Sabtu, 5 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mengapa kita memerlukan PPBN

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

Kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan bukan sahaja menjadi harapan Perdana Menteri tetapi juga semua rakyat Malaysia.

PENGALAMAN bersekolah di Jepun memberi saya peluang merasai sendiri bagaimana aktiviti sukan diberi keutamaan seiring dengan pencapaian akedemik. Walaupun terikat dengan jadual pembelajaran yang padat, guru-guru sentiasa memastikan kami mempunyai cukup masa untuk bersukan.

Ketika itulah saya mula jatuh hati dengan bola sepak. Di Jepun, walaupun besbol merupakan sukan paling popular namun ramai antara kami tidak pernah berenggang dengan bola sepak. Bahkan, kami sentiasa teruja untuk menjalani disiplin setiap sesi latihan bola sepak.

Bagi kami ia bukan sekadar menyepak bola tetapi diasuh dengan baik untuk memahami perkara asas sukan itu. Tiada kejayaan tanpa latihan intensif dan sistematik. Seperti kami dan kanak-kanak lain di seluruh dunia, bola sepak adalah segala-galanya.

Begitu juga di Malaysia, kegilaan terhadap bola sepak boleh dilihat di mana-mana tanpa mengenal batas umur. Sementara si cilik sibuk berebut bermain di posisi bintang kegemaran mereka, yang veteran pula berharap menghasilkan sepakan akhir terbaik masing-masing sebelum 'lutut tangkap' dan seterusnya 'bersara'.

Tidak ragu-ragu lagi, bola sepak merupakan sukan terbesar yang dimainkan di negara kita. Stadium di seluruh negara padat dengan penonton setiap kali perlawanan besar berlangsung, sementara gerai mamak pula penuh apabila perlawanan EPL ditayangkan.

Selepas kejayaan Malaysia dalam Kejohanan AFF 2010 serta Sukan SEA 2009 dan 2011, susah untuk kita mendapatkan tiket bagi perlawanan penting melibatkan pasukan kebangsaan.

Di sebalik semua itu, bagaimana pula dengan prestasi pasukan kebangsaan? Suatu ketika dulu, Jepun dan Korea Selatan perlu berhempas-pulas menyaingi kita dengan kehadiran barisan pemain prolifik seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun dan R. Arumugan dalam pasukan.

Namun ketika artikel ini ditulis, kita berada pada kedudukan 141 dalam ranking FIFA. Korea Selatan dan Jepun pula kini masing-masing selesa di kedudukan 60 dan 48 dunia serta turut layak ke Piala Dunia 2014.

Walaupun kita boleh berbangga apabila mendahului negara jiran Thailand di kedudukan 148, Singapura (149), Indonesia (154) dan Myanmar (173), Korea Utara pula, yang mana suku daripada populasi kanak-kanaknya mengalami masalah kekurangan nutrisi pemakanan kronik - juga di hadapan kita pada kedudukan 133 dan layak ke Piala Dunia 2010 lalu.

Filipina, sebuah negara yang lebih cenderung kepada bola keranjang, bola tampar dan tinju juga mendahului kita dalam bola sepak pada kedudukan 130. Begitu juga dengan negara-negara bergolak seperti Syria (137), Afghanistan (127) dan Iraq (103).

Apa kurangnya kita? Ada yang kata saiz fizikal kita menjadi penghalang. Jika itu alasannya, bagaimana pula kita menjelaskan kecemerlangan Sepanyol sebagai pasukan terbaik dunia, sedangkan tubuh mereka tidak banyak bezanya dengan kita. Apatah lagi pemain terbaik dunia, Lionel Messi hanya berketinggian 1.69 meter. Malah, Neymar dari Brazil dan Shinji Kagawa dari Jepun masing-masing 1.75 meter dan 1.72 meter.

Jadi, apakah faktornya? Adakah kerana kita tidak mempunyai corak permainan tersendiri? Bagaimana pula dengan kekuatan mental para pemain kita? Atau mungkin kita kekurangan dari segi jumlah perlawanan, tempoh latihan atau melibatkan soal kualiti kejurulatihan?

Analisis kementerian saya mendapati keadaan dan perkembangan bola sepak negara sekarang berpunca daripada kombinasi kesemua faktor di atas.

Penyelesaiannya jelas - untuk mempersiapkan sebuah pasukan kebangsaan yang mantap, kita perlu meluaskan platform pencarian dan pembentukan bakat berbanding yang ada sekarang.

Kita juga perlu menanam DNA bola sepak kebangsaan dan mewujudkan persekitaran persaingan yang tinggi di mana setiap pemain mahu menjadi sebahagian daripada pasukan cemerlang.

Amalan pencarian dan pengenalpastian bakat yang dibuat selama ini tidak lagi memadai. Struktur lama yang banyak bergantung pada pemilihan di peringkat Sekolah-sekolah Sukan Negara dan Negeri tidak mencukupi.

Kita memerlukan pusat-pusat latihan di setiap daerah agar pencarian bakat lebih menyeluruh dan merangkumi seluruh negara.

Di sinilah Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara memainkan peranannya. Ia bakal membentuk revolusi pemikiran generasi pemain yang mampu beraksi secara taktikal dan bijak dengan skil diperlukan.

Babak biasa seperti menyepak bola dari jauh tanpa arah ataupun sekadar menghantar bola ke atas dengan harapan disambut rakan sepasukan tidak akan berulang lagi.

Kita bakal menyaksikan ekosistem bola sepak yang baharu. Bukan sekadar menambah bilangan jurulatih, malah mereka juga akan dilengkapkan dengan pengetahuan seiring dengan piawaian semasa.

Para pemain pula akan didedahkan dengan jumlah perlawanan yang lebih banyak. Kita juga akan menambah jumlah para pencari bakat, di samping mengenal pasti ratusan padang di seluruh negara sebagai medan latihan para pemain.

Kemuncak kepada program ini ialah Akademi Bola Sepak Negara di Gambang yang akan menempatkan 500 pemain muda terbaik dari seluruh negara antara 13 dan 17 tahun. Impian saya, pusat ini bakal menjadi akademi elit serta sekolah berasrama yang cemerlang agar setiap aspek kehidupan mereka diurus secara sistematik.

Sebaik-baik dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya telah menerima e-mel yang bersemangat dan penuh emosi daripada bekas pemain kebangsaan dan jurulatih remaja pasukan Bayern Munich, Lim Teong Kim, dari Jerman yang menyeru saya supaya memulihkan keadaan pembangunan bola sepak negara.

Namun apa yang tidak saya ketahui ialah kesungguhan Teong Kim untuk pulang dan melakukan perubahan di tanah air sendiri. Saya berbesar hati apabila beliau menyatakan kesanggupan untuk dilantik sebagai Pengarah Projek Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN). Saya juga amat teruja untuk melihat hasil fasa pertama pelan ini yang telah pun bermula di bawah kepimpinan beliau.

Bayangkan ribuan kanak-kanak sekolah dilatih secara sistematik, seterusnya membentuk generasi pemain yang benar-benar memahami formasi, skil serta gaya permainan asas. Inilah program pembangunan bola sepak yang menjadi harapan kita semua.

Kementerian Belia dan Sukan tidak mampu melaksanakan program ini secara bersendirian. Sokongan semua pihak amat diperlukan. Kemudahan dan penyelarasan Kementerian Pendidikan, pembiayaan mencukupi daripada sektor korporat serta bantuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) penting dalam mewujudkan persekitaran sesuai untuk membentuk wira-wira bola sepak negara. Semua ini demi mengangkat Malaysia ke tahap lebih tinggi, yang hanya kita impikan selama ini.

Kita mulakannya sekarang.

Agenda peribadi media Barat

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

PERISTIWA kehilangan pesawat MH370 milik MAS sejak 8 Mac lalu nyata memberi kesan bukan sahaja kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal tetapi juga seluruh warga Malaysia yang turut bersedih dan bersimpati.

Namun pada masa yang sama wujudnya pelbagai spekulasi mahupun fitnah yang mengeruhkan keadaan serta mengganggu emosi ahli keluarga penumpang dan anak kapal. Lebih memburukkan keadaan, terdapat laporan tidak bertanggungjawab oleh media Barat yang cenderung melaporkan berita berat sebelah dan memburuk-burukkan kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia.

Baru-baru ini, The Daily Mail memaparkan tajuk berita Anak perempuan akui Kapten MH370 kelihatan keliru dan terganggu. Aishah Zaharie, anak perempuan Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang, membidas laporan The Daily Mail yang mendakwa bapanya mengalami gangguan emosi beberapa minggu sebelum tragedi itu.

Untuk itu, wartawan Mingguan Malaysia RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH telah mewawancara Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), PROF DR. NIK AHMAD KAMAL NIK MAHMOD bagi mendapat ulasan lanjut.

Ujar beliau, laporan berita yang tidak berasaskan fakta benar boleh dikategorikan sebagai fitnah dan boleh membawa kepada tuntutan mahkamah.

"Jika sesuatu yang hendak disiarkan itu ialah komen atau pandangan, dan bukan fakta, media yang bertanggungjawab boleh dikenakan tindakan undang-undang.

MINGGUAN: Bagaimana Prof. melihat isu dan peranan media Barat yang sering membuat laporan berita berat sebelah malah hingga ke tahap memfitnah dalam perkara melibatkan kes kehilangan pesawat MH370?

NIK AHMAD: Banyak sebab media Barat membuat berita yang dilihat berat sebelah dan berbentuk spekulasi. Salah satunya ialah mereka mahu mensensasikan sesuatu berita itu. Kalau media cetak, mereka mahu menjual akhbar dan media elektronik pula mahu menaikkan jumlah penonton. Berita biasa mungkin tidak menarik penonton tetapi jika berita itu sensasi sehingga menimbulkan persoalan tentang tragedi tersebut, maka berita itu dikatakan dapat menarik lebih ramai penonton atau pembaca. Berbeza dengan media kita sendiri yang biasanya melaporkan apa yang dinyatakan di dalam sidang media dan maklumat itu sah atau mereka hanya melaporkan berita daripada pendapat pakar-pakar kita sahaja. Tindakan media tempatan itu tidak menimbulkan berita yang sensasi hingga menimbulkan kekeliruan dan fitnah. MH370 ialah tragedi dan kalau boleh, janganlah kita menimbulkan spekulasi.

Saya melihat fenomena ini berlaku kerana wujudnya media alternatif iaitu Internet. Kita tidak boleh menghentikan spekulasi atau pembohongan yang disebarkan di Internet. Sebagai orang yang waras, kita harus mendapatkan berita yang betul. Ada orang yang menerima bulat-bulat spekulasi tersebut. Inilah cabaran dari segi aspek media ketika berhadapan dengan tragedi MH370. Menyentuh tentang media Barat tadi, isu sensasi menjadi keutamaan mereka untuk melariskan akhbar. Sebab itulah banyak berita yang tidak benar seperti kes juruterbang itu sendiri hingga menyebabkan anaknya membidas laporan tersebut. Ini termasuklah transkrip perbualan juruterbang dan pembantu juruterbang dengan menara kawalan, laporan media Barat ternyata tidak benar malah jauh berbeza dengan transkrip sebenar.

Berita mereka berbentuk fitnah dilakukan untuk agenda atau kepentingan tertentu. Namun apa yang boleh kita lakukan?

NIK AHMAD: Isu fitnah ialah isu undang-undang. Jika kita lihat daripada perspektif media, memang mereka tidak boleh lari daripada laporan yang kadang-kadang tidak benar dan boleh menimbulkan fitnah, merosakkan nama atau reputasi seseorang ataupun kerajaan sendiri. Akibatnya, nama seseorang itu boleh terkesan dan boleh memberi pandangan buruk serta menjatuhkan kredibiliti. Bagi memulihkan nama baik seseorang itu, maka mereka boleh membuat tuntutan mahkamah iaitu saman fitnah. Ini kerana orang yang difitnah atau keluarganya mungkin boleh mengalami tekanan emosi, tidak mendapat kepercayaan dan sebagainya. Tetapi kita harus ingat, media-media Barat tersebut mungkin akan melindungi diri dengan mengemukakan dalil yang dinamakan 'keistimewaan bersyarat' dengan menafikan berita yang disampaikan sebenarnya bukan fitnah.

Ada beberapa alasan atau keistimewaan bersyarat yang akan mereka berikan. Pertama, media tersebut mungkin akan mengatakan berita tersebut mereka sampaikan dengan suci hati iaitu tiada niat jahat. Kedua, mereka akan memberi alasan bahawa berita tersebut disiarkan demi kepentingan awam. Selain itu, mereka juga akan mengatakan mereka mendapat berita daripada satu sumber yang tidak boleh disiarkan namanya. Ataupun mereka akan memberi alasan bahawa berita itu disampaikan setelah melakukan siasatan. Ini merupakan alasan-alasan yang mungkin mereka utarakan.

Walaupun wujudnya alasan 'keistimewaan bersyarat' tetapi ada bukti-bukti bahawa laporan tersebut tidak benar, maka tuntutan mahkamah boleh dilakukan. Pun begitu, kita boleh membuat tuntutan mahkamah terhadap mahkamah Barat tetapi harus diingat ia mungkin melibatkan kos tinggi. Contohnya, jika berita tersebut disiarkan media di Amerika, kita kena buat tuntutan mahkamah atau kemukakan saman di mahkamah Amerika. Ini termasuklah jika tuntutan individu ataupun pihak kerajaan sendiri. Berbeza jika laporan media tempatan yang mungkin menyiarkan berita tidak benar, tuntutan mahkamah boleh dilakukan di sini.

Pihak media Barat sering mendabik dada kononnya laporan berita mereka tentang MH370 adalah yang terbaik. Dalam hal ini, ternyata kebebasan media dan bersuara telah disalahgunakan. Apa sebenarnya agenda mereka?

NIK AHMAD: Jika kita perhatikan, mereka tidak putus-putus melaporkan berita yang disampaikan dalam sidang media MH370. Dalam pada itu, mereka juga mendapatkan berita daripada sumber-sumber lain contohnya pegawai-pegawai peringkat bawahan atau orang luar yang mungkin tidak terlibat dalam misi pencarian MH370. Jika menghasilkan berita berdasarkan pandangan teknikal tiada masalah tetapi jika menggunakan pandangan sumber untuk mewujudkan spekulasi, ia merupakan satu kesalahan kerana tidak berasaskan bukti yang jelas. Ini dipanggil putar belit atau spin.

Inilah yang sering dilakukan media Barat yang menganggap sumber merekalah yang benar. Jika melaporkan berita berasaskan andaian semata-mata, maka ia melanggar etika kewartawanan. Dalam tragedi MH370, media-media Barat ini dilihat mencari kesalahan pihak yang terlibat dalam misi pencarian pesawat tersebut termasuk pihak kerajaan. Ini diakui sendiri Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berpendapat kerajaan bukan sahaja berhadapan cabaran mencari pesawat tetapi juga cabaran mengatasi spekulasi MH370 itu sendiri.

Dari sudut perundangan mungkin sesuatu perlu dilakukan atau diberi bantuan kepada keluarga Kapten Zaharie sebagai pengajaran kepada pihak media Barat selain memastikan kerajaan membela rakyat dan krew dari Malaysia?

NIK AHMAD: Pada pendapat saya, kalau ada bantuan kewangan untuk mereka, mungkin kerajaan boleh fikirkan. Namun, hal ini tidak termasuk dalam biro bantuan guaman kerana kes ini bukan berkaitan undang-undang keluarga atau kes-kes terhad jenayah. Tetapi dalam kes tindakan sivil seperti ini mungkin kerajaan boleh membantu untuk menebus nama baik. Mungkin pada masa akan datang, jika kotak hitam ditemui dan jelas punca tragedi MH370 ialah kemalangan dan bukannya kesilapan juruterbang itu sendiri, saya berpendapat kerajaan boleh mengambil tindakan selanjutnya kepada media Barat tersebut. Tindakan undang-undang sivil boleh diambil dalam tempoh enam tahun daripada tarikh artikel disiarkan.

Jika berhadapan dengan kes saman daripada beberapa pihak misalnya waris keluarga dan sebagainya. Apa persediaan yang perlu dilakukan oleh pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Malaysia Airlines (MAS) dan pihak kerajaan?

NIK AHMAD: Mengikut Konvensyen Montreal 1999, syarikat penerbangan wajib membayar pampasan. Malaysia ialah salah sebuah negara yang menandatangani konvensyen tersebut. Selain itu, keluarga dan waris juga boleh membuat tuntutan sivil kepada MAS dan kerajaan Malaysia. Saya juga ada terbaca satu pendapat jika pesawat masih tidak ditemui agak sukar untuk pihak yang dituntut untuk membela diri. Tetapi itu hanya pendapat. Namun, mengikut perundangan antarabangsa, waris boleh membuat tuntutan lebih-lebih lagi melibatkan kecuaian dan ini mungkin melebihi jumlah pampasan yang wajib dibayar. Menurut pakar perundangan penerbangan, tuntutan tidak perlu menunggu sehingga kotak hitam ditemui.

Buat masa sekarang, semua pihak termasuk pihak keluarga mangsa harus bersabar sehingga bukti ditemui. Saya berharap krisis ini dapat diselesaikan segera dan tahniah kepada pihak kerajaan kerana dapat menangani krisis ini dengan baik walaupun menempuh pelbagai cabaran termasuk media Barat.

Penangan media sosial kini banyak memberi kesan negatif terutama jika laporan yang ditulis itu adalah tidak benar. Jika ada individu di media-media sosial ini memaparkan berita berbaur fitnah, bolehkah mereka dikenakan tuntutan mahkamah?

NIK AHMAD: Di media sosial pelbagai cerita dan spekulasi berterusan ditulis. Komen-komen liar yang menyentuh perasaan keluarga yang sedang menghadapi situasi getir ini sepatutnya tidak dibuat. Perasaan keluarga yang tertekan dengan kehilangan ini akan bertambah dengan tohmahan dan juga fitnah yang tentu boleh saja menyebabkan emosi mereka terganggu. Jika ini berlaku, sebarang berita yang mereka kongsikan boleh berunsur fitnah. Sesuatu berita itu menjadi fitnah apabila berlaku komunikasi dengan pihak ketiga. Misalnya, seorang pengguna laman sosial Facebook, berkongsi satu berita yang tidak benar, ada orang lain membaca atau like, ia ialah fitnah. Jadi ahli keluarga mangsa boleh melakukan tuntutan mahkamah. Jika individu berkenaan berada di luar negara, tuntutan mahkamah boleh dibuat di negara tersebut. Jika individu berada di dalam negara, saman fitnah boleh dibuat di sini. Oleh itu, sebagai pengguna laman sosial, mereka perlu berhati-hati berkongsi sesuatu berita lebih-lebih lagi yang diperolehi daripada media Barat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved