim@utusan.com.my

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin sekali lagi 'membuat janji' bahawa perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini akan dibatalkan jika segala syarat yang ditetapkan pihaknya dipatuhi kerajaan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau akan meminta Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga membatalkan perhimpunan itu sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa pilihan raya umum akan dijalankan secara bersih dan adil.

Janji itu dibuat ketika berucap di hadapan lebih 2,000 ahli PKR yang menghadiri satu konvensyen pilihan raya anjuran parti itu di Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Anwar berlagak seolah-olah beliau boleh menentukan jadi atau tidak jadi perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini. Kalau Najib tidak ikut cakapnya, himpunan itu akan diteruskan.

Apa yang menjadi persoalan ialah Anwar sudah mengambil peranan Ambiga. Dan sikap Anwar itu ditegur oleh bekas Presiden Majlis Peguam itu, "Kami telah memutuskan untuk mengadakan perhimpunan itu dan kamilah yang akan memutuskan sama ada hendak mengadakannya ataupun tidak."

Ambiga tidak perlukan Anwar dan PKR kerana Pas sudah cukup komited dengan Bersih 2. Pas juga tidak 'curi' Bersih untuk kepentingan diri.

Bagaimana pula dengan kelayakan Anwar untuk berlagak seperti hero bagi memperjuangkan pilihan raya bersih, sedangkan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada November tahun lalu telah dicemari dengan pelbagai penyelewengan.

Masyarakat masih ingat bagaimana ia berpunca daripada tindakan Anwar sendiri yang berpihak kepada 'anak emas' beliau, Azmin Ali yang bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Perkara itu diakui sendiri oleh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd. Nor yang menegaskan, Anwar tiada hak meminta Perdana Menteri menjamin pilihan raya yang adil bagi membolehkan perhimpunan haram Bersih ditangguhkan.

''Kita telah saksikan sendiri betapa rosak dan tempangnya proses pilihan raya PKR. Sehinggakan hari ini, semua isu besar yang ditimbulkan calon-calon yang bertanding masih tidak dijawab," katanya.

Apa yang disebut oleh Ezam itu ada kebenarannya jika dilihat keputusan bekas ahli MPP parti itu, Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden dan melepaskan semua jawatan dalam parti. Beliau kemudiannya keluar daripada PKR.

Ketika mengumumkan keputusan itu pada 8 November lalu, peguam yang sentiasa berpegang kepada nilai demokrasi dan tadbir urus yang baik berkata, beliau bertindak sedemikian kerana pucuk pimpinan parti secara aktif membenarkan berlakunya penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan.

Zaid berkata, beliau tidak boleh meneruskan perjuangan dalam pemilihan yang cacat kerana yakin, parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit tidak mampu menawarkan sebarang pembaharuan bermakna kepada rakyat.

Zaid bertindak sedemikian setelah beberapa kali keputusan pengundian yang sebelum ini menunjukkan beliau mendahului Azmin terpaksa diubah oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail atas alasan silap kiraan.

Membuat desakan sama ialah seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, yang menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguh sehingga tindakan proaktif diambil bagi membaiki segala penyelewengan.

Turut tidak berpuas hati ialah calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shaharin yang telah menulis sepucuk surat kepada Presiden PKR , Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendakwa Ketua Cabang Kota Marudu telah dihubungi oleh Anwar sendiri yang 'mengarahkan' sokongan kepada calon tertentu.

Selain kekecohan ketika pemilihan MPP, mesyuarat memilih kepimpinan cabang pada September dan Oktober lalu turut penuh dengan kontroversi termasuklah kerusi berterbangan, dakwaan penggunaan samseng dan penipuan kertas undi.

Di Cabang Kota Raja misalnya, calon Ketua Cabang, S. Kottapan mendakwa ditumbuk oleh penyandang jawatan itu, Dr. Xavier Jayakumar.

Pergaduhan besar juga berlaku di Cabang Sabak Bernam, Klang dan Kuala Langat apabila kotak-kotak undi dipecah manakala kerusi dibaling.

Insiden tolak-menolak turut berlaku di Cabang Hulu Selangor apabila 100 ahli parti itu bertindak menghalang sebuah kereta yang membawa kertas undi memasuki pekarangan dewan pengundian.

Perkara sama berlaku di Cabang Bayan Baru apabila ramai ahli tidak berpuas hati kerana kertas fotostat dibenarkan digunakan sebagai kertas undi.

Berdasarkan rentetan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan PKR, kita ingin bertanya adakah parti itu akan turut sama memenuhi segala tuntutan yang dibuat oleh Anwar dan Bersih terhadap kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)?

Antara tuntutan itu adalah bersihkan senarai undi, akses media yang bebas serta adil, hentikan rasuah dan politik kotor. Jika tidak, ia ibarat 'meludah ke langit, kena muka sendiri'.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pilihan raya masjid hanya undang ‘permusuhan’

Posted:

Pilihan raya masjid hanya undang 'permusuhan'

Pilihan raya masjid hanya undang 'permusuhan'

Khabar dari Geogetown

PENANGGUHAN 'pilihan raya masjid' yang pertama kali mahu diadakan di negeri ini ternyata melegakan banyak pihak.

Umum mengetahui dan tidak perlu rasanya dinyatakan secara panjang lebar apa kesannya terhadap masyarakat Islam jika kaedah itu dilaksanakan.

Bagi Yang Dipertua Persatuan Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff, beliau tidak mahu perpecahan di kalangan orang Melayu berikutan perebutan jawatan dalam pentadbiran masjid pada 1980-an berulang.

Lantas beliau menceritakan kepada penulis mengenai corak pentadbiran institusi masjid di negeri ini sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan sehinggalah sekarang supaya masyarakat faham kenapa pelaksanaan kaedah tersebut perlu dielakkan.

Menurutnya, semasa zaman penjajahan, hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dikendalikan oleh Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang.

Bagaimanapun, badan itu tidak mempunyai kuasa terhadap wakaf-wakaf termasuk masjid dan surau yang banyak terdapat di negeri ini.

Segala wakaf ditadbir oleh Lembaga Wakaf Orang Islam dan Hindu yang dipengerusikan oleh Pemungut Hasil Tanah yang merupakan 'orang putih' dengan orang Islam serta Hindu menjadi anggota lembaga itu.

"Selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Perikatan Pemuda Pulau Pinang mencadangkan supaya pentadbiran bagi orang Islam dan Hindu dalam lembaga tersebut diasingkan.

"Ketika itu saya merupakan Setiausaha Perikatan Pemuda Pulau Pinang dan kami berpendapat sudah tiba masa ditubuhkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP)," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dua tokoh Melayu, iaitu bekas majistret, G.M. Yusoff dan Pesuruhjaya Haji, Ali Rouse ditugaskan untuk merangka perlembagaan MAIPP. Usul berkenaan kemudiannya dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu diluluskan penubuhan MAIPP pada 1959.

G.M. Yusoff telah dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPP pertama manakala Ali Rouse sebagai Setiausaha Kehormat majlis tersebut.

Abdullah Fahim, iaitu datuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pula menjadi Mufti Pulau Pinang yang pertama. Sejak itu, segala urusan pentadbiran masjid diselia oleh MAIPP.

Mohd. Yussof memberitahu, pada awal 1960-an, MAIPP merancang untuk melantik ahli jawatankuasa kariah bagi mengurus masjid secara lebih sistematik.

"Sebelum itu, segala urusan pentadbiran masjid dikendalikan oleh orang kampung sendiri seperti imam dan penghulu. Jawatan-jawatan tersebut pula biasanya diperturunkan dari generasi ke generasi," ujarnya.

Bagaimanapun, bukan mudah bagi MAIPP pada peringkat permulaan untuk membuka minda penduduk kampung supaya menerima kaedah baru itu.

Sesi penerangan ke seluruh masjid dilakukan bagi memaklumkan kepada masyarakat mengenainya. Namun, usaha tersebut akhirnya berjaya dan pemilihan jawatankuasa kariah masjid ala pilihan raya pun diperkenalkan.

Sehinggalah pada sekitar 1980-an, unsur berpuak-puak mula menjalar di kalangan kariah. Ketika itu masjid dilihat sebagai institusi yang kukuh dari segi kewangan dan mempunyai pengaruh kepada masyarakat.

Bagi calon, jika terpilih maka ada 'habuan' yang menanti mereka seperti elaun dan kemudahan-kemudahan lain termasuk kuasa. Maka berlakulah perebutan kerusi jawatankuasa kariah masjid sehinggakan pernah berlaku calon membawa 'pengundi-pengundi hantu' dengan bas untuk mengundinya.

Akibatnya, bibit-bibit perpecahan menular di kalangan penduduk kampung seperti boikot-memboikot kenduri berikutan perbezaan 'parti'.

Bagi mengelak institusi masjid tercemar dan demi menjaga perpaduan masyarakat Islam, Exco Agama ketika itu, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar diberikan tanggungjawab merangka kaedah baru supaya proses pemilihan diadakan secara lebih demokrasi dan terkawal.

"Maka dicadangkan bagi setiap penggal baru, jawatankuasa sedia ada mengadakan mesyuarat agung dan mengemukakan senarai 15 calon termasuk dua wanita kepada MAIPP untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa kariah masjid.

"Kaedah inilah yang diguna pakai sehingga sekarang tanpa sebarang pertelingkahan di kalangan ahli kariah," jelasnya.

Justeru, tidak hairanlah apabila perkataan 'syukur' keluar daripada Mohd. Yussof sebaik-baik menerima berita menerusi panggilan telefon bahawa proses pilihan raya masjid ditangguhkan atas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Jumaat lalu.

Pastinya beliau tidak mahu 'parah' yang berlaku ke atas masyarakat Islam di Pulau Pinang sekitar 1980-an berulang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved