Sabtu, 5 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


10 rumah setinggan terbakar

Posted: 04 Apr 2014 11:39 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Md. Joy ( kiri ) bersama rakannya, Md. Jalil mencari barang yang mungkin selamat setelah rumah yang mereka huni musnah dalam kebakaran rumah setinggan di Alor Setar, semalam. - Ihsan Rakan media

ALOR SETAR 4 April - Sebanyak 10 buah rumah musnah dalam kebakaran perumahan setinggan berdekatan pasar pagi dikenali sebagai pasar cowboy di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 pagi itu, api marak dengan begitu pantas memusnahkan tujuh buah rumah di situ yang ber-

penghuni manakala tiga buah lagi kosong.

Seorang mangsa yang merupakan warga Bangladesh, Md. Joy, 30, berkata, dia terpaksa melupakan hasrat untuk pulang ke Dhaka pada 25 April ini selepas semua harta bendanya termasuk hadiah yang dibeli untuk isteri dan keluarganya iaitu televisyen 32 inci, telefon bimbit, pakaian dan barang kosmetik terbakar.

Wang tunai sebanyak RM3,500 yang saya kumpul sejak lebih dua bulan lalu turut hangus.

Sekarang saya tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa bekerja keras lagi untuk kumpul wang sebelum boleh pulang bertemu ibu, isteri dan ahli keluarga lain," kata-

nya ketika ditemui di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini hari ini.

Menurutnya, dia gagal menyelamatkan barang berharga kerana dia hanya menyedari kejadian ketika api sudah marak dan rumah diselubungi asap tebal.

Nasib baik kawan kejutkan saya daripada tidur dan saya hanya selamatkan diri dengan berkain pelikat sahaja dan satu telefon bimbit," katanya yang bekerja di negara ini lebih 10 tahun.

Seorang lagi mangsa, Lim Chu Lai, 60, berkata, dia rugi lebih RM30,000 termasuk wang tunai RM10,000 yang disimpannya di bawah tilam.

Wang tunai itu saya simpan untuk beli barang berniaga tetapi malangnya ia turut terbakar," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Penguasa Bomba Mustaffa Kamal Ahmad memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 12.51 pagi dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

Sebanyak dua jentera bomba dengan 15 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 4.34 pagi," ujarnya yang memberitahu punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Mangsa ribut terpaksa berteduh di pondok berbumbung kanvas

Posted: 04 Apr 2014 11:39 AM PDT

Mohd. Subhi Bakar menemani ibunya, Mek Chik Ahmad pada waktu siang yang tinggal di pondok setelah rumah mereka musnah dipukul puting beliung Sabtu lalu di Kampung Pinang, Pedu, Kedah, kelmarin.

PADANG TERAP 4 April - Seorang warga emas dan seorang anaknya terpaksa berteduh di pondok berbumbungkan kain kanvas sejak empat hari lalu setelah rumah mereka di Kampung Pinang, Pedu di sini musnah akibat dilanda puting beliung Sabtu lalu.

Menurut Mohd. Subhi Bakar, 40, sejak kejadian empat hari lalu, ibunya, Mek Chik Ahmad, 73, akan tinggal di pondok tersebut pada waktu siang dan pulang ke rumah abangnya yang terletak di kampung sama pada waktu malam.

Ibu bimbang untuk tinggalkan pondok ini kerana banyak barang kelengkapan rumah yang kami masih boleh gunakan ada di sini dan dia khuatir jika barang-barang itu hilang.

Sekarang kami menunggu rumah baru yang bakal dibina oleh MADA (Lembaga KemajuanPertanian Muda) namun belum tahu bila pembinaan itu akan dilaksanakan," katanya ketika ditemui Kampung Pinang, Pedu, di sini semalam.

Menceritakan detik cemas ketika kejadian, Mohd. Subhi memberitahu, dia hanya mampu melihat rumah pusaka yang dihuni kira-kira 50 tahun itu ranap dipukul puting beliung.

Kejadian berlaku pantas, lebih kurang 10 minit sahaja habis rumah kami ranap dan tidak sempat menyelamatkan barang-barang di dalam rumah namun saya reda kerana tidak melibatkan nyawa," ujarnya.

Mohd. Subhi yang merupakan kakitangan MADA itu memberitahu, dia berharap pembinaan rumah baru untuk ibunya dapat dilaksanakan secepat mungkin untuk memberi keselesaan kepada Mek Chik.

Beliau antara 56 penerima bantuan sebanyak RM500 oleh kerajaan negeri dan set tilam yang disumbangkan oleh Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman).

Sumbangan set tilam tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim dan turut hadir, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Environment Idaman, Bun Yin Ai An.

Badrol Hisham berkata, tindakan segera dengan menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat telah dilakukan oleh pejabat Ahli Parlimen Padang Terap, Felcra Bhd. (Felcra) dan individu perseorangan.

Kita turut mendapat kerjasama GiatMara, IKM (Institut Kemahiran Mara) dan Environment Idaman yang turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa terlibat," katanya.

2 bot, sampan ditahan ceroboh perairan

Posted: 04 Apr 2014 11:39 AM PDT

KANGAR 4 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Perlis menahan dua buah bot dan sebuah sampan milik nelayan asing kerana menceroboh perairan negeri ini di pantai Sungai Baru, Kuala Perlis, dekat sini semalam.

Ketua Penguat Kuasanya, Leftenan Komander Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua bot itu ditahan dalam operasi kira-kira pukul 2 petang, hasil maklumat berhubung pencerobohan nelayan asing dari Puju, Thailand.

Sebuah bot peronda Maritim Malaysia mulanya menahan sebuah bot Kelas A, nombor pendaftaran PSF 2527 pada jarak 11.1 kilometer dari pantai Sungai Baru," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, tidak jauh dari situ, pihaknya menahan sebuah bot fiber bernombor pendaftaran KHS 3415 serta sebuah sampan tanpa nombor pendaftaran,

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati bot dan sampan itu melakukan kesalahan di Bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa permit sah dan menceroboh perairan Malaysia.

Beliau berkata, ketiga-tiga bot tersebut dibawa ke Pangkalan Maritim Malaysia, Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

Shahrizan memberitahu, Maritim Malaysia giat membanteras aktiviti pencerobohan nelayan negara jiran, termasuk penggunaan bot pukat rawa sorong.

Katanya, pihaknya memandang serius penggunaan bot pukat rawa sorong kerana banyak memberi kesan terhadap ekosistem di perairan negara.

Pihak Maritim Malaysia akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim di utara Semenanjung," katanya.

Beliau seterusnya meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Katanya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved