Sabtu, 5 April 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


MPK audit tandas awam

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 5 April - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan menjalankan audit pemeriksaan ke atas semua tandas awam di kawasan pentadbirannya termasuk yang diuruskan pihak persendirian pada 15 April ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Kemasyarakatan MPK, Haslinda Hassan berkata, pemeriksaan ini turut melibatkan tandas restoran, hotel, pusat beli-belah serta di kawasan rehat dan pelancongan.

Katanya, operasi berkenaan dijalankan bagi memastikan tandas-tandas awam mencapai tahap kebersihan yang telah ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya melebihi status tiga bintang atau markah penilaian kebersihan melebihi 70 peratus.

Hasil pemeriksaan audit yang dijalankan pada 2013, kita mendapati tahap kebersihan tandas awam secara purata masih rendah iaitu sekadar 67 peratus sahaja.

Audit akan dilakukan setiap enam bulan atau dua kali setahun yang mana pusingan pertama akan dijalankan sekitar April atau Mei, manakala pusingan kedua pada bulan Ogos atau September," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Jelasnya, penilaian audit tersebut dilakukan Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran MPK yang bertauliah dan terlatih.

Kata beliau, mereka bertanggungjawab menentukan tahap kebersihan sesebuah tandas demi membantu satu budaya baru iaitu budaya tandas bersih dan seterusnya melahirkan masyarakat yang sihat dan bersih.

Oleh itu, kami menyarankan kepada pemilik premis mempertingkatkan tahap kebersihan dan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan audit yang akan dijalankan nanti.

Orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan berhubung kebersihan tandas awam, boleh hubungi pusat panggilan setempat MPK di talian bebas tol 1-300-88-0555 atau e-mel ke e-aduan@mpk.gov.my," katanya.

Ziarah veteran, warga emas

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

SITI Fatimah Yahya (tiga dari kiri) bersama rakan beramah mesra dengan seorang veteran Wanita UMNO dalam program ziarah Skuad Salam Sayang Wanita UMNO Bahagian Lipis di Kampung Lalang, Kuala Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 5 April - Skuad Salam Sayang Wanita (SSSW) UMNO Bahagian Lipis melaksanakan program ziarah veteran UMNO dan warga emas di Kampung Lalang, dekat sini kelmarin.

Dalam program tersebut, ahli pergerakan itu menziarahi lapan keluarga di kampung berkenaan membabitkan mereka yang ditimpa kemalangan, ibu tunggal, pejuang dalam kalangan veteran Wanita UMNO Cawangan dan juga warga emas.

Yang hadir sama menyertai program itu, Ketua Wanita UMNO Lipis, Siti Fatimah Yahya, Ketua UMNO Cawangan Kampung Lalang, Shahnam Abd. Rashid dan Ketua Wanita UMNO Cawangan itu, Nor Haslida Ab. Ghapar.

Bercakap kepada pemberita, Siti Fatimah berkata, program ziarah ini merupakan program bulanan yang disusun untuk menzahirkan nilai kemanusiaan kepada golongan berkenaan khususnya dalam kalangan ahli UMNO yang kurang berkemampuan.

Menerusi program ini, ahli SSSW di sini memfokuskan kegiatan ziarah dan menterjemahkan rasa kasih dengan nasib penduduk yang pernah ditimpa bencana banjir pada tahun lepas, kemalangan, kurang kemampuan dan juga jika berlaku kematian.

Program yang digerakkan secara proaktif menerusi komitmen ahli jawatankuasa Wanita UMNO Lipis dan cawangan setiap buah kampung membabitkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Padang Tengku, Cheka dan Benta dalam Parlimen Lipis," katanya.

Program ‘Pahang Berselawat’ di padang MPK2 pada 24 April

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

KUANTAN 5 April - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan menganjurkan program kerohanian 'Pahang Berselawat' di padang MPK 2 bersebelahan Masjid Sultan Ahmad Shah 1 pada 24 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, program yang dijangka bermula selepas solat Isyak kira-kira pukul 9 malam itu akan menampilkan Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid, Habib Syech Abdul Qodir Assegaf dan penceramah terkenal, Ustaz Badli Shah Alauddin.

Majlis tersebut dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat Islam khususnya mengenai kehebatan rangkaian selawat, zikir dan burdah mengagungkan Rasulullah SAW.

Antara pengisian pada malam tersebut selain berselawat ialah ceramah perdana yang akan disampaikan oleh Ustaz Badli Shah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wacana Pemikiran Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini hari ini.

Menurut Syed Ibrahim, lebih 50,000 orang dijangka hadir dalam program berselawat yang kini semakin mendapat sambutan di kalangan umat Islam.

Bagi memudahkan pergerakan lalu lintas, Jalan Bukit Ubi dan Jalan Mahkota akan ditutup bermula pada pukul 6 petang.

Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan di pekarangan Stadium Darul Makmur dan padang Kemunting di sini," ujarnya.

Tambahnya, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dijangka turut hadir dalam majlis itu nanti.

Sementara itu beliau memberitahu, kerajaan negeri mengesahkan telah meluluskan kenaikan gred Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd. Malek yang maut ditembak di hadapan rumahnya di Indera Mahkota di sini pada November lalu.

Katanya, kertas kerja mengenai cadangan kenaikan gred itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas kerajaan negeri bersetuju menaikkan gred perkhidmatan Ahmad Raffli daripada gred 48 kepada gred 52 atau 54.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved